Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Masak hidangan Aidilfitri lebih sihat bersama keluarga dengan insiatif baru NCIS

Sambutan Hari Raya kali ini mungkin dibayangi COVID-19. Namun, dengan aturan bekerja dari rumah serta pelajar beralih ke pembelajaran di rumah (HBL), arahan itu secara tidak langsung memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 May 2021 09:34PM Dikemas Kini : 17 May 2021 10:00PM

SINGAPURA: Sambutan Hari Raya kali ini mungkin dibayangi COVID-19.

Namun, dengan aturan bekerja dari rumah serta pelajar beralih ke pembelajaran di rumah (HBL), arahan itu secara tidak langsung memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Salah satu kegiatan yang boleh dilakukan bersama ialah inisiatif terbaru Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS), di mana anda boleh menyediakan hidangan lebih sihat untuk keluarga.

Antaranya kuah lodeh dan ayam masak merah yang menjadi sajian tradisional, dihidangkan setiap menjelangnya Aidilfitri.

Istimewanya, sajian hasil air tangan Cik Shakirah Mohd Yusuf, bukan sahaja enak tetapi sihat dan berkhasiat.

PEMAKANAN SIHAT DIUTAMAKAN

Sebagai seseorang yang pernah mengalami masalah berat badan, pemakanan yang sihat sangat diutamakan Cik Shakirah.

"Selama lebih 30 tahun, saya rasa amat bersalah kerana tak jaga makan dan membiarkan berat badan saya naik. Selepas menjalani pembedahan Bariatrik, saya bertekad untuk menjaga pemakanan saya," kata Cik Shakirah, seorang peniaga dari rumah (HBB).

Dengan nasihat pakar pemakanan dari Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS), mereka menghasilkan siri video tunjuk ajar masakan hidangan Hari Raya.

Siri video anjuran NCIS itu bertujuan menunjukkan kepada orang ramai bahawa hidangan yang dimasak secara sihat tidak kurang dengan rasanya yang lazat.

"Sebenarnya memasak hidangan dengan sihat ini tidak susah. Kita cuma perlu mencari apa yang kita boleh gunakan dalam masakan kita dan lebihkan rencah-rencah tersebut supaya makanan lebih berasa," kata Cik Shakirah yang juga pemilik Kirah's Cake Bars & Savoury Dishes.

"Kepuasan memasak itu rasanya berbeza kerana kita dapat memasak untuk keluarga dan dapat melihat suami, ibu bapa, anak-anak, serta adik beradik kita semua makan," tambah beliau.

FASA 2 - PELUANG BAIK UNTUK MASAK BERSAMA DI RUMAH

"Diet adalah satu soalan utama yang selalu diajukan oleh pesakit kita. Oleh itu kami memikirkan satu cara yang baik untuk mendidik pesakit kita dan penjaga mereka ialah dengan memberi mereka resipi sihat dengan makanan biasa yang popular untuk Hari Raya dan mudah disediakan," kata Dr Chee Cheng Ean, Konsultan Kanan bagi Jabatan Hematologi-Onkologi di NCIS.

Menurutnya lagi, dengan Singapura memasuki Fasa 2, memang kena pada masanya buat keluarga meluangkan lebih masa memasak bersama di rumah.

"Makanan yang disediakan di rumah mempunyai kandungan gula, garam dan lemak yang lebih rendah kerana kita lebih mengetahui ramuan yang kita masukkan dalam masakan kita," kata Dr Chee.

"Ia juga dapat menjadi aktiviti keluarga dan kita dapat mengajar anak-anak kita mengenai diet yang seimbang dan sihat dari usia yang muda," ujar beliau.

Siri video demonstrasi memasak ini boleh ditonton di laman Facebook dan YouTube NCIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan