Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Orang Melayu terlampau baik’, ‘ada kekuatan yang kita tak nampak’, kata S R Nathan

MUIS mengirim surat takziah kepada isteri dan keluarga mendiang Encik Nathan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: MUIS mengirim surat takziah kepada isteri dan keluarga mendiang Encik Nathan.

MUIS melahirkan rasa "kesedihan yang mendalam di atas pemergian seorang pemimpin yang sangat dihormati".

Ia juga menganggap Encik Nathan sebagai "Presiden berjiwa rakyat" dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Menurut MUIS, mendiang Encik Nathan menghadiri banyak acara yang dianjurkan masyarakat Islam.

Ini termasuklah inisiatif Cabaran Presiden Beriani Amal yang dipeloporinya.

Dalam laporan berikut, Pengerusi Masjid Khalid, Encik Allaudin Mohamed berkongsi pengalamannya dalam menyediakan beriani amal itu.

"Encik Nathan kalau pasal beriani, cakap di mana ada jual beriani, kata orang sedap sahaja, dia hendak cuba.Kalau dia makan beriani ada sistem dia sendiri, rasa nasinya dulu, apabila sudah hidu aromanya, letak masala, lepas tu campur daging. Apabila semua sudah cukup, baru makan dengan acarnya. Selagi ada beriani di rumah dia, di peti sejuk, nanti dia akan minta 'Ada lagi beriani Allaudin?'," Encik Allaudin memberitahu BERITAMediacorp.

Selama 16 tahun, Encik Allaudin adalah 'orang kuat dapur' yang memasak beriani untuk acara tahunan Beriani Amal.

Walaupun Encik Nathan tidak lagi menjadi Presiden, Pengerusi Masjid Khalid ini pastikan setiap bulan beliau akan menghantar sebungkus makanan kegemaran Encik Nathan itu ke rumahnya.

Di sebalik hidangan istimewa ini, sebenarnya tersirat satu lambang.

Lambang Beriani Amal Cabaran Presiden ini, beliau membuka satu ruang untuk masyarakat kita. Masjid ini bukan satu tempat untuk orang Islam sahaja.

Selama berinteraksi dengan mendiang Encik Nathan, Encik Allaudin menyifatkannya sebagai seorang yang peramah, mempunyai budi pekerti yang tinggi dan sentiasa prihatin terhadap setiap lapisan masyarakat.

"Selalu pesanan beliau adalah untuk masyarakat kita dan agama. Akhir-akhir ini berapa kali beliau bercakap mengenai agama sebab terdapat pergolakan Islam di dunia sekarang, beliau banyak prihatin dalam masyarakat Islam Singapura. Satu cerita yang beliau bilang dengan saya, "Allaudin, orang Melayu ini orang paling baik dan mereka senang. Mereka orangnya 'simple', tapi orang Melayu ini ada kekuatannya yang kita tidak nampak, cuma mereka terlampau baik jadi mereka tidak menggunakan kekuatan yang ada pada mereka itu untuk mempertengahkan kemahuan mereka.

“Mereka lebih berkompromi. Mereka selalu mengalah, dan cari jalan yang lebih baik. Itu satu budi pekerti pada orang-orang Melayu yang lain masyarakat tidak ada. Pesanan beliau dengan saya, dan keluarga saya, bila saya bawa anak-anak saya, dia akan bicara tentang persekolahan. Tiap kali. Mesti mahu belajar pandai-pandai, kita dulu mak bapak tidak pergi sekolah, sekarang mesti pergi sekolah pandai-pandai. Jangan malas. Pendidikan adalah jalan menuju kejayaan dan menaik taraf masyarakat," tambah Encik Allaudin.

(Gambar: MUIS)

Tambah Encik Allaudin, kehadiran mendiang Encik Nathan dalam acara-acara kemasyarakatan seperti acara Beriani Amal menunjukkan komitmen dan penghargaan beliau kepada masyarakat Islam Singapura, sekali gus membina sebuah masyarakat penyayang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan