Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Label fesyen M'sia Larney bubuh frasa berkaitan COVID-19 pada koleksi Raya

Sebelum ini, nama-nama bayi diberikan sempena virus korona COVID-19 kerana sesetengah ibu bapa ingin mengabadikan kenangan menimang cahaya mata tatkala mengharungi pandemik yang mencengkam seluruh dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Label fesyen M'sia Larney bubuh frasa berkaitan COVID-19 pada koleksi Raya

Koleksi baju raya 2020 oleh jenama fesyen Malaysia, Larney. (Gambar: larneyofficial/Instagram)

Diterbitkan : 16 May 2020 01:18PM Dikemas Kini : 16 May 2020 01:20PM

PETALING JAYA: Sebelum ini, nama-nama bayi diberikan sempena virus korona COVID-19 kerana sesetengah ibu bapa ingin mengabadikan kenangan menimang cahaya mata tatkala mengharungi pandemik yang mencengkam seluruh dunia.

Tidak lama lagi mungkin tiba pula waktunya COVID-19 menyelinap masuk ke dalam budaya popular.

Seperti jenama fesyen Malaysia, Larney, yang menemui inspirasi daripada pandemik itu dan melancarkan koleksi khas pakaian Hari Raya dengan membubuhkan frasa-frasa berkaitan COVID-19.

Setiap rekaan baju tradisional moden diberi nama seperti Stay at Home Kebaya, Don’t Panic Kurung Kedah, Social Distancing Dress, Flatten the Curve Kebaya, Work from Home Songket dan Kita Jaga Kita Kurung.

Pengasas Larney, Zura Zaibidi, berkata beliau memilih frasa-frasa menarik seumpama itu - yang dihimpunkan daripada perkataan yang 'trending' di media sosial - untuk menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan kaum hawa tatkala menghadapi pandemik COVID-19.

"Sebagai seorang wanita, isteri dan ibu, saya percaya wanita berkerjaya di luar sana terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang meminta mereka untuk duduk di rumah iaitu benar-benar merubah rutin harian mereka," ujar Cik Zura kepada Malay Mail.

"Jadi ia adalah satu inspirasi tepat untuk menamakan rekaan-rekaan dalam koleksi Raya tahun ini sebagai cara memperingati keadaan semasa," tambahnya.

Beliau berharap biarpun menempuhi krisis COVID-19 sekarang, koleksi Raya Larney akan bergema dengan wanita di luar sana. Cik Zura juga yakin setiap wanita masih memerlukan sekurang-kurangnya satu pasang baju Raya untuk meraikan Lebaran yang bakal menjelang itu.

Koleksi jenama tersebut meliputi 21 rekaan pada tahun ini yang menampilkan pelbagai jenis kain dari sutera satin kaya dan kapas serba selesa hinggalah ke songket unik serta sulaman dan lace yang indah mata memandang.

Mengikut jejak kebanyakan pereka fesyen di Malaysia yang menjahit Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebagai respons untuk memenuhi kekurangan persalinan itu, Larney juga mengeluarkan ratusan PPE menjelang minggu ketiga PKP.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan