Ramadan 2020

Images
  • kuih raya tak terjual
    Encik Muhammad Nur bersama 2 anaknya dan 100 bekas kuih raya yang belum terjual (Gambar ihsan: Muhammad Nur)

Pengendali mesin layan diri, badan tidak meraih untung dan syarikat pemula bantu perniagaan kecil-kecilan di rumah

SINGAPURA: Setiap tahun sejak 2013, Encik Muhammad Nur Mohideen tidak sabar menantikan Ramadan, untuk mencari rezeki tambahan dengan menjual kueh (kek), biskut, tat nanas dan pelbagai kuih lain.

Kuih-kuih tersebut ditempah dari Malaysia dan lazimnya dijual menjelang Hari Raya Aidilifitri.

Sekarang, terdapat 100 bekas kuih yang tidak terjual dan dibungkus dalam kotak di ruang tamunya - disebabkan oleh peraturan baru-baru ini untuk membendung penularan COVID-19.

Encik Muhammad Nur, seorang pekerja pemasaran bebas di pasar raya, tidak dapat mencari pekerjaan dan mengalami sakit belakang kronik. Isterinya pula seorang ustazah bebas dan sejak langkah pemutus rantaian bermula pada 7 April, tidak dapat mengendalikan kelas agama di rumah anak muridnya.

Pasangan itu mempunyai 10 anak, berusia sembilan hingga 26 tahun.

Encik Muhammad Nur berkata: "Saya perlukan duit tambahan (daripada penjualan kuih) untuk anak-anak saya kerana kebanyakan mereka masih bersekolah - ada di sekolah rendah, sekolah menengah dan politeknik.

"Saya segera mencari alternatif. Saya mesti habiskan stok saya. Jika saya simpan terlalu lama, ia mungkin rosak. Jikalah saya tunggu dan tangguh terutamanya selepas perayaan, sudah hampir tidak lagi ada permintaan."

Pihak berkuasa mengumumkan pada Ahad lalu (26 April) bahawa perniagaan di rumah, termasuk mereka yang menjual makanan dan minuman, harus memenuhi kriteria tertentu untuk terus beroperasi semasa tempoh duduk dalam rumah atau didenda S$1,000.

Peniaga tersebut hanya boleh beroperasi online dan tidak boleh meninggalkan rumah masing-masing untuk menjalankan perniagaan mereka. Pekerja penghantar makanan dan pelanggan juga tidak boleh ke rumah mereka untuk menghantar atau mengambil pesanan.

Perniagaan di rumah yang tidak dapat memenuhi kriteria tersebut seperti membuat dan menjual kuih, harus berhenti beroperasi.

Mujur Encik Muhammad Nur terperasan satu catatan di Facebook yang menawarkan orang sepertinya pilihan menjual makanan mereka di mesin layan diri.

Catatan itu dimuat naik oleh Cik Amanda A Atan, 45 tahun, pengarah urusan One Vibes Nation Vending & Franchise Management, syarikat yang meletakkan mesin layan diri di pusat beli-belah Heartbeat@Bedok dan International Plaza di Kawasan Pusat Bandar (CBD).

Cik Amanda berkata: "Kami mengambil keputusan untuk menyewakan mesin layan diri kami pada harga murah, untuk membantu perniagaan kecil-kecilan di rumah mendapatkan jualan. Mereka mungkin tidak mendapat jumlah penjualan yang sama seperti dahulu, tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat sesuatu."

Beliau menambah bahawa setelah catatannya diterbitkan, beberapa penaja menawarkan untuk membayar sewa bagi slot yang disewa pemilik perniagaan di rumah, supaya mereka dapat perlu membayar kos.

Cik Amanda merancang untuk melancarkan lebih banyak mesin serupa minggu depan yang khusus untuk produk-produk dijual oleh para pemilik perniagaan di rumah, seperti, makanan beku contohnya karipap dan samosa, tudung, produk kecantikan dan kosmetik.

Lapan mesin baru akan diletakkan di Downtown East di Pasir Ris, WisteriaMall di Yishun dan di blok HDB di Toa Payoh dan Tampines. Dua mesin baru akan ditambah di International Plaza.

Encik Muhammad Nur kini sedang berbincang dengan Cik Amanda berhubung penggunaan mesin layan diri itu untuk menjual kuihnya.

MEMBELI BEKALAN UNTUK YANG MEMERLUKAN

Cik Yasmin Osman, 46 tahun, pengasas badan bukan meraih untung, For The People and Community, membuat penghantaran barangan dapur setiap bulan kepada 100 keluarga kurang bernasib baik. Menurutnya, beliau dihubungi beberapa pemilik perniagaan yang sedang berusaha untuk menjual barangan mereka.

Untuk Hari Raya Aidiliftri ini, badan itu hanya menghantar barangan dapur kepada keluarga Muslim memerlukan sahaja dalam bentuk gula, tepung, beras, mee dan biskut.

"Gula dan tepung merupakan antara barangan yang kami masukkan ke dalam beg. Malah, kami tahu para pembuat kuih mempunyai bekalannya. Jadi, lebih baik kami membeli daripada peniaga ini supaya mereka boleh menggunakan wang S$30 hingga S$40 untuk membeli makanan bagi keluarga mereka," kata Cik Yasmin.

LAMAN PERINTIS MENGHANTAR MAKANAN

Seorang lagi individu yang sedang berusaha menawarkan khidmat kepada peniaga ini ialah Encik Shane Ehsan Hew.

Jurujual kereta berusia 31 tahun itu sedang mengumpul senarai perniagaan terjejas untuk dipaparkan dalam sebuah laman yang direka oleh beliau bersama isterinya - beliau berharap laman itu akan menjadi "versi halal" khidmat penyedia penghantaran makanan Foodpanda atau Deliveroo.

Ini akan membolehkan mereka yang berdaftar di laman itu untuk meneruskan perniagaan masing-masing, katanya. Sejauh ini, sebanyak 15 perniagaan sudah mendaftarkan minat mereka di laman itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/NA/tq

Top