S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • Briyani
    (Gambar: MUIS)

Sumbangan S R Nathan kepada masyarakat Islam S'pura turut dikenang

SINGAPURA: Khutbah sepanjang bulan ini membicarakan sifat rahmah. Rahmah juga bererti sifat belas ihsan terhadap sesama makhluk ciptaan Allah s.w.t., lebih-lebih lagi terhadap mereka yang banyak melakukan kebaikan.

Awal minggu ini, Singapura kehilangan seorang mantan pemimpinnya, mantan Presiden S R. Nathan yang menjalin hubungan akrab dengan masyarakat Islam Singapura.

Khutbah kedua solat Jumaat hari ini (26 Ogos) turut menyentuh tentang sumbangan mendiang kepada masyakat Islam Singapura.

Secara rasmi dan juga secara peribadi, mendiang Encik S R Nathan banyak menyokong usaha mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam.

Mendiang Encik Nathan juga tidak pernah lupa latarbelakang cabaran kehidupannya yang pernah dilaluinya, dengan menerajui usaha-usaha membantu golongan lemah dan yang memerlukan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (25 Ogos), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut berharap agar semangat kekitaan yang ditonjolkan mendiang akan menjadi pemangkin bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.  

Menyampaikan khutbah hari ini, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, Penolong Pengarah, Pejabat Mufti dan Pembangunan Asatizah, berkata, semangat kekitaan yang ditonjolkan mendiang diharap menjadi pemangkin kesatuan masyarakat Singapura.

"Semoga sumbangan mendiang dapat menjadi pencetus semangat buat diri kita dan generasi seterusnya, agar terus menyalurkan bakti dan sumbangan kepada agama dan juga negara. Mudah-mudahan dengannya, kita akan sentiasa melihat amal kebaikan dan kebajikan berterusan di negara kita," kata Ustaz Irwan.

- BERITAMediacorp/aw/nd

Top