S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • pedati
    Perjalanan kereta keranda mendiang S R Nathan. (Gambar: Channel NewsAsia)

Perkembangan Terkini: Perjalanan kereta keranda jenazah S R Nathan

SINGAPURA: Perjalanan kereta keranda jenazah mendiang mantan Presiden S R Nathan akan bermula pada 2.00 petang hari ini (26 Ogos), dan akan melalui mercu-mercu tanda yang menjadi kebanggaan negara dan yang ada kaitan dengan mendiang.

Ini seperti City Hall, Hotel Fullerton, dan Pusat NTUC sebelum keranda dibawa ke Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura.

Perjalanan itu akan bermula dari Bangunan Parlimen, di mana jenazah mendiang ditempatkan bagi Upacara Penghormatan Terakhir. Bangunan itu juga adalah tempat di mana Encik S R Nathan berucap kepada para Anggota Parlimen sebanyak lima kali sepanjang tempoh 12 tahun menjadi Presiden.

Orang ramai boleh menyaksikan upacara perjalanan kereta keranda tersebut daripada tepi jalan dari Bangunan Parlimen ke UCC. Mereka dinasihati kekal berada di tepi-tepi jalan untuk keselamatan diri, tidak mencampakkan objek atau mengendalikan sebarang pesawat tanpa pemandu seperti dron semasa pedati meriam yang mengusung jenazah melalui mereka.

Upacara Persemadian Negara akan diadakan di UCC dari 3.00 hingga 5.00 petang.

Ikuti perkembangan terkini yang akan terus dikemaskini.

2.00 petang: Para Pengusung Keranda, terdiri daripada sembilan kakitangan dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF), memindahkan keranda itu ke pedati meriam istiadat 25 paun. Pedati meriam istiadat itu meninggalkan Bangunan Parlimen.




2.10 petang: Kereta keranda mendiang S R Nathan melalui City Hall atau Dewan Bandaraya Lama yang kini menjadi sebahagian daripada Galeri Nasional. Encik Nathan, Presiden Singapura paling lama berkhidmat, menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan di sini pada 2000, 2005 dan 2010.

Bangunan itu juga pernah menempatkan Kementerian Ehwal Luar di mana Encik Nathan merupakan seorang perintis dalam Perkhidmatan Luar Singapura.


2.15 petang: Orang ramai membarisi jalan-jalan raya di Raffles dan CBD untuk menyaksikan perjalanan kereta keranda mendiang mantan Presiden S R Nathan. 


2.25 petang: Kereta keranda mendiang S R Nathan melalui Hotel Fullerton. Pada awal kerjayanya dalam perkhidmatan awam, Encik Nathan dilantik menjadi Pegawai Kebajikan Pelaut di Jabatan Marin, yang terletak di Bangunan Fullerton, yang kini Hotel Fullerton.

Jabatan Marin salah satu pertubuhan yang digabungkan untuk membentuk Penguasa Pelabuhan dan Maritim. Beliau bertugas sebagai pegawai kebajikan di sana dari 1956 hingga 1962. Ia menandakan permulaan kerjayanya dalam hubungan buruh dan diplomasi.



2.30 petang: Kereta keranda mendiang S R Nathan melalui Pusat NTUC. Dari 1962 hingga 1965, Encik Nathan berkhidmat dalam Unit Kajian Buruh (LRU), sebuah unit Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Encik Nathan bertugas dalam LRU semasa pergolakan industri dan pertikaian politik. Beliau membantu NTUC menangani cabaran kesatuan-kesatuan pro-komunis hingga akhirnya NTUC menjadi kesatuan sekerja utama negara ini.
2.38 petang:  PM Lee Hsien Loong dan isteri serta Presiden Tony Tan Keng Yam tiba di UCC untuk Upacara Persemadian Negara bagi mantan Presiden S R Nathan.



2.50 petang: Setibanya di UCC, pedati meriam istiadat disambut di foyer utama oleh Barisan Kawalan Kehormatan , terdiri daripada 48 anggota perkhidmatan dari Pasukan Polis Tentera SAF.

LOH menurunkan senjata dan menundukkan kepala sebagai tanda hormat sedang pedati meriam istiadat melalui mereka. Langkah ‘Resting on Arms Reserved’ ini melambangkan penghormatan tertinggi yang diberikan SAF kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

2.57 petang: Para Pengusung Jenazah mengusung keranda ke UCC, sambil melakukan lintas hormat secara perlahan kepada alunan muzik Dead March from Saul gubahan G.F. Handel yang dimainkan oleh Pancaragam Tentera SAF.


3.00 petang: Perbarisan itu disertai Peratap Utama, Encik Osith Ramanathan, anak lelaki Encik Nathan dan anggota keluarga lain.

Pengusung keranda yang mengiringi mereka termasuk Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Lawrence Wong, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, para wakil dari Persatuan Rakyat – Encik Timothy De Souza, Encik Goh Jia Hao, Encik Syed Ahmad Said Yusof Alsagoff, Encik Ramamoorthy S/O Krishnan – serta dua rakan keluarga, Encik Desmond Yong and Encik Henry Goh.

Keranda akan diusung ke dalam Dewan UCC secara perlahan-lahan, diiringi dengan muzik ‘Air’ dari Overture No.3, D Major, BMV1068 oleh Bach yang dimainkan oleh Orkestra Simfoni Singapura. Keranda diletakkan di atas brier untuk Upacara Persemadian Negara.

Upacara Persemadian Negara di UCC dihadiri oleh para anggota keluarga mendiang, Presiden, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Anggota Parlimen, para pegawai kehakiman dan para wakil daripada kedutaan asing.

Rakyat Singapura dari setiap lapisan masyarakat juga diundang untuk menghadiri upacara tersebut.

Selepas Upacara Persemadian Negara, jenazah mendiang Encik Nathan akan dibawa ke Krematorium Mandai bagi satu upacara persemadian privet.

(Gambar-gambar: Channel NewsAsia)

- CNA/nd

Top