Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: S R Nathan "salah seorang anak jati S'pura yang terhebat"

Mantan Presiden S R Nathan adalah  "antara anak jati Singapura yang paling hebat".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Aug 2016 04:30PM Dikemas Kini : 27 Aug 2016 12:52AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong adalah yang pertama untuk menyampaikan eulogi di Upacara Persemadian Negara bagi mantan Presiden S R Nathan hari ini (26 Ogos).

Menyifatkan Encik Nathan sebagai "antara anak jati Singapura yang paling hebat", Encik Lee berkata negara boleh mengambil banyak iktibar daripada riwayat kehidupan Encik Nathan.

"Beliau telah mengharungi pelbagai situasi yang amat mencabar ketika zaman kanak-kanaknya dan kemudian mendaki tangga kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam dengan kesungguhan, azam dan kebolehan beliau, dipandu hanya dengan sikap bertanggungjawab yang kuat terhadap tugasnya. Beliau meletakkan seluruh jiwa dan raga beliau apabila diberikan tugas, termasuk semasa bertugas di pejabat tertinggi di Singapura," kata Encik Lee.

Menurut Encik Lee, Encik Nathan pernah melahirkan harapan agar rakyat Singapura, khususnya golongan muda, akan dapat mengambil iktibar daripada riwayat kehidupannya dari biografi beliau, iaitu jangan sekali-kali putus asa."

Encik Nathan meninggal dunia pada Isnin (22 Ogos), tiga minggu selepas diserang penyakit angin ahmar. Mendiang berusia 92 tahun.

KERJAYA YANG LUAR BIASA

Sebelum menyandang jawatan Presiden, khidmat cemerlang Encik Nathan menjangkaui perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang kerja sosial, kesatuan, risikan, diplomasi, kewartawanan dan akademik, kata Encik Lee.

"Beliau memainkan peranan pemimpin dalam masyarakat India. Beliau juga adalah seorang Presiden bagi semua rakyat Singapura dan beliau amat prihatin tentang keharmonian kaum dan agama di sini," menurut Encik Lee.

Mengimbas kembali tentang perwatakan Encik Nathan - kewibawaan dan komitmennya yang kukuh terhadap Singapura - Encik Lee turut membangkitkan insiden Laju sebagai satu contoh yang benar-benar mencerminkan perwatakan Encik Nathan.

Pada 1974, dua orang pengganas Tentera Merah Jepun dan dua orang pengganas Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin cuba meletupkan loji penapisan minyak Shell di Pulau Bukom, kata Encik Lee. Apabila mereka gagal, mereka merampas "Laju" - sebuah feri yang beroperasi antara Pulau Bukom dan tanah besar Singapura.

Pemerintah Singapura berunding dengan pengganas-pengganas tersebut agar mereka melepaskan orang-orang tebusan mereka dengan memberi jaminan bahawa mereka dibenarkan berlepas ke Timur Tengah dengan selamat. Encik Nathan, yang ketika itu Pengarah Divisyen Keselamatan dan Risikan (SID), mempertaruhkan nyawanya untuk mengetuai satu pasukan yang dianggotai 13 orang kakitangan awam untuk menaiki pesawat Japan Airlines ke Kuwait, kata Encik Lee.

"Tidak ramai dari generasi sekarang yang tahu tentang insiden Laju. Kalau ada yang tahu sekalipun, mungkin mereka tidak menyedari betapa besarnya keputusan yang perlu diambil oleh Encik Nathan dan 12 lagi anggota pasukannya. Ia memerlukan keberanian yang luar biasa," dedah Perdana Menteri.

PERANAN S R NATHAN SEMASA KRISIS KEWANGAN GLOBAL 2008

Encik Nathan juga memainkan peranan penting dalam meluluskan penggunaan rizab negara. Ini kerana buat pertama kali dalam sejarah Singapura Pemerintah mendapatkan keizinan Presiden untuk meluluskan permintaan bagi menggunakan rizab negara.

Semasa dunia dilanda Krisis Kewangan Global 2008, Encik Lee meminta keizinan Encik Nathan untuk mengeluarkan S$5 bilion daripada rizab negara untuk membiayai Pakej Daya Tahan bernilai S$20 bilion.

"Selepas menimbangkannya dengan teliti, Encik Nathan meluluskan permintaan Pemerintah. Ia membolehkan kami untuk menangani krisis tersebut dan kami berjaya bangkit semula sebagai sebuah negara. Sekali lagi, Encik Nathan membuktikan bahawa beliau mampu membuat keputusan yang sukar apabila perlu.

Encik Lee yang pernah bertugas dengan Encik Nathan selama tujuh tahun sebagai Perdana Menteri, turut menyentuh tentang hubungan peribadi beliau dengan mantan Presiden itu.

"Saya berhubung dengan Encik Nathan secara tetap. Kadangkala, beliau akan makan tengah hari bersama saya di Istana. Apabila saya terjumpa sesuatu artikel yang mungkin menarik bagi beliau, saya akan hantar kepadanya. Beliau akan sentiasa membalasnya, dengan tulisan tangannya yang cantik yang berterusan sepanjang hayatnya."

Malah, beliau menulis kepada saya baru-baru ini, apabila seorang teman lama beliau memintanya untuk menyampaikan suatu pesanan kepada saya. Nota tersebut sepanjang empat muka surat, untuk menjelaskan konteks pesanan tersebut secara menyeluruh, dan juga telah menawarkan untuk menyampaikan respons saya kepada teman beliau. Saya rasa beliau sangat beruntung kerana masih mampu kekal aktif dan tetap mempunyai pemikiran yang tajam pada usia 92 tahun."

CINTA SEJATI S R NATHAN

Selain kerjaya Encik Nathan yang cemerlang, perjalanan hidup yang utama dan paling gemilang beliau adalah cinta beliau terhadap Cik Urmila Nathan.

"Beliau jatuh hati dengan Umi semasa pertama kali melihatnya pada tahun 1942. Ketika itu Umi berumur 13 tahun dan beliau berumur 18 tahun. Setelah berkenalan selama 16 tahun, menghadapi tentangan daripada ibu bapa, serta perpisahan selama dua tahun ketika Umi melanjutkan pelajaran di United Kingdom, mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 1958. Mereka menikmati jodoh yang amat panjang iaitu selama 73 tahun dan ini merupakan inspirasi kepada kita semua. Encik Nathan menyayangi dan menghormati Umi sepanjang hidup beliau. Umi pula menjadi tulang belakang kepada beliau sepanjang kerjaya beliau, termasuk selama 12 tahun beliau menyandang jawatan Presiden, yang mana dia menyokong beliau dengan sifat lemah lembut dan mesra. Puan Nathan, terima kasih."

Dari semasa ke semasa, Encik Nathan meletakkan negara sebelum dirinya sendiri. Secara senyap-senyap dan tanpa gembar-gembur, beliau meluangkan tahun-tahun gemilangnya untuk menyumbang kepada Singapura, kata PM Lee.

"Dengan penuh dukacita, kita mengucapkan selamat berpisah kepada salah seorang anak Singapura yang terhebat," kata Perdana Menteri sebelum menamatkan ucapan beliau. 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan