S R Nathan Dalam Kenangan

Images
  • Tributes
    Bunga-bunga dari rakyat Singapura buat mendiang Encik S R Nathan. (Gambar-Gambar: Nisha Karyn)

BERITA BERGAMBAR: Rakyat S'pura beri penghormatan terakhir kepada S R Nathan di Istana

SINGAPURA: Sanjungan orang ramai mencurah-curah di Istana hari ini (24 Ogos), dua hari setelah pemergian mantan Presiden S R Nathan.





Pesara, Saraj Din, 70 tahun, bersama-sama mendiang Encik Nathan adalah antara lapan pegawai pemerintah yang sanggup bersabung nyawa mengiringi para pengganas ke Kuwait sebagai ganti bagi membebaskan anak-anak kapal yang menjadi tebusan di dalam sebuah feri pada tahun 1974.

Insiden itu, yang dikenali sebagai rampasan Laju, "ditangani dengan begitu mahir" oleh Encik Nathan, menurut Encik Din.

"Beliau seorang yang pragmatik, berfikiran jauh dan dalam masa yang sama beliau begitu berkemahiran dalam rundingan yang dilakukan dan disebabkan kepimpinan beliau kami berasa yakin bahawa keselamatan kami terjamin," jelas Encik Din.

Kali terakhir Encik Din bertemu dengan mendiang Encik Nathan adalah di sebuah majlis jamuan teh yang dianjurkan Encik Nathan di Istana sebelum beliau bersara, di mana mendiang mengundang semua yang terlibat dalam insiden tebusan Laju itu.

Encik Din, yang juga bekas pegawai polis berkata Encik Nathan seorang yang "sangat mudah didampingi" dan sering menegurnya jika mereka bertembung di majlis-majlis.

"Malah, ada beberapa kali beliau mempelawa saya ke rumahnya, namun saya terlalu segan," tambah beliau.



Zac Liu, 27 tahu, seorang rakyat China yang menuntut di sini berkata, beliau "amat bersedih" mendengar tentang pemergian Encik Nathan.

"Sumbangan beliau terhadap Singapura menjadikan negara ini sebuah negara yang selamat dan negara yang bagus untuk para penuntut antarabangsa. Saya harap beliau tenang."

Rakan Encik Liu, Valecia Chu, seorang penuntut berusia 20 tahun juga berada di Istana untuk memberi penghormatan terakhir.

"Inilah yang dapat saya lakukan, datang ke sini dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan-sumbangan beliau kepada Singapura."


Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Health Alliance T K Udairam berkata mendiang Encik Nathan merupakan tetamu terhormatnya di banyak majlis.

"Beliaulah seseorang yang anda inginkan bagi seorang presiden- mesra, mudah didekati, sentiasa mendengar, tidak lokek memberi nasihat dan sentiasa ada untuk anda. Beliau boleh bergaul dengan golongan tua dan muda dengan baik," kata beliau.

"Beliaulah yang saya sifatkan sebagai lambang seorang Presiden."


- CNA/nk

Komen Anda?

Top