Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Struktur sokongan asatizah lebih lengkap, tersusun - Masagos

Lebih banyak bimbingan, latihan lebih khusus akan diberikan buat para asatizah yang dikenalpasti mempunyai bakat dan potensi kepimpinan.

Anggaran Waktu Membaca:
Struktur sokongan asatizah lebih lengkap, tersusun - Masagos

Lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura. (Gambar fail: MUIS)

Diterbitkan : 21 May 2021 08:57PM Dikemas Kini : 21 May 2021 09:04PM

SINGAPURA: Lebih banyak bimbingan, latihan lebih khusus akan diberikan buat para asatizah yang dikenalpasti mempunyai bakat dan potensi kepimpinan.

Para asatizah juga boleh menjangkakan laluan dan peluang -peluang kerjaya yang lebih baik apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

Demikian diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam ucapan tahunannya di acara Perjumpaan Hari Raya Bersama Menteri hari ini (21 Mei).

Acara secara maya itu dihadiri sekitar 100 pemimpin agama, masyarakat dan belia.

Encik Masagos berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) secara bertahap-tahap pada tahun-tahun mendatang.

Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) pula diperkenalkan bagi mengasah golongan asatizah untuk berkhidmat di mercu kepimpinan agamawan dan membimbing serta memimpin asatizah lain.

Sejajr dengan itu, MUIS kata beliau akan merintis sebuah program bimbingan bagi kumpulan itu pada suku ketiga tahun ini dan perincian lanjut akan dikongsi tidak lama lagi.

"Mereka yang menunjukkan potensi akan dikenalpasti, baik daripada generasi ini mahupun daripada generasi akan datang, termasuk peserta program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS). Program ini merangkumi peluang-peluang untuk mendampingi para pemimpin mapan agama dan masyarakat, yang akan membantu bakat-bakat asatizah meluaskan lagi rangkaian mereka dan menimba sudut pandangan baru terhadap isu-isu sosio agama kontemporari," kata Encik Masagos.

Menurutnya struktur sokongan kepada asatizah kini lebih lengkap dan tersusun dari masa lalu dan ini penting bagi membangunkan golongan asatizah yang cekap dan bersedia untuk masa depan.

"Usaha-usaha ini bermula di peringkat Madrasah, di bawah Pelan Pembangunan dan Aspirasi Pelajar Madrasah...Apabila para lulusan pulang daripada pengajian tinggi di luar negara, program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari atau PCIS, membantu mereka untuk menyesuaikan apa yang telah dipelajari kepada konteks masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama," kata Encik Masagos.

"Dari mengemas kini madrasah tempatan, PCIS, Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah, dan kini Program Pembangun Bakat, saya yakin inisiatif-inisiatif ini akan melahirkan sebuah sektor keagamaan yang lebih rancak, yang boleh menjadi sumber inspirasi bagi asatizah masa hadapan,"ujarnya lagi.

Selain itu, bagi memberi peluang kepada para asatizah untuk membangunkan sumber ilmu baru yang boleh membantu kita menghadapi pelbagai cabaran kotemporari yang rumit, satu siri seminar juga akan dianjurkan.

Katanya, siri seminar ini juga akan disertai para peserta antarabangsa.

Seminar pertama akan berlangsung pada 15 Jun ini dan diadakan secara online menerusi Zoom, dan dijangka dihadiri sehingga 300 peserta.

Dalam seminar itu, mereka akan membincangkan pendekatan-pendekatan masyarakat Islam di seluruh dunia dalam menyesuaikan diri dengan keadaan pandemik COVID-19.

Encik Masagos berkata ini akan memberi pendedahan baru bagi para asatizah kita.

"Oleh yang demikian, MUIS akan menganjurkan sebuah siri seminar untuk memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat Islam sedunia, mulai bulan hadapan. Seminar pertama akan mengetengahkan cara masyarakat Islam menyesuaikan kehidupan sosio-agama kita di tengah-tengah wabak COVID-19.

"Kami berharap untuk mengongsi tentang kepimpinan agama kita yang bekerjasama dengan karyawan perubatan dan pemimpin masyarakat untuk menggembleng masyarakat dalam mengharungi pandemik ini. Program ini memberi peluang kepada asatizah kita dengan ilmu dan pendapat antarabangsa tentang peranan mereka dalam memperkukuhkan bimbingan agama dalam isu-isu kontemporari yang dihadapi masyarakat minoriti di seluruh dunia," kata Encik Masagos.

Pada kemuncak siri seminar itu ialah Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang, anjuran MUIS.

"Secara kolektif, kami harap semua usaha ini akan membolehkan Singapura dan masyarakat minoriti Islam yang lain untuk berkembang maju dan hidup bersama masyarakat lain di dunia secara harmoni,"ujarnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan