Ramadan 2020

Images
  • quran
    Gambar hiasan.

#QuranHour Sedunia ajak umat Islam sejagat berinteraksi dengan Al-Quran

KUALA LUMPUR: Walaupun wujud ancaman penularan wabak COVID-19 selain kekekangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi umat Islam, ia bukan penghalang dalam mendekatkan diri dengan Al-Quran pada bulan Ramadan ini. 

Penganjuran program-program berkaitan Al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini, contohnya, siaran langsung World #QuranHour anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) menjadi medan baru pencetus minda bagi ummah melalui QTT (Quran, Tadabbur, Tazakkur) dengan menerapkan nilai-nilai Al-Quran.

Pada Rabu (13 Mei), World #QuranHour bertemakan 'Reboot Global Harmony' memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan yang akan dibacakan oleh Qari dari Malaysia dan Indonesia. Pentadabbur dari kedua-dua negara akan menjelaskan setiap maksud ayat yang dibaca oleh Qari bagi tujuan pemahaman kepada para peserta. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff, program sejam World #QuranHour yang diadakan pada 20 Ramadan setiap tahun adalah program kemuncak Berinteraksi dengan Al-Quran secara sejagat melalui pendekatan Baca, Faham dan Amal yang sangat ditunggu-tunggu untuk disertai oleh umat Islam.

"Program World #QuranHour asalnya tercetus sebagai sebuah platform yang mengetengahkan “divine solutions” dari 114 Surah dalam Al-Quran berdasarkan modul HTE (Heaven To Earth) melalui kaedah Tadabbur Al-Quran (mempelajari Al-Quran) dan Tazakkur Al-Quran (menghayati Al-Quran).

KONSEP BACA, FAHAM DAN AMAL

"Peserta amat tidak sabar-sabar untuk menyertai program sebegini demi memperbaiki diri dan akhlak peribadi mereka juga," kata Cik Marhaini.

Beliau berkata sebagai bukti, setakat 2019, World #QuranHour telah diadakan di lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara selain dapat menjangkau 1.46 bilion capaian dalam media sosial.

Jelas Cik Marhaini lagi, gerakan berinteraksi dengan Al-Quran menerusi konsep Baca, Faham dan Amal ini mempunyai visi untuk MengQurankan Bangsa dan Mengikhlaskan Ummah dalam usaha mengubah pemikiran masyarakat agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Beliau juga menjelaskan, pada asalnya WUIF merancang untuk menganjurkan World Quran Convention Surah Ar Rahman - dijadualkan pada April lalu - yang bakal mengumpulkan tokoh-tokoh agama serta pemimpin dari beberapa bahagian dunia, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 dengan satu tarikh baru akan diumumkan kelak.

Orang ramai yang ingin menyertai Program World #QuranHour boleh mengikuti program itu yang akan bersiaran secara langsung di studio tanpa penonton di TV Alhijrah selama satu jam antara 12.00 hingga 1.00 tengah hari, dengan tayangan bersama di Astro Oasis, Bernama TV dan RTM serta dikongsi siar langsung di platform digital Sinar Harian dan Ideaktiv. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top