Ramadan 2020

Images
  • syahrain fadzil
    (Gambar: Facebook/Edmund Gan, Instagram/Syahrain Fadzil)

Tidak punya tangan tetapi tekun kerja hantar makanan semasa Ramadan, COVID-19

MALAYSIA: Tidak dapat dinafikan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai terjejas pendapatan akibat diberhentikan kerja atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Namun dalam suasana yang suram terdapat juga peluang mencari rezeki, seperti bertambahnya pesanan bagi khidmat penghantaran makanan ke rumah di tengah langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan pelbagai pemerintah untuk membendung wabak itu.

Baru-baru ini, seorang pekerja penghantaran GrabFood bernama Syahrain Fadzil mendapat perhatian di media sosial kerana beliau tetap tekun bekerja meskipun kurang sempurna dari segi fizikal.

Laman World of Buzz melaporkan pengguna Facebook bernama Edmund Gan, menulis tentang pengalamannya menerima penghantaran minuman daripada Encik Syahrain.

Apabila Encik Syahrain tiba di luar rumah pelanggan itu, Encik Gan meminta beliau menggantungkan saja air yang dipesan itu di pintu pagar kerana ingin mengelakkan sentuhan di tengah-tengah wabak COVID-19. Namun Encik Gan kehairanan apabila pekerja penghantaran itu menjawab: "Adik boleh tolong angkat? Abang ni tak dapat buat."

Apabila Encik Gan membuka pintu pagarnya, beliau agak terkejut mendapati bahawa Encik Syahrain tidak mempunyai tangan.

"Tak payah cari, memang sudah tak ada," kata pekerja penghantaran itu secara berseloroh apabila melihat reaksi Encik Gan.

World of Buzz melaporkan bahawa keadaan Encik Syahrain itu disebabkan beliau pernah terlibat dalam satu pengalaman menggerunkan semasa di sekolah rendah dahulu yang menyebabkan kedua belah tangannya terpaksa dipotong di bawah bahagian siku.

Namun menurut laman itu, tragedi yang dilalui tidak melunturkan semangat Encik Syahrain untuk berusaha sendiri mencari rezeki tanpa memerlukan bantuan orang.

Malah, Encik Syahrain juga sebenarnya popular di Instagram, dengan lebih 88,200 pengikut di akaunnya setakat ini. Baru-baru ini juga beliau kerap berpesan kepada para pengikutnya agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia dalam usaha membendung penularan COVID-19.

"Goodmorning💞 Awak semua please stay home 💕 Bia saya yang buat kerja 🤣😝," tulis beliau dalam satu catatan awal bulan lalu. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

- Agensi berita/TQ/tq

Top