Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabaran 'circuit breaker' semasa Ramadan buat pekerja penghantaran makanan

Bulan Ramadan masa yang dinanti-nantikan oleh pekerja penghantaran makanan Abdul Rashid untuk berkumpul bersama keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Cabaran 'circuit breaker' semasa Ramadan buat pekerja penghantaran makanan

Seorang pekerja penghantaran makanan berbuka puasa berdekatan Jalan Sultan pada 13 Mei 2020. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 14 May 2020 11:00PM Dikemas Kini : 14 May 2020 11:04PM

SINGAPURA: Bulan Ramadan masa yang dinanti-nantikan oleh pekerja penghantaran makanan Abdul Rashid untuk berkumpul bersama keluarga. Beliau akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama keluarganya dan jika masa tidak mengizinkan atau beliau terlalu sibuk, Encik Abdul Rashid akan membatalkan puasanya dengan makan bersama rakan-rakan sekerja.

Namun, dengan langkah pemutus rantaian jangkitan dikuat kuasakan tahun ini bagi membendung penularan COVID-19, sering kali beliau terlari-lari untuk berbuka puasa - malah ada masa dengan bertemankan motosikalnya di tempat letak kereta.

"Biasanya, saya duduk sebelah motosikal saya dan luangkan 10 hingga 15 minit untuk makan," kata pekerja penghantaran Deliveroo berusia 30 tahun itu. "Saya duduk di sebelah motosikal jadi orang tahu saya ialah seorang pekerja penghantaran makanan."

Seperti kebanyakan pekerja penghantaran makanan beragama Islam yang lain, Encik Abdul Rashid terus bekerja lembur meskipun di bulan mulia ini demi menyara isteri dan anak perempuan berusia setahun. Mentelah lagi di tengah-tengah keadaan ekonomi yang kian memburuk dek COVID-19.

Ramai pekerja penghantaran yang ditemui Mediacorp berkata tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, mereka terpaksa bekerja lebih keras lagi semasa tempoh menjelangnya berbuka puasa dari 6.00 petang hingga waktu makan malam pada 8.00 malam untuk menambah pendapatan.

Ini bermakna mereka perlu berbuka puasa di mana sahaja mereka berada tatkala masih sedang sibuk menghantar pesanan makanan.

Walaupun terpaksa menahan lapar dan lelah, terdapat juga sedikit kelegaan. Menurut para pekerja penghantaran itu, tahun ini, mereka menerima lebih banyak tip, snek, minuman dan bahkan juga juadah lengkap baik daripada pelanggan mahupun peniaga.

Syarikat penghantaran makanan juga sudah memulakan inisiatif untuk membantu pekerjanya yang berpuasa seperti mengingatkan pelanggan supaya membuat pesanan lebih awal agar ia dapat membuat perancangan untuk membolehkan pekerja mereka berbuka puasa bersama keluarga masing-masing.

RAMADAN LEBIH SIBUK

Seorang pekerja penghantaran GrabFood, yang hanya mahu dikenali sebagai Rey, berkata waktu sibuk bagi menghantar makan malam kini lebih padat kerana penduduk tidak keluar dek "circuit breaker".

Kerap kali, Rey hanya sempat meneguk minuman sebelum kembali menjalankan tugas. Ada satu ketika, beliau hanya dapat makan setelah waktu tengah malam.

Bagi pekerja penghantaran Deliveroo Siti Khasy, seorang ibu tunggal, beliau mengutamakan berbuka puasa bersama anak perempuannya di rumah tahun ini tetapi merindui suasana berbuka beramai-ramai seperti dalam Ramadan yang lalu.

Wanita berusia 21 tahun itu berkata pada tahun-tahun sebelum ini, sesetengah cawangan makanan dan minuman (F&B) menawarkan pekerja penghantaran Muslim makanan percuma semasa bulan puasa.

"Tahun lalu lebih baik kerana pekerja penghantaran boleh berbuka puasa bersama-sama dengan percuma; kita akan duduk bersama-sama di satu meja dan makan."

Amalan seumpama itu kini terpaksa dihentikan kerana langkah jarak selamat lebih ketat, tambah beliau.

BUDI BAIK DARI PELANGGAN, PENIAGA

Sementara itu, lebih ramai pelanggan dan peniaga melakukan apa termampu untuk meringakan cabaran yang dihadapi para pekerja sedemikian.

Misalnya, Muhammad Firdaus Shah Jahan, seorang pekerja penghantaran GrabFood berusia 35 tahun, berkata jumlah tip yang diterimanya setiap hari meningkat sebanyak purata sekitar S$4.

Pekerja penghantaran foodpanda, Farhan Azman, 23 tahun pula, berkata hampir sepertiga pelanggannya kini memberi tip. Pada masa lalu, beliau menerima tip daripada kurang lima peratus penghantaran yang dilakukannya.

Pekerja-pekerja penghantaran makanan Muhammad Farhan Azman (kiri) dan Abdul Rashid menghantar pesanan semasa Ramadan pada 13 Mei 2020. (Gambar-gambar ihsan: Muhammad Farhan Bin Azman, Abdul Rashid)

(Pekerja-pekerja penghantaran makanan Muhammad Farhan Azman (kiri) dan Abdul Rashid menghantar pesanan semasa Ramadan pada 13 Mei 2020. Gambar-gambar ihsan: Muhammad Farhan Bin Azman, Abdul Rashid)

"Jumlahnya tak penting tetapi penghargaan yang mereka tunjukkan kepada kami. Ia memberi kami sedikit dorongan untuk terus bekerja," ujar beliau.

Sesetengah pekerja penghantaran pula berkata mereka menerima minuman dan snek daripada pelanggan serta peniaga.

Encik Abdul Rashid berkata beliau menerima minuman seperti teh hijau dan teh lemon daripada pelanggannya manakala Rey pula berkata sebuah rangkaian makanan segera di pusat beli-belah The Centrepoint di Orchard Road menyediakannyahidangan percuma ketika beliau menghantar makanan selepas waktu berbuka.

Para pekerja penghantaran juga mendapati pelanggan lebih bersabar dan memahami berbanding hari-hari lain walaupun apabila pesanan mereka tiba lewat.

"Sebelum pandemik ini, kami sangat takut untuk memberitahu pelanggan bahawa makanan akan tiba lambat," kata Rey. "Sekarang, mereka bukan sahaja mengirimkan mesej menggalakkan kepada kami bahkan memberi tip juga."

Rey berkata baru-baru ini beliau ditawarkan aiskrim di sebuah kedai pencuci mulut di Katong pada sekitar 2.00 petang.

Rey menawarkan aiskrim itu kepada seorang kanak-kanak yang mengunjungi kedai berkenaan dan peniaga itu yang sedar Rey berpuasa kemudian memberinya minuman tin untuk berbuka.

"Dalam hampir dua tahun saya bekerja (sebagai pekerja penghantaran), saya tidak pernah mengalami (tindakan) seperti ini langsung," kongsinya.

APA YANG DILAKUKAN SYARIKAT PENGHANTARAN MAKANAN?

Jurucakap Grab berkata syarikat itu mengingatkan para pelanggan supaya bertimbang rasa semasa membuat pesanan.

Sebagai contoh, ia menggalak pelanggan untuk membuat pesanan antara 2.00 petang hingga 6.00 petang supaya pekerja penghantaran mempunyai cukup masa untuk menyelesaikan permintaan tersebut sebelum pulang ke rumah untuk berbuka puasa atau makan malam.

Dari 11 Mei hingga 7 Jun, GrabFood juga bekerjasama dengan 13 restoran halal di mana pelanggan boleh menunjukkan penghargaan mereka dengan memesan makanan untuk pekerja penghantaran di bawah inisiatif "Buy Your Delivery-Partner A Meal".

Jurucakap foodpanda berkata sejak permulaan Mei, syarikat itu menyediakan pekerjanya dengan sebotol air dan snek bagi setiap pesanan yang mereka terima pada Jumaat dari 7.00 malam hingga 9.00 malam.

Sementara itu, semasa bulan Ramadan, Deliveroo menawarkan pekerja penghantarannya tawaran istimewa dari restoran yang mengambil bahagian - seperti promosi 50 peratus di Nandos dan 30 peratus di Swensen’s. 

Pekerja penghantaran Deliveroo juga boleh meminta untuk membatalkan mana-mana penghantaran yang ditempah tanpa menanggung penalti jika mereka merasakan kawasan itu mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19, menurut seorang jurucakap.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan