Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sabar tunggu makcik buka puasa meski pelanggan bukan Islam ini 'mengidam' epok-epok

Sikap bertimbang rasa nampaknya kian menyerlah dalam kalangan penduduk tempatan sejak 'musim circuit breaker' di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sabar tunggu makcik buka puasa meski pelanggan bukan Islam ini 'mengidam' epok-epok

Sebuah cawangan Old Chang Kee di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi. (Gambar hiasan: oldchangkeesingapore/Instagram)

SINGAPURA: Sikap bertimbang rasa nampaknya kian menyerlah dalam kalangan penduduk tempatan sejak 'musim circuit breaker' di Singapura.

Lebih-lebih lagi sewaktu bulan Ramadan sekarang, sesetengah individu bukan beragama Islam dilihat mendahulukan keutamaan warga Melayu/Islam dalam beberapa aspek.

Seorang pelakon komedi tanah air Rishi Budrani berkongsi satu insiden cukup membuka mata seumpama itu yang dilaluinya sendiri.

Menulis catatan di Facebooknya baru-baru ini, Rishi berkata beliau singgah ke sebuah cawangan Old Chang Kee pada 12 Mei kerana mengidam epok-epok Curry'O. Namun, tiada seorang pun yang dilihat sedang beratur mahupun berdiri di kaunter gerai itu. Hanya notis pada sebuah loceng yang bertulis: "Tekan untuk dilayan".

Rishi berkata beliau hampir menekan loceng itu tetapi terdetik di hatinya untuk menjenguk ke ruang dapur di belakang bagi melihat jika ada sesiapa. Menerusi satu celah kecil, beliau ternampak dua orang makcik bertudung sedang menjamu selera.

"Saya melihat jam; 7.20 malam. Iftar. Tidak perlu untuk menekan loceng," tulisnya.

Kemudian, datang seorang lelaki Cina yang menyertai Rishi untuk berdiri dalam barisan di belakangnya - tepat satu meter jauh jaraknya.

"Nampaknya, beliau mengidam sama seperti saya," seloroh Rishi.

Kedua-dua lelaki itu bertentangan mata dan Rishi menggunakan bahasa isyarat universal untuk menggambarkan bahawa para penjual sedang makan. Isyarat itu langsung difahami lelaki Cina berkenaan tanpa perlu penjelasan lanjut. Mereka terus 'tercegat' di luar kedai Old Chang Kee dengan penuh kesabaran sambil menunggu makcik-makcik jurujual selesai berbuka puasa - satu senario yang menurut Rishi adalah 'keindahan dalam kesederhanaan'.

"Saya rasa pada masa orang mengelar satu sama lain di Chinatown, doxxing satu sama lain kerana salah tingkah laku di tempat awam atau mengadu tentang betapa lewat pesanan mereka dihantar oleh pekerja penghantaran makanan, ini pula satu pemandangan menyegarkan untuk melihat makcik-makcik berbuka puasa dengan buah-buahan dan kuih-muih sedang mereka bersembang sambil tertawa," luah Rishi.

Beliau menambah buat seketika itu, ia terasa ibarat kehidupan seperti biasa tanpa COVID-19, pemutus rantaian jangkitan mahupun pandemik.

"Kemudian saya sedar mungkin bukan Curry'O yang kami idamkan tetapi sebenarnya harapan yang kami dambakan."

"Harapan adalah apa yang kami dambakan sekarang," beliau mengakhiri catatannya.

Ruangan komen terkait dengan catatan itu dibanjiri oleh kata-kata positif daripada para pengguna lain yang tersentuh hati dengan sikap bertimbang rasa yang ditunjukkan oleh kedua-dua Rishi serta lelaki Cina berkenaan.

Selain mengucapkan terima kasih kerana memahami keadaan, ada juga yang berkata perbuatan murni sedemikian seakan mengembalikan nilai-nilai kemanusiaan di tengah-tengah krisis COVID-19 sekarang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan