Ramadan 2020

Images
  • lampu lap lip

'Lampu lap-lip' tetap dinyalakan meski tiada tetamu Lebaran ini

SINGAPURA: Hiasan lampu lap-lip terus mewarnai persiapan menyambut Hari Raya di tengah-tengah pandemik COVID-19.

BERITAmediacorp menjenguk salah sebuah keluarga di Yishun yang rumah mereka unik dihias kelipan lampu berwarna-warni.


Balkoni rumah flat di Yishun ini bertemakan ala taman sempena Hari Raya Aidilfitri. 

Setiap tahun, Cik Juriah Santari akan mengisi ketupat-ketupat yang dianyam dengan duit raya untuk diberikan kepada anak-anak kecil.

Namun, tahun ini, ia hanya dijadikan perhiasan memandangkan tiada kunjung-mengunjung dibenarkan dek COVID-19.

"Kita sambut Hari Raya ini untuk meraikan kemenangan selepas kita berpuasa jadi kita harus beraya tapi dengan cara yang berlainan," kata Cik Juriah.


Encik Md Nor Lam dan Cik Juriah Santari sudah lebih 20 tahun duduk di Yishun. 

Suasana Hari Raya jelas kelihatan di balkoni rumah penduduk Yishun ini.

Bertemakan konsep ala taman, buaian dihiasi dedaun menjadi tarikan utama.

Jendela rumah pula gah berwarna-warni dengan lampu lap-lip digantung dari hujung ke hujung.

Bahkan, alat muzik tradisional turut disertakan bagi menambah elemen ke-Melayuan dekorasi ini.


Antara elemen unik perhiasan di rumah ini adalah alat muzik tradisional. 

"Dah semestinya tiap-tiap tahun saya menghias bilik balkoni ini seperti saya semasa duduk di kampung, saya selalu tengok mereka menghias rumah-rumah mereka dengan lampu lap-lip.

"Kita buat tempat ini macam seolah-olah untuk sudut kanak-kanak. Jadi mereka bertumpu di sini bila orang-orang tua berbual di sana. Jadi ada sesuatu yang tarik minat mereka berkumpul di sini," kata penduduk Yishun Mohd Nor Lam.

Pasangan itu juga akan memperbaiki perhiasan mereka setiap tahun menjelang Hari Raya.

Ia tidak mengambil masa lama ataupun menelan kos tinggi namun, bagi mereka penting untuk menyemarakkan kemeriahan Aidilfitri terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.


Gambar Hari Raya keluarga mereka tahun lalu. 

"Kita sama-sama berdoa saja semoga COVID-19 ini akan berlalu dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan kita seperti sedia kala." 

- BERITAmediacorp/SM/ha

Top