Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin masyarakat, rakan beri penghormatan kepada S R Nathan pada hari kedua upacara privet

Para ahli politik, sahabat dan rakan-rakan kerja datang bertali-arus untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan pada hari kedua upacara privet di rumahnya hari ini (24 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Aug 2016 12:59PM Dikemas Kini : 24 Aug 2016 08:45PM

SINGAPURA: Para ahli politik, sahabat dan rakan-rakan kerja datang bertali-arus untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan pada hari kedua upacara privet di rumahnya hari ini (24 Ogos).

Antara mereka yang mengunjungi rumah mendiang ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang sebak ketika menceritakan kenangan manis bersama Encik Nathan.

Menteri Masagos Zulkifli selepas hadir di upacara privet bagi mantan Presiden S R Nathan pada 24 Ogos. (Gambar: Xabryna Kek)

Menteri Masagos Zulkifli selepas hadir di upacara privet bagi mantan Presiden S R Nathan pada 24 Ogos. (Gambar: Xabryna Kek)

Kata Encik Masagos, pertama kali beliau bertemu Encik Nathan ialah ketika beliau menjemput para Anggota Parlimen (AP) yang baru dilantik ke jamuan tengah hari. Para AP memberi layanan terhormat kepada beliau, sementara Encik Nathan mempamerkan perwatakan bertokoh.

Namun sebaik sahaja pintu ditutup, jamuan tengah hari itu berubah menjadi acara yang lucu, katanya.

"Ia satu detik yang tidak akan saya lupakan," kata Encik Masagos hari ini (24 Ogos), sambil menambah Encik Nathan tahu cara memberi layanan baik dan penyayang kepada golongan muda.

MASAGOS: MENDIANG PRIHATIN DENGAN KEBAJIKAN MASYARAKAT ISLAM

Encik Masagos berkata bahawa Encik Nathan amat prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam.

"Apabila kami bersama, beliau mengongsi dengan saya keprihatinan beliau tentang masyarakat saya, dan bagaimana beliau merasakan beliau juga sebahagian daripada masyarakat ini," ujarnya.

Sejurus selepas tengah hari, Menteri Tenaga Manusia, Lim Swee Say tiba di rumah mendiang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Encik Nathan.

HABIB HASSAN: MENDIANG PRIHATIN KEBAJIKAN RAKYAT

Turut hadir di upacara privet mendiang Encik Nathan ialah Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan dan beberapa tokoh agama.

Habib Hassan menyifatkan mantan Presiden itu sebagai seorang yang cukup prihatin terhadap semua orang, sama ada beliau mengenalinya atau tidak.

Katanya, beliau sudah beberapa tahun mengenali Encik Nathan dan menghargai persahabatannya. Malah, menurut Habib Hassan, pada setiap Hari Raya, Encik Nathan akan mengirimkan muruku kepada beliau dan keluarganya, termasuk tahun ini, meskipun mendiang uzur ketika itu.

"Saya kenal mendiang S R Nathan beberapa tahun, dan setiap Hari Raya beliau akan kirim muruku kepada saya dan keluarga, dan saya tidak lupa kerana pada tahun ini pun walaupun beliau uzur, saya mendapat kiriman muruku, dan sampai sekarang saya masih simpan dan menghargai persahabatannya.

"Beliau adalah seorang yang cukup prihatin terhadap semua orang sama ada beliau kenal ataupun tidak," ujarnya. 

LIM SWEE SAY: MENDIANG BINA ASAS PERKUKUH GERAKAN BURUH

Bercakap kepada para wartawan, Encik Lim menyifatkan Encik Nathan sebagai "seorang tokoh hebat dan terutama sekali, pemimpin amat penyayang."

Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say tiba di upacara privet mantan Presiden S R Nathan pada 24 Ogos. (Gambar: Xabryna Kek)

Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say tiba di upacara privet mantan Presiden S R Nathan pada 24 Ogos. (Gambar: Xabryna Kek)

Beliau berkata antara sumbangan paling penting Encik Nathan untuk Singapura ialah membantu untuk membina asas bagi memperkukuhkan gerakan buruh dan perikatan tiga pihak ketika masa-masa tidak menentu.

"Pada masa kritikal itu, ketika itulah, Encik Nathan tampil ke hadapan. Beliau ketika itu kakitangan awam muda yang menyertai NTUC dan membantu menubuhkan unit kajian buruh, dan sepanjang empat tahun beliau bersama gerakan buruh, beliau membantu membina asas yang kukuh dan sihat.

"Sebab mengapa kami dalam keadaan begitu baik hari ini ialah kerana pemimpin-pemimpin perintis seperti Encik S R Nathan, atas apa yang dilakukannya untuk memastikan kami mempunyai asas yang kukuh untuk terus berkhidmat kepada rakyat Singapura," kata Encik Lim.

Encik Lim juga menggariskan bagaimana Encik Nathan membantu untuk mengumpul sejuta dolar bagi gerakan buruh, menerusi bukunya "Against all odds" yang didedikasikan beliau sebagai hadiah kepada gerakan itu untuk menyediakan biasiswa.

"Hasilnya, hari ini para pemimpin muda, baru dan berpotensi masa depan kini mampu mempertingkatkan diri menerusi biasiswa itu," katanya.

TAN CHUAN-JIN: MENDIANG DIHORMATI DALAM SEKTOR KERJA SOSIAL

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Tan Chuan-Jin tiba sekitar 1.30 tengah hari untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden itu.

Menteri Tan Chuan-Jin tiba di upacara privet bagi mantan Presiden S R Nathan. (Gambar Xabryna Kek)

Menteri Tan Chuan-Jin tiba di upacara privet bagi mantan Presiden S R Nathan. (Gambar Xabryna Kek)

"Saya rasa Encik Nathan secara fizikal mungkin agak kecil orangnya, namun beliau seorang yang hebat. Dan saya rasa beliau seorang yang patut kita kagumi, dan melambangkan, saya rasa, yang terbaik di antara kita," kata Encik Tan kepada para wartawan selepas hadir di upacara privet.

Menteri itu juga berkata Encik Nathan "seorang tokoh yang amat dihormati" dalam sektor kerja sosial. Beliau berkata betapa besarnya sumbangan beliau itu tidak diketahui ramai orang.

"Saya rasa beliau memainkan peranan amat penting dalam melindungi kepentingan kita dan pada masa yang sama menjaga kebajikan warga Singapura yang kurang bernasib baik. Itulah warisannya," ujarnya.

Encik Nathan meninggal dunia malam kelmarin (22 Ogos) pada usia 92 tahun di Hospital Besar Singapura (SGH) setelah diserang angin ahmar. Jenazahnya dibawa dengan kereta keranda dari hospital ke rumah keluarganya pada pagi semalam.

Tidak lama setelah jenazah mendiang tiba di rumahnya semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan isterinya, Cik Ho Ching mengunjungi rumah Encik Nathan bagi upacara privet itu.

Ahli politik lain yang datang berkunjung semalam termasuk Timbalan-timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam dan Teo Chee Hean, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Speaker Parlimen Halimah Yacob dan mantan menteri S Dhanabalan.

Jenazah Encik Nathan akan dibawa ke Bangunan Parlimen esok untuk ditempatkan di sana.

Upacara Persemadian Negara akan diadakan untuk mantan Presiden itu pada 3.00 petang lusa.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan