S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • nathan najib
    Perdana Menteri Malaysia menandatangani buku takziah mendiang S R Nathan. (Gambar: Melissa Goh)

PM Najib tandatangani buku takziah bagi mantan presiden S R Nathan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Najib Razak hari ini (26 Ogos) menandatangani buku takziah di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur sebagai tanda hormat kepada mantan presiden Singapura S R Nathan yang meninggal dunia pada 22 Ogos.

Encik Najib yang tiba pada 8.30 pagi dan meluangkan sekitar 10 minit di pejabat suruhanjaya itu, disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon.


Bercakap kepada para wartawan selepas itu, Encik Najib yang mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia meluahkan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang mantan presiden itu.


"Semasa mendiang mantan presiden berkhidmat sebagai pesuruhjaya tinggi dan kemudian sebagai presiden, mendiang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan Singapura.

"Atas sebab itu, kami sangat mengharagi semua sumbangannya," tambah Encik Najib.

S R Nathan yang berusia 92 tahun meninggal dunia dengan tenang di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 9.48 malam pada Isnin (22 Ogos).

Pada 31 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Encik Nathan diserang angin ahmar dan berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi di SGH.

Encik Nathan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada 1988, adalah presiden paling lama berkhidmat di Singapura, dan menyandang jawatan itu buat dua penggal dari 1999 hingga 2011.

Beliau melepaskan jawatan secara rasmi pada 31 Ogos 2011 dan jawatan itu kini disandang oleh Presiden Tony Tan Keng Yam.

Delegasi Malaysia yang menghadiri Upacara Persemadian Negara di Singapura dipimpin Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai.

Delegasi tersebut termasuk Menteri Belia Khairy Jamaluddin dan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Joseph Kurup. 


- BERNAMA/CNA/ru

Komen Anda?

Top