Ramadan 2020

Images
  • SGUnited Buka Puasa (1)
    (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SGUnited Buka Puasa capai sasaran kumpul dana S$3 juta

SINGAPURA: Inisiatif SGUnited Buka Puasa mencapai sasaran mengumpulkan dana sebanyak S$3 juta hanya dalam sebulan selepas dilancarkan. Ini diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (18 Mei).

Inisiatif masyarakat itu menghimpunkan pelbagai agensi dan pertubuhan masyarakat untuk mengutip derma bagi menyediakan serta menghantarkan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Sebanyak 20,000 sajian makanan diagihkan kepada pihak hospital, Kelab Masyarakat dan penerima Zakat MUIS.

Selain sumbangan derma masyarakat, dana itu juga menerima suntikan daripada pertubuhan privet dan amanah kebajikan tempatan terutamanya Yayasan Stephen Riady dan dana oscar@sg Amanah Temasek. Kedua-dua pertubuhan itu adalah dalam kalangan penyumbang terbesar dalam usaha pengumpulan dana tersebut. Ia menyertai 7,000 penderma lain yang menyumbang hampir S$780,000 menerusi wadah pengumpulan dana online Giving.SG serta S$450,000 lagi melalui kaedah derma lain.

MUIS dan masjid-masjid sebelum ini menyumbangkan sejumlah S$1.6 juta untuk inisiatif tersebut, yang menyaksikan sasaran pengumpulan dananya dinaikkan sekali kerana permintaan tinggi daripada masyarakat bagi penyediaan makanan.

Dengan sumbangan muhibbah masyarakat, sektor masjid membuat suntikan kali kedua iaitu tambahan sebanyak S$200,000 bagi inisiatif tersebut sekali gus membawa jumlah sumbangan MUIS dan masjid kepada sebanyak S$1.8 juta.

Hasil sokongan luar biasa daripada masyarakat, lebih 20,000 individu tempatan meraih manfaat dan menerima juadah harian menerusi inisiatif tersebut iaitu satu usaha berterusan untuk menangani serta meringankan kesan COVID-19.

Juadah-juadah itu juga diagihkan kepada para petugas barisan hadapan yang memerangi COVID-19.

Menurut MUIS, menjelang akhir Ramadan ini, 600,000 juadah berbuka akan diagihkan secara keseluruhan.

Pengarah Eksekutif Yayasan Rahmatan lil Alamin Zainul Abidin Ibrahim berkata: "Pada masa daya ketahanan ramai diuji, kami menyaksikan sikap murah hati para individu, perniagaan tempatan, amanah kebajikan dan sekumpulan besar relawan yang menghulurkan ihsan serta bantuan praktikal yang amat diperlukan kepada mereka yang terjejas oleh pandemik ini."

"Sokongan yang luar biasa ini adalah bukti bahawa masyarakat melihat pentingnya melibatkan diri dan mempergiatkan lagi usaha menghulurkan bantuan sesama warga Singapura."

SGUnited Buka Puasa adalah satu usaha bersama antara masjid-masjid MUIS, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Persatuan Rakyat (PA), Roses of Peace dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

MUIS menyatakan kempen pendanaan awam SGUnited Buka Puasa di Giving.sg akan ditutup pada Selasa, 19 Mei ini, memandangkan ia sudah mengecapi sasaran pengumpulan dana sebanyak S$3 juta.  

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top