Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Polis, tentera M'sia akan buat rondaan di kawasan kediaman pada Hari Raya

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Polis, tentera M'sia akan buat rondaan di kawasan kediaman pada Hari Raya

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 May 2020 05:24PM Dikemas Kini : 19 May 2020 05:26PM

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya terdapat kenderaan yang banyak di luar sesebuah kediaman, pihak berkuasa akan membuat semakan bagi mengetahui jumlah individu yang berada di dalam kediaman itu. 

“Jadi saya nak beri ingatan bahawa PDRM dan ATM telah setuju bergerak (memantau) pada hari raya pertama dan seterusnya bagi pastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, pada Selasa (19 Mei).

Kerajaan sebelum ini menetapkan kegiatan ziarah-menziarahi semasa perayaan yang akan dirai dalam masa terdekat ini hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.

Sementara itu Encik Ismail Sabri menegaskan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan sama sekali termasuk bagi pasangan suami isteri yang duduk di negeri berasingan atas urusan kerja sebelum ini.

“Untuk si suami yang hendak menziarahi isteri di tempat lain, itu adalah kebenaran untuk hari-hari biasa, bukan untuk hari raya.

“Jadi ramai yang ambil kesempatan daripada kebenaran ini, maka mereka nak balik berhari raya, tetapi saya dah katakan, untuk rentas negeri berjumpa keluarga mereka perlu mendapatkan kebenaran polis.

“Kalau polis puas hati mereka pulang bukan untuk beraya, tetapi kerana benar-benar lama tak balik untuk berjumpa keluarga dan ada kebenaran daripada kerajaan, maka terserah kepada polis untuk memberikan kebenaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata larangan itu melibatkan laluan darat dan udara mencakupi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak kecuali kes kecemasan serta dengan kebenaran polis.

Beliau turut menasihati mereka yang ingin melakukan perjalanan merentas negeri melalui pengangkutan udara supaya mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu untuk mengelakkan perjalanan mereka disekat.

“Bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang telah mendapat kebenaran polis, penumpang akan disaring sejurus tiba di lapangan terbang negeri masing-masing dan akan menjalani ujian swab.

“Sekiranya mereka positif, mereka akan dihantar ke hospital dan sekiranya negatif, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing, dan ingin ditegaskan mereka yang gagal mematuhi perintah kuarantin ini akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Menurut Encik Ismail Sabri, mereka yang pulang ke Sarawak perlu menjalani ujian swab kali kedua selepas 10 hari ketibaan bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada virus COVID-19.

Bagaimanapun pelajar insitusi pengajian tinggi yang menjalani prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dirangka oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan negeri dikecualikan daripada peraturan itu, katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan