S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • nathan flag
    Bendera negara menutupi keranda mendiang S R Nathan. (Gambar: Xabryna Kek) 

Upacara Persemadian Negara bagi mantan presiden S R Nathan berlangsung hari ini

SINGAPURA: Upacara Persemadian Negara bagi mendiang mantan presiden S R Nathan akan diadakan di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura dari 3.00 petang hingga 5.00 petang pada hari ini (26 Ogos).

Perjalanan kereta jenazah mendiang akan bermula pada 2.00 petang, melalui beberapa mercu tanda negara seperti City Hall, Hotel Fullerton dan Pusat NTUC dalam perjalanan ke UCC.

Pada Khamis (25 Ogos), beribu-ribu orang memberi penghormatan terakhir kepada presiden yang paling lama berkhidmat di Singapura itu.

Upacara Persemadian Negara di UCC akan dihadiri oleh para anggota keluarga mendiang Encik Nathan, Presiden Singapura, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Anggota Parlimen, badan-badan kehakiman dan para diplomat asing.

Rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang juga dijemput menghadiri upacara itu, menurut pihak jawatankuasa penganjur.

Tujuh eulogi akan disampaikan, termasuk eulogi daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing dan Duta Kelana Tommy Koh.

Encik Nathan, presiden keenam dan yang paling lama berkhidmat di Singapura, meninggal dunia pada usia 92 tahun di Hospital Besar Singapura pada Isnin (22 Ogos), tiga minggu selepas diserang angin ahmar.

Ramai sahabat dan rakan sekerja Encik Nathan menghadiri upacara privet di kediaman mendiang pada Selasa (23 Ogos) dan Rabu (24 Ogos).

Sementara itu, orang ramai turut memberi penghormatan kepada mendiang di tapak yang diperuntukkan di pekarangan Istana.

Bendera negara menutupi keranda jenazah Encik Nathan, penghormatan tertinggi negara yang diberikan kepada seseorang pemimpin.

Selepas Upacara Persemadian Negara, jenazah mendiang Encik Nathan akan dibawa ke Krematorium Mandai bagi satu upacara persemadian privet.

Upacara Persemadian Negara akan disiarkan secara langsung di Saluran 5, Saluran 8, Suria, Vasantham dan Channel NewsAsia mulai 2.15 petang. Siaran serentak juga dapat diikuti melalui radio, www.channelnewsasia.com/rememberingsrnathan, dan toggle.sg. 

- CNA/ru

Komen Anda?

Top