Ramadan 2020

Images
  • sg buka puasa
    (Gambar: Instagram/Lee Hsien Loong/RLAFoundationsg)

COVID-19 tidak sekali-kali lemahkan semangat Ramadan; PM Lee gesa rakyat S'pura sokong #SGUnited Buka Puasa

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (28 Apr) menggesa orang ramai supaya menghulurkan bantuan dan sokongan kepada inisiatif #SGUnited Buka Puasa.

Menulis di laman Facebooknya malam ini (28 Apr), PM Lee turut menarik perhatian bahawa projek tersebut setakat ini berhasil mengumpul 24 peratus daripada matlamat yang disasarkan.

"Saya berterima kasih kepada anda yang telah menyokong projek ini. Setakat ini pihak penganjur sudah mengumpulkan 24% daripada jumlah yang disasarkan. Jika anda ingin menyumbang kepada usaha murni ini, lungsuri: https://go.gov.sg/bukapuasasg.

"Tiada jumlah atau usaha yang terlalu kecil," tegas PM Lee.

Pada 18 Apr, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan inisiatif #SGUnited Buka Puasa sempena Ramadan yang menyasarkan pengagihan sebanyak 15,000 hidangan makanan percuma setiap hari.

Namun setelah menerima sambutan luar biasa, daya usaha MUIS bersama rakan-rakan masyarakat yang lain - iaitu Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Persatuan Rakyat (PA), Roses of Peace serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) - meningkatkan sasaran agihan kepada 20,000 makanan.

Projek tersebut menyasarkan untuk mengagihkan makanan percuma setiap hari kepada keluarga-keluarga yang memerlukan dan pekerja barisan hadapan dan keluarga mereka.

MUIS juga mengagihkan 10,200 juadah untuk berbuka buka kepada 4,000 penerima zakat setiap hari. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/tq

Top