S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • end

Perkembangan Terkini: 7 eulogi disampaikan bagi S R Nathan di Upacara Persemadian Negara

SINGAPURA: Sebanyak tujuh eulogi disampaikan di Upacara Persemadian Negara bagi mantan Presiden S R Nathan hari ini (26 Ogos).

Eulogi-eulogi itu disampaikan dalam susunan berikut:

  • Perdana Menteri Lee Hsien Loong;
  • Profesor Tommy Koh, Duta Kelana, Penasihat Khas kepada Institut Pengajian Dasar dan Profesor Undang-Undang NUS;
  • Encik Zainul Abidin Rasheed, Duta Besar Singapura ke Kuwait dan mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar;
  • Cik Jennie Chua, pengasas bersama Beeworks, yang terkenal dengan jawatan-jawatannya sebelum ini dalam sektor-sektor pelancongan, perhotelan dan hartanah;
  • Encik Ramaswamy Athappan, pengerusi dan CEO Fairfax Asia dan CEO First Capital Insurance;
  • Encik Chan Chun Sing, Setiausaha Agung NTUC dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri; dan
  • Encik Gopinath Pillai, Duta Kelana dan pengerusi Institut Pengajian Asia Tenggara di NUS.

Eulogi-eulogi itu disampaikan di Upacara Persemadian Negara, yang akan berlangsung di Pusat Budaya Universiti (UCC) NUS dari 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Ikuti perkembangan terkini yang akan terus dikemaskini:

3.15 petang: PM Lee Hsien Loong mula menyampaikan euloginya. 
Mendiang S R Nathan seorang Presiden untuk semua rakyat Singapura, dan amat prihatin tentang keharmonian, kata PM Lee.


Ini petikan-petikan ucapan PM Lee:

ISTERI ENCIK NATHAN TULANG BELAKANG BELIAU

"Selain kerjaya Encik Nathan yang cemerlang, perjalanan hidup yang utama dan paling gemilang beliau adalah cinta beliau terhadap Umi. Beliau telah jatuh hati dengan Umi semasa pertama kali melihatnya pada tahun 1942. Ketika itu Umi berumur 13 tahun dan beliau berumur 18 tahun.

"Setelah berkenalan selama 16 tahun, menghadapi tentangan daripada ibu bapa, serta perpisahan selama dua tahun ketika Umi melanjutkan pelajaran di United Kingdom, mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 1958.

"Mereka menikmati jodoh yang amat panjang iaitu selama 73 tahun dan ini merupakan inspirasi kepada kita semua. Encik Nathan menyayangi dan menghormati Umi sepanjang hidup beliau. Umi pula menjadi tulang belakang kepada beliau sepanjang kerjaya beliau, termasuk selama 12 tahun beliau menyandang jawatan Presiden, yang mana dia
menyokong beliau dengan sifat lemah lembut dan mesra. Puan Nathan, terima kasih."

ENCIK NATHAN SELALU LAKUKAN TERBAIK UNTUK S'PURA:

"Beliau sentiasa melakukan yang terbaik untuk Singapura, malahan melibatkan pergorbanan dan mendatangkan risiko terhadap dirinya sendiri. Tidak kira apa pun misinya, beliau akan menyahut panggilan tugas tersebut. Singapura sudah tentu boleh harapkan kesetiaan dan dedikasi beliau.

"Hanya segelintir orang sahaja yang menyahut seruan negara dengan setia dan sekerap beliau, dan berkhidmat untuk Singapura dengan cemerlang."

JANGAN PUTUS ASA: IKTIBAR DARI ENCIK NATHAN

Ada banyak pengajaran yang boleh kita perolehi daripada kehidupan Encik Nathan. Beliau pernah mengharapkan agar rakyat Singapura, terutama yang muda, dapat mengambil satu pengajaran yang penting daripada kisah kehidupannya, iaitu “untuk tidak berputus asa.”

"Ia merupakan kata-kata nasihat yang dipegang teguh oleh Encik Nathan. Beliau telah mengharungi pelbagai situasi yang amat mencabar ketika zaman kanak-kanaknya dan kemudian mendaki tangga kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam dengan kesungguhan, azam dan kebolehan beliau, dipandu hanya dengan sikap bertanggungjawab yang kuat terhadap tugasnya.

"Beliau meletakkan seluruh jiwa dan raga beliau apabila diberikan tugas, termasuk semasa bertugas di pejabat tertinggi di Singapura. Dari semasa ke semasa, beliau meletakkan negara sebelum dirinya sendiri. Secara senyap dan tanpa gembar-gembur, beliau meluangkan tahun-tahun gemilangnya untuk menyumbang kepada Singapura." 

3.40 petang: Encik Zainul Abidin Rasheed menyampaikan eulogi


Berikut ini petikan-petikan ucapannya:

ZAINUL: S R NATHAN PUNYA KEINGINAN BERKORBAN UNTUK NEGARA
"Beliau mempunyai keinginan untuk berkorban untuk orang di sekelilingnya dan negara yang tercinta ini.
"Pengorbanan beliau yang amat terkesan ialah apabila beliau mempertaruhkan nyawanya dalam insiden Feri Laju pada Januari 1974."

ZAINUL: S R NATHAN SANGAT PRIHATIN EHWAL MELAYU
"Terus terang saya ingin menyatakan Encik Nathan seorang yang sangat prihatin akan hal ehwal masyarakat Melayu.
"Encik Nathan berjaya mengumpul $300,000 dalam satu makan siang sahaja untuk membiayai penerbitan sebuah buku mengenai warisan Melayu."

MAHU MELAYU LIHAT DIRI SEBAGAI RAKYAT BERSEPADU
"Mendiang S R Nathan selalu mahukan agar orang-orang Melayu melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura yang moden dan bersepadu sepenuhnya, dan bukan hanya sebagai anggota kaum minoriti."

"SEBUT SAJA BRIYANI, DURIAN, BELIAU AKAN TERSENYUM"
"Sebut saja nasi briyani, nasi lemak, lebih-lebih lagi durian, akan terukir senyuman di wajahnya."

4.15 petang: Setiausaha Agung NTUC dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing menyampaikan eulogi.


Berikut ini beberapa petikan euloginya:

"ENCIK NATHAN LAYAN KAMI SEMUA SEBAGAI KELUARGA":
"Jika anda fikir yang Encik Nathan melayan saya sebagai seorang pegawai turus yang hebat, anda silap.

"Encik Nathan tidak pernah menganggap kami sebagai pegawai-pegawai turus. Sebaliknya beliau menganggap kami semua sebagai anggota keluarga," kata Menteri Chan Chun Sing tentang tempoh bekerja dengan mendiang di  Institut Kajian Pertahanan dan Strategik (IDSS) NTU.

NASIHAT S R NATHAN: JANGAN PERLEKEH KESATUAN SEKERJA
"Gerakan kesatuan sekerja adalah tempat rakyat biasa bangkit dan maju. Rakyat biasa adalah penting. Jangan memperlekehkan mereka."

4.50 petang: Selepas eulogi-eulogi disampaikan, Peratap Utama dan Encik Lee masing-masing meletakkan lingkaran bunga di atas keranda, dan Presiden Tony Tan Keng Yam menyerahkan Bendera Negara dan alat kelengkapan kepada Peratap Utama.


Seorang peniup begol dari Pancaragam Tentera SAF meniupkan Last Post. Secara tradisi, Last Post menandakan berakhirnya tugasan hari itu dan bermulanya waktu berehat pada waktu malam. Dalam konteks upacara persemadian, ia melambangkan tabik yang terakhir kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.


Para hadirin bertafakur selama seminit, sebelum Rouse dibunyikan – lambang kembali bertugas setelah memberi penghormatan kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.


Keranda mendiang kemudian dibawa keluar dari Dewan UCC, menandakan berakhirnya Upacara Persemadian Negara.

Kereta keranda mendiang S R Nathan dibawa ke Krematorium Mandai bagi upacara persemadian privet.

(Gambar-gambar: Petikan dari kaca TV)

- CNA/nd

Top