S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • zainul
    Duta Singapura ke Kuwait, Zainul Abidin Rasheed, menyampaikan eulogi bagi mantan Presiden S R Nathan.

Zainul: S R Nathan sanggup berkorban demi rakyat, ibu pertiwi

SINGAPURA: Duta Besar Singapura ke Kuwait, Zainul Abidin Rasheed, menyifatkan mantan Presiden S R Nathan sebagai seorang yang mempunyai keinginan untuk berkorban untuk orang di sekelilingnya dan negara ini.

"Pengorbanan beliau yang amat terkesan ialah apabila beliau mempertaruhkan nyawanya dalam insiden Feri Laju pada Januari 1974," kata Encik Zainul dalam euloginya di Dewan Pusat Budaya Universiti NUS, hari ini (26 Ogos).

SANGAT PRIHATIN EHWAL MASYARAKAT MELAYU

Encik Zainul, yang juga mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, berkata Encik Nathan seorang yang sangat prihatin tentang ehwal masyarakat Melayu di sini.

Bahkan Encik Nathan berjaya mengumpul $300,000 untuk membiayai penerbitan sebuah buku mengenai warisan Melayu, katanya.

"Beliau selalu mahukan agar orang-orang Melayu melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura yang moden dan bersepadu sepenuhnya dan bukan hanya sebagai anggota kaum minoriti.

"Terakhir saya berpeluang bersembang dengan beliau ialah pada awal bulan Julai lalu. Selama hampir sejam kami berbual di SGH mengenai hal ehwal masyarakat Melayu, satu topik yang dekat di hatinya," ujar Encik Zainul.

Namun, beliau menarik perhatian bahawa keprihatinan-keprihatinan Encik Nathan melewati soal bangsa dan agama, dan berkata mantan Presiden itu juga melibatkan diri secara peribadi dalam projek monumen Nagore Dargah, yang kini Pusat Warisan Muslim India.

BERJALAN SEIRING RAJA, SULTAN, TETAPI TETAP RENDAH DIRI

Malah lebih mengagumkan, meskipun Encik Nathan berjalan seiring dengan raja-raja, sultan, presiden dan perdana menteri, Encik Zainul berkata beliau sentiasa "bersikap rendah diri apabila bersama kita" dan merupakan "seorang yang luar biasa".

Secara peribadi pula, Encik Zainul berkata beliau tidak akan lupakan tentang makanan kegemaran mendiang, yang mengeratkan lagi persahabatan mereka.

"Sebut saja nasi briyani, nasi lemak, lebih-lebih lagi durian, dan senyuman akan terukir di wajahnya. Saya akan mengingati hari-hari di mana kami bersembang sambil minum teh
dan menikmati puff durian di kediaman beliau di Ceylon Road. Beliau biasanya santai dengan memakai kain pelikat di rumah," ujar Encik Zainul.

"Walaupun saya telah berkesempatan berbual panjang dengan anda mengenai hal-hal yang menyentuh semangat berbilang budaya, agama, kebudayaan warisan, kepemimpinan dan sumbangan masyarakat Melayu/Islam kepada Singapura, kalau boleh, saya ingin masa yang lebih panjang bersama anda.

"Pemergian anda ibarat api lilin yang padam. Tetapi percayalah, Encik Nathan, semangat anda dan rasa cinta anda terhadap Singapura akan terus bersinar dalam kehidupan kami," kata Encik Zainul.

Berikut ini ucapan penuhnya:  

Ramai di antara kita yang mengenali mendiang Encik S R Nathan. Ada secara peribadi. Biografi beliau ada menceritakan bagaimana dari latar belakang yang serba kekurangan, beliau mendaki hingga ke jawatan tertinggi di Singapura.

Menjadi ahli kesatuan sekerja, menjadi pegawai awam, menjadi duta dan akhirnya menjadi Presiden Singapura yang ke-6. Dari kecil lagi beliau mempunyai azam untuk menghadapi cabaran dunia dan mencorak kehidupannya sendiri.

Saya percaya anda semua sedia maklum akan kejayaan kehidupannya. Beliau mempunyai keinginan untuk berkorban untuk orang di sekelilingnya dan negara yang tercinta ini. Pengorbanan beliau yang amat terkesan ialah apabila beliau mempertaruhkan nyawanya dalam insiden Feri Laju pada Januari 1974.

Hadirin sekalian, di sini saya ingin berkongsi beberapa pengalaman peribadi saya bersama Encik Nathan sepanjang persahabatan kami yang bertahun-tahun lamanya.

Pertama kali saya mengenali beliau ialah pada awal 1980an ketika saya berusia 34 tahun. Pada masa itu beliau baru dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif The Straits Times Press dan saya memegang jawatan Editor Berita Harian. Saya masih mentah dalam kerjaya industri itu.

Waktu itu saya sering bertemu Encik Nathan. Dalam kesempatan inilah saya mendapat tunjuk ajar beliau secara tidak langsung mengenai hal-hal di luar bidang kewartawanan, terutama dalam memahami fitrah manusia dan berbagai-bagai aspek pembangunan negara dan masyarakat. Itu merupakan ilmu yang secara langsung tidak terdapat di sekolah kewartawanan.

Rangkaian kenalan Encik Nathan semasa beliau bertugas di Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Luar (MFA) terbukti bermanfaat bagi saya semasa saya memegang jawatan Editor Bersekutu The Straits Times. Saya diberi tanggungjawab menubuhkan Meja Berita ASEAN. Dengan kesempatan mengiringi beliau melawat ibukota-ibukota ASEAN dan bertemu kenalan beliau yang bertugas di dalam dan di luar pemerintah itu telah berjaya membantu The Straits Times untuk menembusi rantau itu.

Semasa Encik Nathan menjadi Presiden, saya bertugas di MFA. Saya mengiringi beliau melawat banyak negara di Afrika, Asia dan Timur Tengah, termasuk Kuwait.

Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam insiden Feri Laju yang berakhir di Kuwait, lawatan beliau itu telah membantu merapatkan lagi hubungan antara kedua negara.

Encik Nathan adalah seorang yang luar biasa. Beliau telah berjalan seiring Raja, Sultan, Amir, Presiden dan Perdana Menteri, tetapi dengan cara yang istimewa beliau kekalkan sifat kesederhanaan dalam diri beliau. Beliau sentiasa bersikap rendah diri apabila bersama kita. Encik Nathan telah menambat hati kita semua.

Hadirin sekalian, terus terang saya ingin menyatakan bahawa Encik Nathan adalah seorang yang sangat perihatin akan hal ehwal masyarakat Melayu. Semasa saya menjadi Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Encik Nathan telah berjaya mengumpul derma/dana sebanyak $300,000 dalam satu makan siang sahaja untuk membiayai penerbitan sebuah buku mengenai warisan Melayu.

Kita semua tahu mengenai peranan murni Mendiang Encik Nathan untuk menjayakan Cabaran Presiden yang telah mengumpul lebih daripada $100 juta sepanjang 12 tahun untuk amal.

Satu sikap terpuji Encik Nathan ialah menghormati sahabat-sahabat beliau. Antara sahabat rapat beliau ialah Allahyarham Haji Ridzwan Dzafir yang pernah menyandang jawatan Pengarah Perdagangan. Lebih mesra dengan panggilan Pak Wan, beliau adalah mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki.

Encik Nathan sendiri telah melancarkan biografi Haji Ridzwan Dzafir sebagai penghargaan beliau terhadap pencapaian dan sumbangan sahabat lamanya itu kepada Singapura.

Encik Nathan juga melibatkan diri secara peribadi dalam projek monumen Nagore Dargah yang sekarang merupakan Pusat Warisan India Muslim. Sesungguhnya keprihatinan beliau melewati batas bangsa dan ugama.

Pada bulan Mei lalu, walaupun dalam keadaan kurang sihat, Encik Nathan sudi menghadiri majlis pelancaran buku "Majulah! 50 Tahun Masyarakat Melayu/Islam di Singapura". Beliau kemudian melahirkan rasa gembira beliau kerana buku ini telah merakamkan cabaran dan sumbangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang kemerdekaan Singapura.

Beliau selalu mahukan agar orang-orang Melayu melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura yang moden dan bersepadu sepenuhnya dan bukan hanya sebagai anggota kaum minoriti.

Terakhir saya berpeluang bersembang dengan beliau ialah pada awal bulan Julai
lalu. Selama hampir sejam kami berbual di SGH mengenai hal ehwal masyarakat Melayu, satu topik yang dekat di hatinya.

Secara peribadi, saya tidak akan lupa tentang kegemaran beliau pada makanan. Ini mengeratkan lagi persahabatan kami. Sebut saja nasi beriyani, nasi lemak, lebih-lebih lagi durian, akan terukir senyuman di wajahnya.

Saya akan mengingati hari-hari di mana kami bersembang sambil minum teh dan menikmati durian puff di kediaman beliau di Ceylon Road. Beliau biasanya santai dengan memakai kain pelikat di rumah.

Encik Nathan, anda akan senantiasa dikenang. Anda telah menjalani satu kehidupan yang cukup bermakna. Anda telah berjaya mencapai apa yang orang lain tidak berani impikan. Anda seorang ketua keluarga yang penyayang. Anda seorang pegawai tinggi pemerintah yang penuh dedikasi. Anda seorang diplomat bertaraf dunia. Anda seorang Presiden yang disayangi rakyat. Dan, yang tidak kurang penting, bagi saya, anda seorang sahabat sejati.

Walaupun saya telah berkesempatan berbual panjang dengan anda mengenai hal-hal yang menyentuh semangat berbilang budaya, ugama, kebudayaan warisan, kepemimpinan dan sumbangan masyarakat Melayu/Islam kepada Singapura, kalau boleh, saya ingin masa yang lebih panjang bersama anda. Kita semua akan senantiasa mengenang anda. Pemergian anda ibarat api lilin yang padam. Tetapi percayalah, Encik Nathan, semangat anda dan rasa cinta anda terhadap Singapura akan terus bersinar dalam kehidupan kami.

Selamat berpisah Encik S R Nathan. Selamat Bersemadi. 

- BERITAMediacorp/CNA/nd

Komen Anda?

Top