S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • nathan parlimen
    Pengawal penjagaan jenazah mendiang presiden S R Nathan di Bangunan Parlimen. (Gambar: Lam Shu Shan)

Jenazah mantan Presiden S R Nathan ditempatkan di Bangunan Parlimen

SINGAPURA: Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang mantan Presiden S R Nathan hari ini (25 Ogos).

Selepas perkabungan privet selama dua hari, kereta keranda yang membawa jenazah mendiang meninggalkan kediamannya di Ceylon Road sekitar 8.45 pagi.

Keranda jenazah mantan Presiden itu tiba di Bangunan Parlimen kira-kira 9.00 pagi. Pasukan pengusung keranda terdiri daripada sembilan pegawai tentera darat, laut dan udara serta polis, memindahkan keranda ke tempat usungan jenazah untuk Upacara Penghormatan Terakhir.

Jenazah mendiang disambut oleh Speaker Parlimen Halimah Yacob di Bangunan Parlimen, dan akan ditempatkan di sana dari 10.00 pagi hari ini (25 Ogos) sehingga 12.00 tengah hari esok (26 Ogos).

Bendera Negara kemudian diletakkan menutupi keranda dengan disaksikan keluarga mendiang Encik Nathan.

Lambang bulan sabit dan bintang-bintang di Bendera Negara diletakkan di bahagian kepala dan dekat dengan hati. Ini merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan negara kepada seorang pemimpin.

Pingat-pingat pencapaian Encik Nathan juga diletakkan di atas keranda, termasuk Darjah Utama Temasek, Pingat Jasa Gemilang dan Pingat Bakti Masyarakat.

Pasukan pegawai bertauliah juga berkawal di penjagaan jenazah sebagai tanda penghormatan khas kepada mendiang Encik Nathan. Mereka terdiri daripada empat pegawai tentera darat, laut dan udara serta polis - setiap pegawai berdiri di sudut keranda.

Presiden Tony Tan Keng Yam dan isterinya adalah yang pertama memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden Nathan.

Dr Tan juga menandatangani buku takziah dan beliau berkata Singapura kehilangan seorang tokoh hebat yang sangat mengambil berat tentang Singapura.

"Kita telah kehilangan seorang tokoh yang hebat. Semua rakyat Singapura akan berasa sangat kehilangan Encik Nathan. Jiwa dan raga serta komitmen yang diberikan beliau kepada Singapura menjadi inspirasi, dan sudah pasti, kepada saya dan isteri dan kepada semua rakyat Singapura," ujar Dr Tan.

Esok, jenazah mendiang Encik Nathan akan dibawa ke Pusat Budaya Universiti di NUS bagi Upacara Persemadian Negara.

Encik Nathan, presiden keenam dan yang paling lama berkhidmat dalam jawatan tersebut, meninggal dunia pada usia 92 tahun di Hospital Besar Singapura pada Isnin (22 Ogos), tiga minggu selepas diserang penyakit angin ahmar.

Ramai sahabat dan rakan sekerja Encik Nathan menghadiri upacara privet di rumah mendiang pada Selasa (23 Ogos) dan Rabu (24 Ogos), sementara orang ramai memperingati mendiang di tapak yang diperuntukkan di pekarangan Istana.

- CNA/ru/nd

Komen Anda?

Top