Para pemimpin S'pura bertali arus beri penghormatan terakhir
Para pemimpin Singapura bertali arus ke Bangunan Parlimen siang tadi (25 Ogos) untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan.
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura bertali arus ke Bangunan Parlimen siang tadi (25 Ogos) untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong hadir di upacara penghormatan negara petang tadi bersama isterinya Cik Ho Ching.
Mereka berdua kemudian beramah mesra dengan balu mendiang S R Nathan dan keluarganya.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung NTUC, Chan Chun Sing pula mengetuai kira-kira 750 wakil pergerakan buruh ke Bangunan Parlimen.
"Hati mendiang sering bersama rakyat yang paling memerlukan bantuan. Dan sejak hubungannya dengan gerakan buruh dalam tahun-tahun 1960-an, beliau selalu berkongsi kata-kata bijaksana dan dorongan," ujarnya.
Dua Pemangku Menteri Pendidikan, Ng Chee Meng dan Ong Ye Kung, pula mengiringi kakitangan kanan dan perwakilan 120 buah sekolah serta Kementerian Pendidikan ke upacara penghormatan terakhir itu.
Encik Ong mengingati Encik Nathan sebagai seorang yang ghairah untuk mempelajari apa saja di sekeliling kita.
"Mendiang tidak pernah meraih ijazah dari mana-mana universiti, beliau meraih diploma kerja sosial dari Universiti Malaya, tetapi beliau menghadiri universiti kehidupan dan beliau pernah memegang pelbagai jawatan dari perniagaan, kesatuan sekerja, keselamatan, diplomasi dan akhirnya jawatan tertinggi negara sebagai Presiden.
"Apa saja yang dilakukannya, dilakukan dengan penuh keghairahan, perasaan ingin tahu dan sentiasa ingin belajar," ujar Encik Ong.
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pula mengingati Encik Nathan kerana sentuhan peribadinya.
"Salah satu perkara yang saya belajar daripada beliau adalah sentuhan amat peribadi mendiang dalam berhubungan dengan orang, dan beliau mempunyai minat tulen dan rasa prihatin terhadap manusia, dan sangat menyayangi Singapura dan warganya," kata Encik Gan.
Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishanan juga memberi penghormatan terakhir di Bangunan Parlimen siang tadi bersama para diplomat tempatan dan kakitangan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu serta Menteri Negara Kanan Ehwal Luar dan Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman juga ke Bangunan Parlimen untuk upacara penghormatan terakhir, siang tadi.
Beberapa lagi Anggota Parlimen (AP) termasuk AP-AP pembangkang juga hadir siang tadi untuk memberikan penghormatan terakhir.
Mantan AP pembangkang Chiam See Tong dan isteri juga sempat meramah mesra bersama keluarga Encik Nathan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.