S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • nathan ndp
    Mantan Presiden S R Nathan melambai kepada para penonton di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2007. (Gambar fail: TODAY)

Penghormatan kepada "tokoh luar biasa" di Upacara Persemadian Negara

SINGAPURA: Meskipun mantan Presiden S R Nathan berjalan seiring dengan raja-raja, sultan, presiden dan perdana menteri, beliau sentiasa "bersikap rendah diri apabila bersama kita."

Itulah yang dikatakan Duta Besar Singapura ke Kuwait, Zainul Abidin Rasheed dalam euloginya di Upacara Persemadian Negara bagi Encik Nathan, sambil menyifatkan mendiang sebagai "seorang yang luar biasa".

"Beliau mempunyai keinginan untuk berkorban untuk orang di sekelilingnya dan negara
yang tercinta ini. Pengorbanan beliau yang amat terkesan ialah apabila beliau mempertaruhkan nyawanya dalam insiden Feri Laju pada Januari 1974," kata Encik Zainul, yang juga mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar.

Beliau juga berkata Encik Nathan amat prihatin dengan ehwal masyarakat Melayu di sini. Mendiang juga mengumpul S$300,000 untuk membiayai penerbitan sebuah buku tentang warisan Melayu.

"Beliau selalu mahukan agar orang-orang Melayu melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura yang moden dan bersepadu sepenuhnya dan bukan hanya sebagai anggota kaum minoriti.

"Terakhir saya berpeluang bersembang dengan beliau ialah pada awal bulan Julai lalu. Selama hampir sejam kami berbual di SGH mengenai hal ehwal masyarakat Melayu, satu topik yang dekat di hatinya," ujar Encik Zainul.

Encik Zainul menarik perhatian bahawa keprihatinan-keprihatinan Encik Nathan melewati soal bangsa dan agama, dan berkata mantan Presiden itu juga melibatkan diri secara peribadi dalam projek monumen Nagore Dargah, yang kini Pusat Warisan Muslim India.

Secara peribadi pula, Encik Zainul berkata beliau tidak akan lupakan tentang makanan kegemaran mendiang, yang mengeratkan lagi persahabatan mereka.

"Sebut saja nasi briyani, nasi lemak, lebih-lebih lagi durian, dan senyuman akan terukir di wajahnya. Saya akan mengingati hari-hari di mana kami bersembang sambil minum teh dan menikmati puff durian di kediaman beliau di Ceylon Road. Beliau biasanya santai dengan memakai kain pelikat di rumah," kata Encik Zainul.

Encik Nathan merupakan "sahabat sejati" yang akan terus dikenang, kata Encik Zainul.

"Walaupun saya telah berkesempatan berbual panjang dengan anda mengenai hal-hal yang menyentuh semangat berbilang budaya, agama, kebudayaan warisan, kepemimpinan dan sumbangan masyarakat Melayu/Islam kepada Singapura, kalau boleh, saya ingin masa yang lebih panjang bersama anda.

"Pemergian anda ibarat api lilin yang padam. Tetapi percayalah, Encik Nathan, semangat anda dan rasa cinta anda terhadap Singapura akan terus bersinar dalam kehidupan kami," kata Encik Zainul.

SELALU FIKIR TENTANG MENYUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT

Duta Kelana, Gopinath Pillai berkata mantan Presiden S R Nathan mempunyai "sifat-sifat yang lembut" dan gemar menonton filem-filem Tamil dan Malayalam.

"Lagu yang telah anda dengar pada permulaan upacara ini, Thanjavooru Manneduthu, merupakan lagu yang amat digemari beliau. Ini menjelaskan banyak mengenai beliau hinggakan beliau amat terkesan dengan lagu Tamil ini kerana kisah di dalamnya serupa dengan kisah Singapura - bagaimana daripada kita berbilang kaum, kita bersatu padu; meskipun tradisi, budaya dan agama kita berbeza, kita dapat menjadi 'satu rakyat'," ujarnya.

Encik Nathan juga prihatin terhadap sensitiviti agama, kata Encik Gopinath, dan menasihati agar tidak menghentikan tradisi membaik pulih kuil-kuil Hindu setiap 12 tahun.

"Beliau mengingatkan saya bahawa tanggungjawab kami adalah untuk menguruskan sistem yang cekap, dan jangan menyentuh kepercayaan para penganut agama," kata Encik Gopinath.

Mantan Presiden itu juga bersetuju untuk berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Endowmen Hindu (HEB) dan memastikan akaun-akaun lembaga itu dikemaskini serta melaksanakan langkah-langkah ketat untuk memastikan tiada kesilapan atau penyalahgunaan berlaku, kata Duta Kelana itu.

Apabila Encik Gopinath bertanya kepada Encik Nathan mengapa beliau bersetuju menjadi pengerusi HEB, mendiang menjelaskan beliau mahu institusi-institusi India di sini menjadi boleh diyakini, dan ia merupakan tanggungjawab individu-individu berjaya untuk melibatkan diri dalam pentadbiran pertubuhan-pertubuhan masyarakat.

"Beliau berpendapat bahawa mereka yang sudah berjaya tidak harus memisahkan diri mereka daripada masyarakat masing-masing," ujarnya.

"Keinginan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sentiasa merupakan yang paling utama dalam fikiran Encik Nathan," kata Encik Gopinath, sambil menambah bahawa sebagai salah seorang pengasas Persatuan Pembangunan India Singapura (SINDA), Encik Nathan juga menerajui banyak inisiatif yang mempertingkatkan kehidupan ramai orang.

"Beliau dengan tegas berpendapat bahawa setiap kanak-kanak tidak kira bangsa atau agama harus mempunyai peluang untuk membangunkan potensi mereka sepenuhnya," kata Encik Gopinath.

JENNIE CHUA: ENCIK NATHAN KOMITED KERJA SOSIAL

Mantan pengerusi Tabung Dana Masyarakat, Jennie Chua, berkata sebagai mantan Presiden Singapura, Encik Nathan mampu 'meminjamkan' pejabatnya bagi memperjuangkan pelbagai tujuan.

Namun beliau begitu komited terhadap sektor khidmat sosial, dan beliau mahu terlibat secara langsung dan menyumbang dalam apapun cara yang mungkin.

Sumbangannya terhadap sektor itu termasuk mengasaskan Cabaran Presiden, yang mengumpul lebih S$100 juta dalam lebih 12 tahun untuk membantu kanak-lanak memerlukan, keluarga, warga tua, golongan kurang upaya dan lain lagi sejak 2000.

"Encik Nathan bekerja keras untuk menjayakan Cabaran Presiden. Beliau bertemu dengan semua kenalannya. Apa yang bermula sebagai inisiatif untuk seminggu, menjadi kempen selama setahun," ujarnya.

Inisiatif beliau juga memanfaatkan badan-badan kebajikan lebih kecil dan mereka yang menghadapi kesukaran mengumpul dana secara sendirian, dan beliau menjadi mentor kepada ramai yang berkhidmat dalam sektor itu, katanya.

"MEREKA YANG KENALINYA AKAN KENANG BELIAU SEUMUR HIDUP"

Sahabat peribadi Encik Nathan, Ramaswamy Athappan, berkata beliau melihat sendiri bagaimana "mendiang memberikan perhatian teliti terhadap keprihatinan harian warga Singapura biasa."

Bercakap dalam Bahasa Tamil, beliau berkata Encik Nathan berbual-bual dan mendengar keprihatinan orang ramai yang ditemuinya setiap kali berjalan-jalan pada waktu pagi dengan murah hati, sopan dengan teliti.

"Saya bersyukur diberi peluang mengenalinya dengan lebih baik," ujarnya.

Encim Ramaswamy berkata pastinya, mereka yang mengenali Encik Nathan akan mengenang beliau sepanjang hayat, dan menceritakan satu insiden pada Julai lalu.

Sebuah kumpulan relawan seramai empat wanita dari India tiba dengan motosikal di Koswe bagi peringkat akhir wisata rentas sempadan di serata Asia untuk meningkatkan kesedaran tentang pembunuhan bayi perempuan di India.

Para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura tidak membenarkan mereka masuk ke Singapura kerana mereka tidak mempunyai insurans kenderaan yang betul.

Salah seorang kenalan penunggang basikal itu kebetulan kenal dengan Encik Nathan dan menghubunginya untuk meminta bantuan.

"Meskipun ketika itu beliau dalam hospital, dan meskipun hari sudah berganti malam, Encik Nathan menghubungi saya. Beliau meminta bantuan saya untuk membantu penunggang-penunggang motosikal itu mendapatkan insurans kenderaan motor serta merta," katanya.

Encik Nathan akan sentiasa kekal sebagai sesuatu yang berharga yang tidak ternilai harganya dalam kenangan kita semua, katanya.

"Kami semua beruntung mengenali tokoh yang hebat ini," kata Encik Ramaswamy. 

- CNA/nd

Komen Anda?

Top