Skip to main content

Iklan

Iklan

Kuih, baju Raya kiriman ibu jadi pengubat rindu Madihah Saleh sambut Lebaran seorang diri di S'pura

Beliau tidak dapat bercuti panjang pada tahun lalu kerana belum cukup setahun bekerja dengan majikannya di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kuih, baju Raya kiriman ibu jadi pengubat rindu Madihah Saleh sambut Lebaran seorang diri di S'pura

Cik Madihah bersama keluarganya di kampung halamannya di Melaka. (Gambar-gambar: Madihah Salleh)

BERITAmediacorp: Beliau tidak dapat bercuti panjang pada tahun lalu kerana belum cukup setahun bekerja dengan majikannya di Singapura. Beliau hanya dapat beraya selama tiga hari di kampung halamannya.

Maka itu, Cik Madihah Saleh, 31 tahun, benar-benar berharap dapat bercuti lebih lama di kampung bersama ibu dan keluarganya bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Cik Madihah yang berasal dari Melaka sudah bekerja di Singapura sebagai seorang jurutera projek sejak hujung 2018.

TERKANDAS DEK PKP & 'CIRCUIT BREAKER'

Kali terakhir Cik Madihah berjumpa ibu dan keluarganya di seberang tambak adalah pada 1 Mac lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia.

Cik Madihah bersama ibunya pada Syawal tahun lalu. (Gambar-gambar: Madihah Salleh)

Cik Madihah bersama ibunya pada Syawal tahun lalu. (Gambar-gambar: Madihah Salleh)

“Tahun ini saya rasa saya nak ambil cuti lebih lama sedikit. Itu perancangan awalnya. Jadi boleh saya luangkan lebih banyak masa dengan keluarga saya di kampung. Jadi itulah perancangan awal-awal tapi sejak COVID-19 ini, masa tunggu pengumuman dari pemerintah Singapura yang berapa lama 'circuit breaker' akan dilaksanakan. Masa itu agak mendebarkan kerana kalau apa-apa terjadi, kita tak boleh keluar dari sini,” dedah Cik Madihah kepada BERITAmediacorp.

Apabila diumumkan bahawa tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 akan dilanjutkan sehingga 1 Jun, Cik Madihah pasrah beliau tidak akan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Sungguhpun demikian, ibunya Cik Norhayati Abu Bakar cuba meredakan kekecewaan anaknya itu dengan mengirimkan bungkusan barangan.

KIRIMAN IBU JADI PENGUBAT RINDU

Tidak dapat dibayangkan betapa riangnya hati Cik Madihah setiap kali beliau menerima kiriman bungkusan daripada ibu tercinta yang jauh di mata.

Kiriman kuih dan baju Raya menjadi pengubat rindu Cik Madihah menjelang Lebaran ini.

Ini sedikit sebanyak dapat mengubati rasa rindu Cik Madihah yang sudah lebih dua bulan tidak bersua dengan ibunya.

Cik Madiha memberitahu BERITAmediacorp: “Setakat ini saya dapat tiga bungkusan yang dikirimkan. Saya macam ghairah dapat bungkusan sebab orang prihatin, semua orang tahu saya ‘stuck’ di Singapura sekarang. Jadi, mak saya yang paling risau.

"Dari Ramadan pertama dia sudah kirimkan kurma, lepas itu baju raya. Bila dapat tahu ‘circuit breaker’ sampai 1 Jun, dia tahu saya tak boleh balik. Jadi dia pos baju raya untuk saya,” luah Cik Madiha.

DUA TARIKH YANG MENDEBARKAN - 1 JUN & 9 JUN

Sedang ramai orang menanti-nantikan sama ada selepas tarikh 1 Jun nanti, mereka semua sudah boleh menziarahi sanak saudara di sini, lebih lama lagi penantian yang perlu ditanggung Cik Madihah.

Ini kerana kerajaan Malaysia sudah melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun, yang antara lain, melarang perjalanan rentas negeri.

Namun, Cik Madihah tetap bersyukur kerana dengan kemajuan teknologi, beliau dapat berkomunikasi menerusi panggilan video. Tidak dapat dibayangkan oleh Cik Madihah apakah yang akan berlaku sekiranya COVID-19 melanda sebelum wujud teknologi canggih seperti sekarang ini.

“Sedih juga tapi saya bersyukur saya ada sistem sokongan yang kukuh dari ahli keluarga dan kawan-kawan rapat saya. Walaupun setakat panggilan video sahaja, tapi itulah yang menjadikan kita lebih rapat lagi, itulah hikmahnya ‘circuit breaker’ dan PKPB ini. Sebelum terjadinya COVID-19, saya tak pernah buat panggilan video dengan mak saya sebab dulu telefon sahaja dua tiga kali seminggu, dengar suara tapi sekarang setiap hari saya dapat tatap wajah mak menerusi panggilan video,” dedah Cik Madihah yang bapanya meninggal dunia pada 2014.

BERSYUKUR DAPAT TERUS BEKERJA DI S'PURA

“Jauh di sudut hati memang sedih sangat tetapi saya bersyukur sebab masih ada kerja. Ramai warga Malaysia yang bekerja di sini hilang pekerjaan mereka sejak COVID-19 melanda. Bagi warga Malaysia yang masih ada kerja di sini, itu sesuatu yang kita kena bersyukur,” kata Cik Madihah.

Apabila ditanya tentang kenangan yang paling dirinduinya apabila menyambut Hari Raya bersama keluarganya di kampung halaman, Cik Madihah berkata: “Tentu sekali juadah Hari Raya hasil air tangan mak. Bila malam raya itu, saya dan adik-beradik saya akan tolong mak saya masak. Masak kuah lodeh, rendang, sambal daging, dengdeng dan kuah kacang. Itulah juadah yang wajib untuk Hari Raya pertama. Suasana masak bersama-sama itulah yang paling saya rindukan.”

Walaupun Syawal bakal menjelang kurang seminggu lagi, Cik Madihah belum lagi membuat apa-apa perancangan selain berehat bersempadankan empat tembok di dalam bilik sewanya pada pagi Hari Raya nanti.

Cik Madihah hanya dapat berdoa agar pandemik COVID-19 ini akan bertambah baik dan beliau akhirnya dapat pulang ke pangkuan ibu yang sangat-sangat dirinduinya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan