Ramadan 2020

Images
  • FFFA (2)
    Seorang pekerja asing mengambil bungkusan makanan yang diberikan oleh FFFA. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Lebih 1,000 pekerja asing alami masalah dapatkan makanan sahur kini dibantu FFFA

BERITAmediacorp: Sedang kesemua pekerja asing yang menginap di dormitori-dormitori dibina khas (Purpose-Built Dormitories, PBD) mendapat peruntukan makanan berbuka dan sahur yang mencukupi, nampaknya tidak begitu bagi sebahagian pekerja asing lain yang tinggal di sebahagian dormitori lain (Factory-Converted Domitories, FCD).

Lebih 1,000 pekerja asing Muslim di Singapura didapati berdepan dengan kesukaran mendapatkan makanan sahur, atau tiada langsung makanan sahur, gara-gara tidak diperuntukkan oleh majikan mereka. Ini kerana majikan mereka sedang dibelenggu masalah kewangan kerana terpaksa menghentikan kerja sepanjang tempoh 'circuit-breaker' dek penularan wabak COVID-19.

Demikian menurut badan kemanusiaan Free Food For All (FFFA) kepada BERITAmediacorp. FFFA segera tampil untuk menghulurkan bantuan demi memastikan para pekerja asing yang terjejas dari 14 hingga 15 dormitori FCD itu tidak terkapai-kapai kelaparan.

Untuk mencapai matlamat tersebut, FFFA memulakan usaha mengumpul dana online menerusi laman giving.sg dan give.asia.

Sehingga laporan ini diterbitkan, dana itu sudah berjaya mengumpulkan lebih S$92,000. Ini sekali gus menjangkaui sasaran awal yang ditetapkan iaitu S$75,000.

"Dalam masa kurang daripada dua hari kita dah dapat capai sasaran kami untuk kumpulkan hampir $75,000. Ini semua sumbangan dan kerja keras semua orang yang membantu kita mencapai sasaran ini dan saya sangat berterima kasih kerana sekurang-kurangnya kita boleh sediakan makanan untuk mereka sehingga akhir Ramadan," kata Pengasas FFFA, Encik Nizar Mohd Shariff.


SAHUR PERCUMA SELAMA 18 HARI

Hasil sumbangan murah hati daripada masyarakat itu, FFFA berupaya menyumbang juadah sahur percuma buat 1,000 pekerja asing yang terjejas itu setiap hari - dari 6 Mei hingga akhir Ramadan, 23 Mei.

Semasa hari pertama pemberian makanan sahur itu dinihari semalam (7 Mei), BERITAmediacorp juga turun padang untuk menyaksikan penyediaan dan pengagihan oleh pihak FFFA itu.

Usaha itu sebenarnya dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak. Salah satu daripadanya ialah badan amal Aidha yang memberikan senarai dormitori pekerja asing terjejas kepada FFFA.

Selain itu, FFFA bekerjasama dengan dapur pusat Goldaz Catering serta syarikat penghantaran TAP Express.


KEBANYAKANNYA PEKERJA DARI BANGLADESH, INDIA SELATAN

Sejak pukul 10.00 malam pada Selasa (5 Mei) lagi, kakitangan dapur pusat Goldaz Catering sudah bertungkus-lumus memasak dan kemudian membungkus makanan.

Semasa BERITAmediacorp tiba di dapur pusat yang terletak di Senoko itu sekitar jam 2.00 pagi pada Rabu (7 Mei), dari sejauh lobi lif lagi sudah dapat dihidu bau harum semerbak rempah ratus yang digunakan. Bau harum itu datangnya daripada kuah kari ayam, sayur kobis goreng dan tairu. Semua ini akan dipadankan dengan nasi putih segar.

Kami diberitahu juadah itu, yang mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja, sebenarnya menepati selera para pekerja asing yang sebahagian besarnya berasal dari Bangladesh dan India Selatan.


Encik Nizar memberitahu BERITAmediacorp, bungkusan makanan itu kemudian diambil oleh kakitangan TAP Express yang akan menghantarnya kepada para pekerja asing di lokasi-lokasi di merata Singapura.

Tiga di antara dormitori tersebut terletak di kawasan Sungei Kadut, termasuk JS Dormitory dan Prefab Technology Pte Ltd.

MAJIKAN PATUT SEDIAKAN MAKANAN TAPI GAGAL

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa para pekerja asing itu tidak mendapat juadah bersahur.

Menjawab pertanyaan itu, Encik Nizar menjelaskan bahawa para pekerja yang dibantu FFFA adalah pekerja asing yang menetap di tapak-tapak yang diubah suai menjadi dormitori atau FCD. Bagi mereka yang tinggal di FCD, para majikan wajib menyediakan makanan dan keperluan asas untuk pekerja.

Sebaliknya para pekerja di dormitori PBD yang kini banyak mencatat kes-kes COVID-19, menerima bantuan makanan dari pihak berkuasa termasuk SGUnited Buka Puasa.

"Yang sepatutnya menjaga mereka (di dormitori FCD) adalah majikan. Tapi mungkin atas sebab-sebab tertentu majikan gagal untuk menjaga pekerja mereka. Jadi ada yang menghubungi pihak kami yang menceritakan mereka tidak dapat makanan untuk sahur. Sebab itu kami mulakan inisiatif ini untuk menyokong," terang Encik Nizar lagi.


Beliau menambah, FFFA sebenarnya bukanlah badan amal pertama yang menghulurkan bantuan kepada para pekerja asing itu.

"Ada pihak-pihak lain yang memberikan makanan sahur sebelum ini. Pekerja asing ini memberitahu bahawa ramai lagi yang masih memerlukan makanan. Jadi kami gembleng semua sumber yang kami ada untuk menghulurkan bantuan," kongsi Encik Nizar.

PEKERJA ASING SYUKUR MASYARAKAT BANTU

Semasa BERITAmediacorp tiba di salah satu lokasi FCD, beberapa pekerja asing dilihat sudah sedia menunggu ketibaan kami.

Masing-masing mematuhi langkah pencegahan virus dengan memakai pelitup.


Makanan pula diberikan secara 'contactless delivery' atau tanpa bersentuhan antara pemberi dan penerima. Bungkusan-bungkusan makanan diletakkan di luar pagar dan setelah selesai barulah para pekerja asing keluar untuk membawa masuk bungkusan-bungkusan tersebut.

Bagi para pekerja asing Muslim itu, ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Ternyata, sumbangan masyarakat untuk menghulurkan juadah bersahur segar secara percuma kepada mereka cukup menyentuh hati.

"Ya, kami sangat gembira dengan makanan yang awak beri. Semua pekerja di sini kata makanan itu sangat sedap!" kata para pekerja asing itu, sambil mengukir senyuman penuh kesyukuran. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/nk

Top