Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belasungkawa S R Nathan: PERGAS, RRG, Perdaus turut sampaikan ucap takziah

Luahan rasa sedih dan duka di atas pemergian wira negara iaitu mantan Presiden S R Nathan, terus datang dari badan-badan Melayu/Islam tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Belasungkawa S R Nathan: PERGAS, RRG, Perdaus turut sampaikan ucap takziah

Gambar: Facebook/Pergas

SINGAPURA: Luahan rasa sedih dan duka di atas pemergian wira negara iaitu mantan Presiden S R Nathan, terus datang dari badan-badan Melayu/Islam tempatan.

Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Singapura (Pergas) menyatakan ia sedih dengan pemergian mantan ketua negara itu dan menyampaikan salam takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang Encik Nathan.

Menzahirkan demikian menerusi laman Facebooknya, Pergas menyatakan, Encik Nathan merupakan seorang yang disukai ramai dan diingati sebagai tokoh yang suka berkhidmat kepada orang lain.

“Azamnya untuk mengatasi kesukaran-kesukaran merupakan satu inspirasi,” menurut Pergas lagi.

Gambar: Facebook/Pergas

Gambar diambil semasa Retreat Tahunan RRG pada tahun 2012. Encik Nathan bersama para asatizah dan relawan RRG di Orchid Country Club.

PERDAUS: WARISAN S R NATHAN AKAN TERUS HIDUP

Bagi sebuah lagi badan Islam tempatan iaitu Perdaus, ia juga melahirkan perasaan “sangat sedih” di atas berpulangnya mantan Presiden SR Nathan pada usia 92 tahun.

Mendiang merupakan tokoh yang paling lama berkhidmat selaku Presiden Singapura, iaitu 12 tahun.

Menulis di laman Facebook, Perdaus menyatakan, walaupun ia tidak berpeluang bekerja secara langsung dengan mendiang, “warisan beliau (SR Nathan) dalam menyokong badan-badan kebajikan dan kerja kemasyarakatan, akan terus hidup menerusi acara amal President’s Star Charity”.

“Salam takziah kami kepada Puan S R Nathan dan keluarganya dalam masa–masa sukar ini,” tulis Perdaus lagi.

RRG: NATHAN “SEORANG BAPA KEPADA SEMUA RAKYAT SINGAPURA”

Turut mengenang dan melahirkan rasa duka di atas pemergian Encik S R Nathan ialah Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), yang menyifatkan mendiang sebagai “seorang bapa kepada semua rakyat Singapura”.

Menurut RRG, ia pernah mengadakan perbincangan terus terang dengan mantan Presiden itu tentang perkara-perkara yang dekat di hati masyarakat Islam. Ini termasuklah isu-isu pengganasan seperti Jemaah Islamiyah.

“RRG akan sentiasa menghargai nasihat bernilai dan panduan yang Encik Nathan berikan kepada kumpulan kami. Antara lain, beliau menasihatkan RRG supaya tabah dalam memerangi ekstremisme, dan supaya sentiasa melihat kembali pendekatan kami. (Ini) memberi inspirasi dan mendorong kami untuk terus bergerak secara progresif,” menurut RRG lagi.

Mendiang Encik Nathan tambah RRG, akan dikenang sebagai seorang pemimpin ulung negara, kerana “melakar sebuah tempat tinggal yang selamat dan aman bagi kita semua di Singapura”.

AMP & JAMIYAH: “INGATAN DAN DOA” BUAT “SEORANG PEMIMPIN BESAR S’PURA”

Badan bantu diri Angkatan Karyawan Islam (AMP) turut menggunakan laman media sosialnya untuk menyampaikan rasa takziah mendalam kepada Puan Nathan dan keluarganya.

“Ingatan dan doa kami ada bersama anda dalam masa-masa hiba ini,” tulis AMP.
Jamiyah Singapura turut melahirkan “kesedihan di atas kehilangan salah seorang pemimpin besar Singapura”.

Menurutnya lagi, “Kami mendoakan agar keluarga Encik S R Nathan tabah dalam saat-saat sukar ini”. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan