Skip to main content

Iklan

Iklan

PPIS agih lebih 700 pakej bantuan sempena kempen Raikan Ihsan

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan 702 pakej bantuan bernilai sekitar S$60 setiap satu kepada para penerima bantuannya selama enam hari, dari 5 Mei hingga 10 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS agih lebih 700 pakej bantuan sempena kempen Raikan Ihsan

PPIS bekerjasama dengan S.T.A.R Asia bagi mengagihkan pakej-pakej bantuan. (Gambar: PPIS)

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan 702 pakej bantuan bernilai sekitar S$60 setiap satu kepada para penerima bantuannya selama enam hari, dari 5 Mei hingga 10 Mei lalu.

Setiap pakej merangkumi barangan termasuk buah-buahan kering, cecair pembasmi kuman, sapuan jem organik dan kurma.

Barangan-barangan tersebut antara lain ditaja oleh AllKurma.sg, Al-Azhar, Hucklebee Singapore dan Al-Barakah.

(Gambar: PPIS)

Usaha ini turut dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen PPIS Raikan Ihsan di bawah inisiatif #OnePPISCares, menurut kenyataan medianya hari ini (12 Mei).

Inisiatif tersebut bertujuan untuk menyokong dan menyumbang semula kepada masyarakat, terutama sekali di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini.

Ini sekali gus antara langkah PPIS untuk turut serta dalam inisiatif #SGTeguhBersatu bagi memerangi pandemik sebagai satu negara.

BAUCAR BERJUMLAH S$14,000 BAKAL DIAGIHKAN

Cargill Singapore juga menaja baucar Sheng Siong bernilai S$14,000, yang akan diagihkan sendiri kepada para penerima bantuan PPIS sebaik sahaja langkah-langkah tempoh pemutus rantaian jangkitan ditarik balik.

Sehubungan itu, PPIS turut bekerjasama dengan S.T.A.R Asia on Wheels, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang mata pencarian dan pekerjaan disebabkan oleh COVID-19.

Khidmat S.T.A.R Asia malah juga diambil bagi membungkus barangan ke dalam pakej bantuan dan dihantar kepada para penerima bantuan secara tanpa sentuhan.

(Gambar: PPIS)

Presiden PPIS Cik Rahayu Mohamad berkongsi: "Semasa masa-masa mencabar ini, PPIS berusaha memainkan peranan kami dalam menyokong inisiatif #SgTeguhBersatu. Kami berharap pakej-pakej bantuan bagi para penerima bantuan kami dapat menceriakan dan meningkatkan semangat mereka.

"Kami juga sangat berterima kasih atas sokongan padu para penaja korporat kami, yang mana tanpa mereka, inisiatif ini tidak mungkin dapat dijalankan."

IBU BAPA TITIPAN GEMBIRA TERIMA PAKEJ

Pengurus Pusat bagi PPIS Oasis, Cik Noor Aaqilah juga berkongsi ibu bapa titipan daripada pusat itu berbesar hati menerima pakej-pakej bantuan tersebut.

"Ibu bapa titipan kami menghantar pesanan teks secara peribadi kepada para pekerja sosial kami sambil mengucapkan terima kasih atas pakej-pakej bantuan yang menceriakan hari mereka itu.

"Malah, pada hari di mana pakej bantuan dihulurkan kepada seorang anak titipan, kanak-kanak berusia enam tahun itu dengan riangnya memberitahu hari itu ialah hari lahirnya dan pakej bantuan itu ibarat hadiah hari lahir bagi dirinya."

PPIS juga melahirkan harapan agar melalui PPIS Raikan Ihsan, persatuan itu dapat menghulurkan bantuan kepada para penerima bantuannya demi mencapai visinya sebagai persatuan yang bersifat ihsan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan