Skip to main content

Iklan

Iklan

Deliveroo, Islamic Restaurant kerjasama hantar 1,200 hidangan kepada golongan memerlukan

Sebanyak 1,200 hidangan makanan dari restoran terkenal Islamic Restaurant Singapore sudah mula dikirimkan secara percuma kepada 115 keluarga memerlukan dan 428 penerima bantuan bermula Isnin (4 Mei) hingga 22 Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Deliveroo, Islamic Restaurant kerjasama hantar 1,200 hidangan kepada golongan memerlukan

Deliveroo Singapore hasilkan usahasama untuk menghantar makanan berbuka puasa kepada keluarga memerlukan. (Gambar: Deliveroo)

SINGAPURA: Sebanyak 1,200 hidangan makanan dari restoran terkenal Islamic Restaurant Singapore sudah mula dikirimkan secara percuma kepada 115 keluarga memerlukan dan 428 penerima bantuan bermula Isnin (4 Mei) hingga 22 Mei ini.

Inisiatif mulia ini yang dapat dilaksanakan hasil kerjasama Deliveroo Singapore, WeCare@MarineParade dan Islamic Restaurant Singapore bagi menghantar juadah berbuka puasa untuk dinikmati keluarga muslim memerlukan semasa bulan Ramadan ini.

Diderma khas oleh Encik Yusoff Rahman, hidangan itu disediakan oleh restoran tersebut dan dihantar oleh para penghantar makanan yang berkhidmat bagi Deliveroo, menurut kenyataan medianya.

Pengarah Pertumbuhan dan Pemasaran serta Pengurus Besar Sementara Deliveroo Singapore, Cik Sarah Tan berkata Deliveroo Singapore sentiasa mencari peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Sebagai syarikat yang mengirimkan makanan enak kepada ribuan pengguna setiap hari, usahasama dengan WeCare@MarineParade and Islamic Restaurant untuk memberi balik kepada mereka yang memerlukan adalah kerjasama yang jelas Ramadan ini," kata Cik Tan.

"Sedang Singapura terus memainkan peranannya untuk menghentikan penularan COVID-19 bersama-sama, kami berharap penghantaran makanan ini mengukir senyuman kepada rakan-rakan muslim kita di rumah."

TAK MUNGKIN BERLAKU TANPA TAJAAN

Ketua WeCare@MarineParade, Encik Chan Jianhong turut melahirkan rasa gembira dapat bekerjasama dengan Deliveroo.

"Di tengah-tengah tempoh pemutus rantaian jangkitan ini, menghimpunkan sukarelawan untuk mengagihkan makanan agak mencabar. Oleh itu kami berbesar hati dapat bergabung tenaga dengan Deliveroo bagi Ramadan ini.

"Ini mungkin tidak akan berlaku tanpa tajaan dan langkah mulia mereka bagi membawa hidangan yang digemari kepada rumah orang ramai," jelas Encik Chan.

PENERIMA, PENGHANTAR MAKANAN KONGSI RASA GEMBIRA

Salah seorang penduduk yang berpeluang menikmati hidangan dari Islamic Restaurant Singapore itu ialah Cik Sharifah Hussein.

Beliau melahirkan rasa syukur menerima hidangan berbuka puasa yang "lazat" untuk dinikmati bersama keluarganya.

"Tahun ini sukar kerana kami tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga besar dan sahabat handai semasa Ramadan, tetapi kebaikan kecil seperti ini sangat bermakna dalam jangka panjang," luah Cik Sharifah.

Pekerja penghantar makanan Deliveroo yang menyertai inisiatif tersebut, Nurul Astika juga berkongsi kegembiraannya meraih peluang membantu golongan memerlukan semasa masa-masa sukar ini.

"Ia menjadi lebih bermakna kerana kami dapat menjadi relawan pada masa lapang kami semasa bulan puasa. Ini benar-benar inisiatif yang bermakna dan saya gembira dapat turut serta.

"Ia memberi ganjaran kepada saya melihat senyuman di wajah mereka apabila kami mengirimkan makanan dan saya harap dapat terus menyertai inisiatif-inisiatif seperti ini," kongsi beliau.

Usahasama antara Deliveroo Singapore, WeCare@MarineParade dan Islamic Restaurant Singapore adalah kerjasama terbaru yang dilaksanakan syarikat penghantaran itu.

Sebelum ini, ia antara lain bekerjasama dengan TOUCH Community Services, di mana Deliveroo menghimpunkan pelanggan, restoran dan penghantar makanan bagi inisiatif Meals-On-Wheels. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan