Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura, M'sia dan Indonesia sambut 1 Hari Raya pada Khamis, 13 Mei

Umat Islam di Singapura, Malaysia dan Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri secara serentak pada Khamis (13 Mei) ini.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, M'sia dan Indonesia sambut 1 Hari Raya pada Khamis, 13 Mei

(Gambar hiasan: Ahmad Gharabli/AFP)

BERITAmediacorp: Umat Islam di Singapura, Malaysia dan Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri secara serentak pada Khamis (13 Mei) ini.

Ini setelah pihak-pihak penguasa keagamaan di negara masing-masing membuat pengumuman awal Syawal hari ini. Kesemuanya menetapkan bahawa Aidilfitri jatuh pada 13 Mei.

Di Singapura, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir membuat pengumuman itu sekitar jam 7.30 malam tadi. Dalam perisytiharannya itu, beliau berkata:

"Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi (11 Mei), kerana bulan telah terbenam lebih awal.

"Ini bererti esok adalah hari pencukup bulan Ramadan 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1442H jatuh pada lusa, Khamis bersamaan 13 haribulan Mei 2021."

Dr Nazirudin berharap umat Islam di Singapura dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menghayati erti kemenangan dalam keadaan serba sederhana.

Ini setelah langkah-langkah menangani COVID-19 diketatkan lagi dengan jumlah kes dalam masyarakat dan kelompok-kelompok baru dikenalpasti.

"Marilah kita teruskan semangat bertanggungjawab yang telah kita perjuangkan sejauh ini," ujar beliau lagi.

Di Malaysia pula, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan bahawa umat Islam negara itu juga akan menyambut 1 Syawal pada Khamis (13 Mei).

Lebaran di negara itu dijangka disambut secara sederhana berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang berkuat kuasa mulai 12 Mei sehingga 7 Jun.

Ini antara ikhtiar terkini negara itu untuk menangani gelombang ketiga pandemik COVID-19 setelah sekitar 4,000 kes baru COVID-19 dicatatkan setiap hari sejak akhir-akhir ini.

Bagi Indonesia pula, dua pertubuhan Islam terbesar negara itu juga mengumumkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 13 Mei.

Ketua Umum Nadhlatul Ulama (NU) Said Aqil Siradj mengumumkan hal itu secara langsung menerusi siaran YouTube kumpulan itu setelah menggunakan pendekatan "rukyat," atau penampakan bulan bagi menentukan tarikh awal Syawal.

Dalam ucapan pengumumannya itu, Encik Said mengingatkan warga Indonesia untuk tetap mematuhi protokol kesihatan 5M negara itu iaitu memakai pelitup, mencuci tangan, menjaga jarak, menjauhi kesesakan dan membatasi pergerakan dan interaksi.

Sehari sebelumnya, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiyah, yang menggunakan "hisab" atau perhitungan matematik dan astronomi, sudahpun mengisytiharkan 1 Syawal juga jatuh pada tarikh 13 Mei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan