Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Raya lebih 'sunyi' di tengah-tengah sekatan COVID-19, tapi masih lagi 'bersama'

Hari Raya lebih 'sunyi' di tengah-tengah sekatan COVID-19, tapi masih lagi 'bersama'.

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Raya lebih 'sunyi' di tengah-tengah sekatan COVID-19, tapi masih lagi 'bersama'

Selebriti, usahawan tempatan Norfasarie, bersama suami Baihakki dan 3 anak mereka. (Gambar: Norfasarie)

Diterbitkan : 14 May 2021 12:57AM Dikemas Kini : 14 May 2021 01:10AM

SINGAPURA: Tahun lalu, masyarakat Islam Singapura menyambut Lebaran dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Lawatan ke rumah tidak dibenarkan sama sekali dan sambutan pula diadakan secara selamat dan bertanggungjawab bersama anggota keluarga yang tinggal serumah.

Tahun ini, meskipun beberapa rakyat Singapura yang diwawancara Mediacorp menzahirkan rasa kecewa bahawa sekatan-sekatan baru dilaksanakan, sekurang-kurangnya masih wujud sekelumit rasa ghairah.

Walaupun hanya lima orang dibenarkan mengunjungi sebuah rumah dalam sehari, keluarga-keluarga masih ada (sedikit) kebebasan untuk keluar beraya.

Mediacorp bertanya kepada beberapa usahawan, selebriti dan para pengurus eksekutif apakah makna perayaan tahun ini pada diri mereka dan apa yang paling mereka nanti-nantikan.

ADIL MUBARAK, NAIB PRESIDEN OPERASI REDDOORZ

Hari Raya sememangnya hari yang paling ditunggu-tunggu ramai kerana ia adalah peluang untuk mempererat semula hubungan dengan sanak-saudara dan menikmati hidangan-hidangan enak seperti rendang, nasi mandi dan kuih-muih Raya yang dibuat sendiri.

Hari Raya juga masa untuk saling bermaaf-maafan. Ia juga mengajak untuk saling berbaik dan menjalin hubungan antara keluarga dan rakan-rakan.

Adil Mubarak bersama keluarga. (Gambar: Adil Mubarak)

Adil Mubarak bersama keluarga. (Gambar: Adil Mubarak)

Bagi Naib Presiden Operasi Reddoozrz, Adil Mubarak, beliau dan keluarga mungkin akan 'berjumpa' dan mengucap Selamat Hari Raya menerusi wadah online.

"Saya bersyukur kedua-dua ibu bapa berada di Singapura dan saya rasa saya akan meluangkan masa dengan mereka - makan dan berehat di rumah.

"Setiap tahun, saya menantikan makanan yang dimasak oleh ibu seperti harissa (sejenis sos pedas Arab) dan hidangan kegemaran keluarga (iaitu) lontong. Istilah 'diet' dilupakan pada Hari Raya!" cerita Encik Adil.

Beliau menambah, biasanya keluarganya akan memakai 'thawb', pakaian tradisi Arab yang biasa dipakai di Timur Tengah, untuk mereka bergambar.

JUMAIYAH MAHATHIR, CEO & PENGASAS BERSAMA HALALFOODHUNT

Hari Raya adalah masa untuk berehat seketika daripada perniagaan, bagi CEO dan Pengasas Bersama Halalfoodhunt, Jumaiyah Mahathir.

"Ia juga masa untuk kami meluangkan masa bersama insan-insan tersayang dan mengingatkan diri mengapa kita bekerja keras setiap hari.

"Saya juga tidak sabar untuk beraya dengan tenang (memandangkan telefon saya biasanya tak henti berdering menerima pertanyaan berkaitan kerja) sambil makan makanan enak pada hari yang santai. Saya juga tidak sabar untuk tidak menggunakan komputer (pada Hari Raya).

Jumaiyah Mahathir bersama keluarga. (Gambar: Jumaiyah Mahathir)

Jumaiyah Mahathir bersama keluarga. (Gambar: Jumaiyah Mahathir)

Oleh kerana sekatan-sekatan itu mengehadkan jumlah tetamu kepada hanya lima sehari, Cik Jumaiyah akan memanfaatkan wadah Zoom sahaja.

"Saya akan lakukan demikian. Tetapi kebanyakan waktu saya akan meluangkan masa untuk jumpa bersemuka dengan keluarga saya bila waktu mengizinkan. Saya mungkin mengambil peluang berjalan di taman juga!"

NORFASARIE, PENGASAS SPA BY NORFASARIE & MOZA AESTHETICS

Norfasarie datang dari sebuah keluarga besar lima anggota. Suaminya sendiri mempunyai tiga adik-beradik, cerita Norfasarie.

"Biasanya, pada hari pertama Hari Raya, kita akan menziarahi ibu bapa terlebih dahulu. Sekarang, kita perlu bergilir-gilir menziarahi pada hari-hari berbeza.

"Meskipun terdapat sekatan, keadaannya masih lebih baik berbanding tahun lalu dan kita dibenarkan kunjung-mengunjung tetapi mengikut garis panduan (yang diberikan)," kata Norfasarie.

Norfasarie bersama keluarganya. (Gambar: Norfasarie)

Selebriti, usahawan tempatan Norfasarie, bersama suami Baihakki dan 3 anak mereka. (Gambar: Norfasarie)

Norfasarie pada mulanya berharap untuk mengunjungi ibu dan bapa saudaranya kerana tidak dapat berjumpa tahun lalu dan dia juga sibuk menguruskan perniagaan spanya.

"Tentu sekali Hari Raya tahun ini berbeza daripada tahun lalu. Buat pertama kali tahun ini, saya tidak membeli baju baru untuk keluarga kerana kami akan pakai pakaian tahun lalu yang belum dapat kami pakai. Saya beritahu suami, ini akan membolehkan kami berjimat supaya boleh mendermakan wang kepada mereka yang teruk terjejas dek pandemik," ujar Norfasarie.

NURUL JIHADAH HUSSAIN, PENGASAS THE CODETTE PROJECT

Hari Raya adalah masa untuk memikirkan tentang semua perkara yang disyukuri dan bermuhasabah tentang bulan-bulan mendatang dalam tahun ini bagi Pengasas The Codette Project Nurul Jihadah Hussain.

"Sukar untuk melahirkan berapa banyak yang kita hilang sebagai sebuah masyarakat, tidak dapat meraikan hari lahir, melawat kematian, menghadiri majlis perkahwinan, bersembahyang berjemaah, makan beramai-ramai dan kegiatan sehari-hari yang selama ini kita ambil mudah," kata Cik Nurul.

Nurul Jihadah Hussain bersama suami. (Gambar: Nurul Jihadah Hussain)

Nurul Jihadah Hussain bersama suami. (Gambar: Nurul Jihadah Hussain)

Menurut Cik Nurul, tahun ini, masyarakat hijrahan muslim di sini, khususnya mereka yang dari India dan Bangladesh akan meraikan Hari Raya dari kejauhan dan bimbang memikirkan tentang keluarga tersayang di negara masing-masing.

"Inisiatif mengumpul dana #sgmuslims4migrantworkers yang boleh dilakukan menerusi zakat adalah sesuatu yang saya nantikan kerana ia adalah cara untuk masyarakat mengagihkan semula wang di mana ia paling diperlukan," tambah Cik Nurul.

Pada pagi Hari Raya, Cik Nurul seringkali tidak sabar untuk mendengar suara takbir berkumandang, yang menandakan berakhirnya Ramadan dan bermulanya Hari Raya.

"Saya mungkin akan berada di rumah ibu bapa saya, menikmati juadah enak. Tidak mungkin saya dan suami antara yang bertuah untuk menziarahi nenek dan datuk saya pada hari pertama (Hari Raya), jadi saya akan telefon mereka. Saya juga akan menghubungi mentua saya di India untuk bertanya khabar dan meminta mereka pastikan diri selamat," cerita Cik Nurul.

Beliau juga akan meluangkan masa bersama dengan salah seorang saudara perempuannya yang menuntut di luar negara tetapi terjejas oleh keadaan pandemik.

"Sejujurnya ini baik untuk saya kerana saya dapat meluangkan masa bersamanya setiap masa sekarang dan menghubungi adik bongsu saya yang bertugas sebagai doktor di Australia dan yang sudah lama tidak dijumpai sejak sebelum pandemik," kata Cik Nurul.

NURUL RASHEED, PENGARAH BERSEKUTU ASIA PR WERKZ

Hari Raya selalunya masa untuk bersama dengan insan-insan tersayang dan mempererat hubungan.

Nurul Rasheed bersama keluarga. (Gambar: Nurul Rasheed)

Nurul Rasheed bersama keluarga. (Gambar: Nurul Rasheed)

Meskipun tahun ini Syawal sekali lagi disambut sederhana sahaja, Cik Nurul Rasheed, yang bertugas sebagai pengarah bersekutu Asia PR Werkz masih tidak sabar untuk meraikannya dengan penuh bermakna di rumah bersama keluarga terdekat.

"Meskipun langkah-langkah (pengurusan selamat) diperketat, saya bersyukur kita masih dapat meraikannya dalam sekitaran yang selamat," katanya.

Salah satu perkara yang paling Cik Nurul Rasheed gemari tentang Hari Raya adalah apabila kita saling memohon kemaafan antara satu sama lain.

"Ia tradisi yang indah dan merendah hati sedang kita membuka lembaran baru selepas Ramadan. Selain itu, tiada apa yang lebih 'shiok' daripada kenikmati juadah yang disediakan oleh ibu saya dan juga semua biskut Raya!"

SARAH BAGHARIB, PENGASAS CRAZYCAT

Hari Raya tahun ini bermakna Cik Sarah Bagharib dapat meluangkan masa bersama anak perempuannya yang berusia hampir dua tahun di luar rumah buat pertama kali sejak dia dilahirkan!

"Perancangannya adalah untuk hanya menziarahi ibu bapa saya memandangkan sekatan-sekatan baru iaitu hanya lima orang sehari dan memandangkan kita tidak melakukannya tahun lalu, saya ghairah untuk anak saya sekurang-kurangnya merasai pengalaman kunjung mengunjung Hari Raya buat pertama kali dalam hidupnya," kongsi pengasas Crazycat itu.

Sarah Bagharib bersama suami dan anak. (Gambar: Sarah Bagharib)

Sarah Bagharib bersama suami dan anak. (Gambar: Sarah Bagharib)

Ia juga bermakna Cik Sarah dapat berehat daripada apa yang disifatkan sebagai tempoh begitu sibuk mengimbangi kerja sepenuh masa dan perniagaan sambilannya (Crazycat) sejak beberapa minggu lalu.

Crazycat adalah satu gerakan sosial yang memperkasa wanita.

"Ia juga bermakna seperti tahun-tahun lain, 'COV-Eid'/Hari Raya dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan atau tidak, saya dapat meraikan bulan Syawal penuh barakah ini dengan semangat menyumbang semula dan memaafkan," kata Cik Sarah.

Cik Sarah juga tidak sabar untuk menjamu selera beraneka juadah Raya dan meluangkan masa dengan ibu bapa dan adik-beradiknya. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan