Ramadan 2020

Images
  • masagos buka puasa
    (Petikan skrin: Facebook)

Ukhuwah umat Islam S'pura jangkaui jurang fizikal, kata Masagos

SINGAPURA: Semangat bersatu padu yang dipaparkan oleh umat Islam Singapura menjangkaui jurang fizikal, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Jumaat (22 Mei).

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebooknya setelah menyertai acara #SGUnited E-Buka Puasa anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) semalam (21 Mei).

Acara yang disokong oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu diadakan menerusi persidangan video dan ia turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman.

Turut membuat persembahan adalah barisan artis dari dalam dan luar negara termasuk Khairudin Samsudin, Suhaimi Yusof, Anwar Zain dan Hady Mirza.

Semasa acara tersebut, para tetamu berkongsi tentang bagaimana mereka akan menyambut Syawal yang bakal menjelma dengan cara yang selamat, iaitu dengan menundakan kunjungan Hari Raya sehingga 2 Jun.

Ramai juga yang semasa acara itu turut berkongsi bahawa ia adalah satu pilihan yang sukar, terutama sekali bagi warga senja yang merindui anak dan cucu mereka.

Encik Masagos juga berkongsi pengalaman yang serupa.

"Saya berkongsi bagaimana ibu saya sendiri bergurau tentang betapa lama beliau hanya menatap wajah saya melalui kaca televisyen atau di akhbar," tulis Encik Masagos.

"Oleh itu, saya kerap menelefonnya, bertanya khabar dan menerangkan bahawa semua langkah ini terpaksa diambil kerana kita mahu melindungi warga emas supaya kita boleh menyambut Hari Raya seperti biasa bersama mereka pada tahun-tahun mendatang, Insya-Allah," tambah beliau lagi.

Dalam catatannya itu, Encik Masagos melahirkan harapan agar ukhuwah yang dijalin "akan terus menyatukan masyarakat sedang kita mengharungi COVID-19 dan cabaran masa hadapan."

"Buat masa ini, ayuh kita kekal selamat dan patuh pada langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan. Semoga kita bangkit dari episod ini sebagai sebuah masyarakat Singapura yang lebih teguh dan berdaya bingkas," kata Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/tq

Top