Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Raya keluarga 10 beranak tinggal sebumbung ini tetap meriah

Ini satu cara cukup baik untuk Beraya. Keluarga Encik Muzaffar dan Cik Herlyna wujudkan sistem 'tempah slot dulu' sebelum saudara mara dapat berkunjung! Anda juga amalkan cara ini?

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Raya keluarga 10 beranak tinggal sebumbung ini tetap meriah

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Sebelum pandemik COVID-19 dahulu, jadual Hari Raya pertama keluarga besar pasangan Encik Muhd Muzaffar Amin dan Cik Herlyna Abdul Talib, padat dengan tradisi kunjung mengunjung.

Lazimnya, mereka anak-beranak akan keluar ke rumah sanak saudara seawal 8.00 pagi lagi dan menziarahi sehingga enam rumah dalam sehari.

<p>Gambar fail sebuah keluarga di Singapura menyambut Hari Raya.</p>

Namun, keadaan itu sangat berlainan sejak dua tahun ini.

Tahun ini, keluarga mereka yang seramai 10 orang tinggal sebumbung - terdiri dari dua warga emas, dua orang dewasa dan enam orang anak - itu memilih cara-cara alternatif supaya dapat Beraya dengan selamat.

"Secara jujurnya, kami sekeluarga tidak berasa hampa, malah kita bersyukur kerana pemerintah mengambil berat dalam situasi wabak COVID-19. Kita nak kena ikut kalau terhad lima orang, jadi kita ikut saja.

"Ini adalah untuk kebaikan kita semua dan juga melindungi keluarga kami dan orang tersayang," kata Encik Muzaffar, 35 tahun,yang bertugas sebagai seorang pengurus dormitori.

ADAKAN SISTEM 'TEMPAH SLOT' UNTUK ORANG DATANG BERAYA

Bagi Cik Herlyna yang bertugas sebagai pembantu jagaan kesihatan pula, dia mengilhamkan sebuah sistem bagi memastikan tradisi kunjung mengunjung masih dapat dilaksanakan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami akan hanya duduk di rumah dan menunggu tetamu datang mengunjungi kami. Kami telah menghantar pesanan WhatsApp kepada kumpulan untuk mereka menempah slot sekiranya mahu datang menziarahi kami," jelas Cik Herlyna, 33 tahun.

Inisiatif itu memastikan keluarga besar itu tidak melanggar peraturan had lima orang tetamu atau tidak lebih daripada dua kunjungan sehari.

Ia merupakan sumbangan keluarga ini membantu mengamalkan langkah-langkah keselamatan lebih ketat demi membendung COVID-19, sepertimana diumumkan 4 Mei lalu dan berkuat kuasa pada 8 Mei.

BERITAmediacorp diberitahu, satu lagi sebab mengapa pasangan itu tidak terlalu terjejas adalah kerana mereka sering menziarahi sanak saudara mereka, walaupun bukan semasa di musim Raya.

Seperti kata Cik Herlyna, masih ada 'lain hari lagi untuk mengunjungi sanak saudara'.

PRIHATIN TENTANG KESELAMATAN TETAMU DAN KELUARGA

Pada hari pertama Lebaran hari ini (13 Mei), mereka sudahpun menetapkan menerima kunjungan lima orang tamu sahaja - iaitu keluarga abang Encik Muzaffar sekeluarga.

Keselamatan dan kebersihan setiap tetamu dipelihara dengan menyediakan cecair pembasmi kuman di depan pintu rumah.

Ia penting kerana keluarga itu mempunyai golongan lebih berisiko kepada COVID-19 - iaitu tiga anak kecil dan dua orang warga emas.

Yang pasti, walaupun sambutan Hari Raya kali ini tidak seheboh atau semeriah dulu, keluarga itu bersyukur kerana silaturrahim masih dapat dijalinkan secara fizikal dan juga secara online melalui Zoom. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan