Syawal 2021

Images

Secara solo Myzah Amat 'selamatkan' 300 botol kuih Hari Raya daripada 'terbuang'

SINGAPURA: Hari ini (23 Mei) genap seminggu Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) demi membendung COVID-19 dilaksanakan di Singapura dan salah satu 'mangsa' peraturan lebih ketat itu nampaknya ialah kuih-muih Hari Raya.

Memang ada yang menganggap sambutan Hari Raya "sudah berakhir". Namun ada juga yang bimbang tentang nasib kuih-muih Raya dan berharap ia tidak akan berakhir atau dihumban ke tong-tong sampah.

Prihatin tentang senario atau kemungkinan pembuangan atau pembaziran seperti itu, ia mendorong Cik Myzah Amat, 25 tahun, untuk menggerakkan satu inisiatif demi menyelamatkan kuih-muih Raya.


(Gambar: Hakim Irwan/BERITAmediacorp)

Maka itu, sebelum Hari Raya lagi, dia secara solo mula mengumpul kuih-muih Raya dari keluarga-keluarga Melayu/Islam, menerusi inisiatif dipanggil Projek Chip-In-A-Cookie.

"Kalau tak nanti bazir dan kena buang, tetapi tetap makanan kan dan mesti ada orang yang mahukan dan perlukannya. Daripada membuangnya, mereka boleh berkongsi kepada kami dan kita akan mengagihkannya kepada pekerja hijrahan dan keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik. Jadi tidak membazir," kata
Cik Myzah kepada BERITAmediacorp.

Beliau merupakan pengasas SG Helping Bee yang ditubuhkan dan dikendalikannya secara sendirian sejak Mac tahun ini.

"Ada banyak juga keluarga-keluarga di Singapura yang memerlukan dan kuih Raya ini adalah barang yang agak mahal sebenarnya. Jadi ia membuat Hari Raya istimewa untuk mereka," tambah Cik Myzah.

SELAMATKAN 300 BOTOL KUIH HARI RAYA SEJAUH INI

Sejauh ini, hampir 300 botol kuih serta lebih 30 kek didermakan kepadanya oleh lebih 30 keluarga dan rakan-rakan serta beberapa buah syarikat.

200 botol sudahpun diagihkan kepada para pekerja hijrahan, yang sekali gus merupakan kumpulan penerima terbesar inisiatif mulia ini.


(Gambar ihsan: TWC2)

"Kita berikan kepada para pekerja hijrahan menerusi satu badan bernama TWC2 (Transient Workers Count Too). Mereka membantu saya mengagihkan kuih-muih Raya ini kepada para pekerja hijrahan," kongsi Cik Myzah.

Selain itu para penduduk memerlukan yang tinggal di flat-flat sewa juga akan menjadi penerimanya.

Malah, sambutan terhadap inisiatif ini begitu memberangsangkan dan kuih-muih turut didermakan oleh orang-orang bukan Melayu/Islam.

"Yang paling banyak menderma sebenarnya adalah seorang wanita 'Caucasian' yang mendermakan barang-barang keperluan termasuk kuih-muih, pencuci mulut. Dia berikan puding mangga, longan dan jumlahnya sekitar S$200 dan saya rasa itu paling besar sejauh ini," dedahnya lagi.

USAHA 'SOLO' PASTI ADA CABARANNYA

Memang ini suatu usaha mulia. Namun Cik Myzah dengan jujur mengaku bahawa kerja kebajikan yang dilakukannya ini sebenarnya bukan mudah.

"Cabaran saya membuat inisiatif ini ialah seorang diri. Antaranya adalah masa kerana di samping inisiatif ini saya juga perlu membuat kerja-kerja lain. Sejauh mana saya ingin melakukan meneruskan inisiatif ini, ia tidak memberikan saya pendapatan. Jadi saya masih perlu membahagikan masa kepada kerja dan inisiatif ini.


"Penat juga. Tetapi saya sudah mulakan, jadi saya ingin melihat inisiatif ini berjaya juga," kata Cik Myzah, yang merupakan seorang guru tuisyen dan pereka laman web sambilan.

Selain isu pembaziran makanan, Cik Myzah juga berharap bahawa inisiatif ini juga dapat "membuka mata" masyarakat terhadap nasib golongan yang lebih memerlukan.

Bagi Cik Myzah, nilai kuih-muih yang berjaya diselamatkannya itu boleh dianggap cukup besar kerana mencecah lebih S$2,000.

THE FOOD BANK TURUT USAHA SELAMATKAN KUIH RAYA

Dalam pada itu terdapat juga badan-badan yang menjalankan gerakan serupa seperti inisiatif Cik Myzah.

Badan The Food Bank misalnya, mengumpul kuih-muih Raya yang tidak diinginkan lagi oleh pasar raya, syarikat makanan dan orang awam.


Cik Jessie Tan, Eksekutif Pengurusan The Food Bank berkata semasa musim perayaan semestinya jumlah kuih yang didermakan adalah lebih banyak.

"Sebab orang ramai secara umumnya membeli jumlah kuih-muih yang lebih banyak dan selalunya, ada juga peningkatan dari segi pembaziran makanan," kata Cik Tan. 

- BERITAmediacorp/tq

Top