Ramadan 2020

Images
  • vending machine
    Sebuah mesin layan diri di International Plaza yang menjual kuih Hari Raya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Peniaga jual kuih Hari Raya menerusi mesin layan diri di tengah-tengah COVID-19

SINGAPURA: Dengan ketiadaan bazar Hari Raya, dan keadaan diburukkan lagi oleh peraturan pemutus rantaian jangkitan COVID-19, para peniaga kuih Raya terpaksa 'berfikir di luar kotak' untuk mencari wadah alternatif bagi menjual produk masing-masing.

Kini, ada yang mula menjual botol-botol berisi kuih Raya di 'vending machine' atau mesin layan diri, seperti Cik Lindah Majid.

Sudah lebih tiga tahun beliau menjadi peniaga kuih dan inilah tahun paling mencabar baginya.

Menguruskan pengiriman tanpa kontak dengan pelanggan dan ruang menyimpan bekalan muih menjadi antara cabaran utama beliau.

Melalui mesin-mesin layan diri, beliau boleh meluaskan lagi jangkauannya menjual kuih Raya.

Melalui wadah ini, Cik Lindah dapat menjual tiga jenis biskut Raya dalam botol, dengan setiap botol mengisi 50 keping biskut. Antara jenis biskut yang dijualnya adalah Milo Crunchies dan Red Velvet.

"Dengan menggunakan mesin layan diri, saya dapat mendekati lebih ramai pelanggan dari kawasan-kawasan tertentu dan lebih meluas, terutama sekali di kawasan-kawasan yang tersasar seperti sekarang di International Plaza kerana ramai pelanggan saya bekerja di kawasan ini. Jadi lagi senang untuk mereka mendapatkan produk-produk saya," kongsinya.

Menurut syarikat yang mengendalikan mesin-mesin layan diri itu, One Vibes Nation Vending, permintaan vendor meningkat lebih 60% semasa tempoh 'circuit breaker'.

Bagi Cik Lindah, produknya dijual di lima mesin layan diri di merata negara, dengan setiap mesin boleh memuatkan 125 botol kuih.

Harga langganan untuk menggunakan mesin layan diri ini adalah antara $35 hingga $300 sebulan dan menurut One Vibes, sekitar tiga botol terjual setiap hari.

Selain boleh beroperasi 24 jam, mesin itu juga membolehkan para peniaga seperti Cik Lindah meluaskan lagi jenama mereka melampaui label "perniagaan musiman".

"Dengan adanya mesin ini, ia memberikan satu pendekatan yang berbeza dengan pelanggan yang berbeza. Macam di International Plaza ini adalah untuk pelanggan di kawasan pejabat. Jadi mereka yang tidak pernah mengenal produk atau jenama pemilik perniagaan itu, dapat kenal," kata Pengarah Urusan One Vibes Nation Vending Amanda A Atan.

Cik Amanda berkongsi bahawa pihaknya merancang meletakkan lebih banyak mesin sedemikian di kawasan-kawasan kejiranan.

- BERITAmediacorp/fz

Top