S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • goh nathan
    Mendiang S R Nathan dan ESM Goh Chok Tong (Gambar: Laman Facebook ESM Goh, MParader)

Goh Chok Tong: S R Nathan ''melengkapkan Encik Lee Kuan Yew"

SINGAPURA: Mendiang S R Nathan adalah "sahabat dan rakan kerja yang sangat dihormati". Demikian menurut Menteri Kanan Emeritus (EMS) Goh Chok Tong, dalam surat takziah kepada isteri mendiang hari ini (23 Ogos).

Encik Nathan adalah "anak watan Singapura yang setia dan mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat."

"Ya, ramai rakyat Singapura tidak tahu sepenuhnya tentang hidup beliau yang luar biasa," tambah ESM Goh.

"Kehidupan beliau adalah satu kisah ketabahan, keberanian dan perkhidmatan. Daripada pengalaman saya berinteraksi dengannya, saya mengenalinya sebagai seorang yang cekal dan taat kepada rakan dan rakan kerja beliau. Beliau maju daripada seorang kerani hingga sebagai seorang presiden disebabkan keberanian, kecekapan dan jiwa rakyat beliau."

ESM Goh juga mengatakan mendiang Perdana Menteri Lee Kuan Yew mengusulkan Encik Nathan kepadanya sebagai calon presiden pada tahun 1999.

"Apabila saya menjemput Nathan untuk menyandang jawatan itu, beliau menangis. Beliau memberitahu saya mengenai zaman nakal beliau semasa kanak-kanak, bagaimana beliau lari dari rumah dan tinggal berasingan dengan keluarganya buat bertahun. Beliau risau ia akan menjadi kemudaratan.

"Saya membalas kepadanya, ia akan menjadi kisah penebusan yang hebat dan keazaman untuk berjaya," cerita Encik Goh.

Encik Nathan kemudian berkhidmat selama dua penggal sebagai Presiden dengan cemerlang.

"Beliau jujur, rendah diri dan berjiwa rakyat," kata SM Goh lagi.

Beliau berkhidmat dengan cemerlang dalam banyak bidang perkhidmatan awam termasuk perkhidmatan sosial, Gerakan Buruh, perkhidmatan risikan dan ehwal luar negara.

Semasa salah satu sesi makan tengah hari mereka, Encik Nathan mendapat ilham untuk memulakan Cabaran Presiden pada 2002 bagi mendukung rakyat Singapura yang berkeperluan.

Encik Goh berkata: "Beliau menggalak rakyat Singapura untuk membantu satu sama lain bukan dari sudut kewangan saja tetapi juga dalam menunjukkan keprihatinan yang benar.

"Saya berasa dukacita tetapi berasa tenang kerana semangat perkhidmatan awam beliau akan terus hidup di kalangan rakyat Singapura."

ESM Goh yang juga menziarahi mendiang di rumahnya di Ceylon Road menambah: "Sumbangan beliau kepada Singapura sangat besar tetapi saya akan katakan mungkin kurang dihargai ramai orang. Ini kerana beliau bukan seorang pemimpin politik sehingga beliau menjadi presiden. Tetapi jika anda tahu kisah hidupnya dari muda lagi, beliau seorang pegawai awam yang hebat.

"Di satu sudut, beliau melengkapkan Encik Lee Kuan Yew dan para pemimpin perintis - beliau tambah dengan beberapa pengkhidmat awam yang lain sepertinya. Jadi, kesalingbergantungan antara pegawai awam dan pemimpin politik saya rasa, sangat penting bagi Singapura."

EMS Goh menambah: "Perkara utama adalah sumbangan besar (Encik Nathan) kepada Singapura, yang mana saya rasa kini orang ramai baru mula menghargainya."

"His contributions to Singapore were immense, but I would say probably underappreciated by most people. That's because...

Posted by Channel NewsAsia on Tuesday, 23 August 2016

EMS Goh yang juga AP sekian lama bagi GRC Marine Parade berkata: "Saya kehilangan seorang penduduk yang unggul dan setia. Setiap kali saya ke sini, beliau akan berdiri di pintu.

"Jadi tidak seperti penduduk lain yang mana saya perlu mengetuk pintu rumah mereka, penduduk ini di luar menunggu saya apabila saya ke sini. Saya kehilangan beliau.

"Namun, isteri beliau masih di sini dan saya memberitahunya, bila saya boleh saya akan ke sini dengan izin beliau saya akan menghubungi beliau untuk bertanya khabar."

Mengenai bagaimana keadaan Puan Nathan, ESM Goh berkata: "Dengan kehadiran ramai di sini, beliau nampak tenang tetapi apabila anda menyebut tentang beberapa perkara seperti (apabila) isteri saya berbual dengannya, isteri saya dapat melihat beliau menangis. Jadi anda tidak akan tahu sehingga beliau bersendirian dengan beberapa anggota keluarga saja. Tetapi di hadapan yang lain, beliau dapat menahan perasaan itu."

ESM Goh menambah: "Saya ingin menambah cara Encik Nathan meninggalkan dunia ini adalah cara yang terbaik. Beliau aktif dan sedarkan diri sehingga saat akhir apabila beliau diserang angin ahmar, ke hospital, dan berada di sana sekitar tiga minggu, tanpa rasa terseksa." 

- CNA/ru

Komen Anda?

Top