S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • chan chun sing (1)
    Ketua gerakan buruh Chan Chun Sing dan Encik Heng Chee How memberi penghormatan kepada S R Nathan. (Gambar: Xabryna Kek)

Chan Chun Sing: S R Nathan "anggap kami semua sebagai keluarga"

SINGAPURA: Mantan Presiden S R Nathan memberi kepercayaan kepada mereka yang berkhidmat di bawah pimpinannya untuk melaksanakan pelan-pelan, dan memberikan tunjuk ajar bahawa hanya kekurangan daya imaginasi akan menghambat mereka.

Demikian kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, hari ini (26 Ogos).

Ketua gerakan buruh itu berkata demikian ketika menyampaikan eulogi keenam daripada tujuh eulogi yang disampaikan di Upacara Persemadian Negara untuk Encik Nathan.

Dalam ucapannya, Encik Chan menceritakan detik pertemuannya buat pertama kali dengan Encik Nathan, iaitu apabila beliau ditugaskan membantu mendiang menubuhkan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik (IDSS), 20 tahun lalu.

"Jika anda fikir yang Encik Nathan melayan saya sebagai seorang pegawai turus yang hebat, anda silap. Encik Nathan tidak pernah menganggap kami sebagai pegawai-pegawai turus. Sebaliknya beliau menganggap kami semua sebagai anggota keluarga," kata Encik Chan.

Contohnya, mantan Presiden itu tidak pernah terlepas menjemput Encik Chan ke perayaan keluarganya setiap tahun.

"Dengan sifat kebapaannya, beliau sering bertanya khabar kepada saya dan tentang keluarga saya dan lain-lain lagi. Beliau tidak perlu mengajar saya bagaimana hendak mengambil berat tentang orang-orang di sekeliling saya. Sebaliknya, beliau menunjukkan contoh dengan melakukannya," kata Encik Chan.

Meskipun beliau jauh lebih berpengalaman, Encik Nathan mempunyai sikap rendah diri dan sikap "murah hati untuk membantu generasi muda," kata Encik Chan.

Menceritakan satu lagi kisah tentang mendiang, Encik Chan berkata pada 2011, selepas beliau menyertai politik dan Encik Nathan sudah bersara daripada jawatan Presiden, mendiang meminta bertemu dengannya di pejabat beliau yang ketika itu dikenali sebagai Kementerian Masyarakat, Belia dan Sukan.

"Saya terkejut. Saya beritahu Encik Nathan bahawa beliau tidak perlu ke pejabat saya. Saya yang sepatutnya datang bertemu beliau," ujar Encik Chan.

Namun apabila Encik Chan akhirnya mengunjungi Encik Nathan di rumahnya, mantan Presiden itu berkata kerana beliau kini warga Singapura biasa, beliau yang sepatutnya mengunjungi Menteri itu di pejabatnya.

"Saya semakin menghormati beliau. Saya memberitahu Encik Nathan yang beliau sentiasa menjadi mentor saya dan seorang Presiden yang kami selalu kenangi," katanya.

Encik Nathan sekali lagi berada di sisi beliau apabila Encik Chan menyertai gerakan buruh pada 2015 - Encik Nathan sudah menghabiskan bertahun-tahun lamanya membangunkan gerakan buruh Singapura dan memainkan peranan penting dalam penubuhan kesatuan sekerja disokong Pemerintah, NTUC.

Nasihat Encik Nathan supaya jangan mengambil mudah "rakyat biasa" dan berani tampil ke hadapan dan bercakap dengan "orang-orang besar" tanpa rasa takut akan sentiasa dikenang gerakan buruh, kata Encik Chan.

"Anda menunjukkan kepada kami keberanian untuk tampil ke hadapan dan bercakap tanpa rasa takut sebagai rakyat. Anda menunjukkan kami bagaimana untuk mengambil berat terhadap rakan senegara, terutama sekali orang-orang yang amat memerlukan," ujar Encik Chan.

Hanya beberapa bulan lalu pada Mei, Encik Nathan meluangkan masa untuk kembali ke NTUC untuk mengongsi perspektifnya meskipun beliau kurang sihat dan mempunyai jadual yang ketat, kata Encik Chan.

"Encik Nathan lalu bertanya, apakah kami akan menjadi pembela para pekerja kita? Kami akan mengambil berat tentang satu sama lain, walau bagaimana sekalipun?

"Ya, kami akan melakukannya, Encik Nathan. Kami akan mengambil berat tentang satu sama lain. Kami akan menjaga Singapura," katanya.

"Generasi perintis zaman anda sudah banyak berkorban, berusaha dan menghadapi banyak kesukaran untuk memberi kami peluang untuk menggelarkan diri kami rakyat Singapura.

"Kami, generasi muda, akan terus memajukan negara kami," ujar Encik Chan lagi.

- CNA/nd

Komen Anda?

Top