Ramadan 2020

Images
  • madinah
    Madinah di Arab Saudi. (Gambar fail: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Perhimpunan Ramadan punca kes COVID-19 melonjak dalam kalangan kanak-kanak, wanita di Arab Saudi

JEDDAH: Jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di Arab Saudi dilaporkan melonjak 125 peratus semasa Ramadan, menurut para pegawai kesihatan pada Khamis (14 Mei).

Menurut laman Arab News, jumlah jangkitan dalam kalangan wanita pula mencatat lonjakan "berbahaya" sebanyak 100 peratus dalam tempoh yang sama, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran baru kepada penduduk agar elakkan perhimpunan sosial dan mematuhi langkah-langkah sekatan bagi membendung gelombang kedua virus korona itu.

“Jumlah kes yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak melonjak 125 peratus, dan peningkatan 100 peratus dicatat dalam kalangan wanita, membuktikan bahaya perhimpunan sosial," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Dr Mohammed Al Abd Al-Aly, seperti dilaporkan Arab News.

Merujuk kepada arahan berkurung pada Aidilfitri nanti, Dr Al-Aly memberi amaran jika orang ramai mengabaikan arahan jarak selamat dan langkah-langkah keselamatan, jumlah kes COVID-19 di negara itu boleh terus melonjak lagi.

"Apa tujuan kita melaksanakan perintah berkurung? Mengapa kerajaan melaksanakan semua langkah pencegahan ini? Adakah ia untuk anda menipu sistem dan mencari peluang mengabaikan langkah-langkah yang sepatutnya melindungi kita? Membahayakan diri sendiri dan masyarakat? Bukankah kita sepatutnya patuh dan berhati-hati mengikut langkah-langkah ini untuk menyelamatkan diri sendiri dan orang yang disayangi?" Arab News melaporkan beliau sebagai berkata.

"Adalah tanggungjawab kita sebagai individu untuk melindungi satu sama lain. Bukan untuk sehari dua saja kita patuh langkah-langkah pencegahan. Tujuannya ialah patuh sehingga pandemik berjaya diatasi."

Arab Saudi pada Khamis mencatat 2,039 kes baru COVID-19 - 41 peratus adalah warga setempat dan bakinya adalah warga asing. Ini menjadikan jumlah terkumpul kes jangkitan di negara itu sebanyak 46,869. Sejauh ini jumlah korban di negara itu adalah 283.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- Agensi berita/TQ/tq

Top