Ramadan 2020

Images
  • fam
    (Gambar: Facebook/Muhammad Faisal Mohamed Ayub)

Barah ragut nyawa isteri 5 hari sebelum Raya; rakyat S'pura bantu bapa tunggal 12 orang anak ini

SINGAPURA: Selang lima hari sebelum umat Islam di Singapura menyambut Hari Raya Aidilfitri, sebuah keluarga berdukacita atas pemergian ibu yang menjadi bidadari di hati mereka.

Isteri Encik Johan meninggal dunia pada Selasa (19 Mei) setelah menderita penyakit barah.

Mereka mempunyai 12 orang anak yang berusia antara setahun dengan 18 tahun yang masih bersekolah.

Berita sedih yang menimpa Encik Johan sekeluarga dikongsi menerusi catatan Facebook oleh seorang individu yang menggesa orang ramai tampil menyumbang bagi meringankan beban yang dipikul oleh bapa tunggal kepada 12 orang anak itu.


Menurut catatan Facebook milik Diana Hairul pada Khamis (21 Mei), Encik Johan tidak bekerja kerana beliau adalah penjaga utama isterinya sepanjang setahun lalu.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan.

Dalam catatan yang sama, Cik Diana selanjutnya mengatakan bahawa Encik Johan adalah salah seorang penerima bantuan daripada projek Ramadan bagi tahun ini. Namun Cik Diana tidak pula mendedahkan nama persatuan yang menerajui usaha tersebut.

"Bagi pihak keluarga ini, saya ingin meminta bantuan anda untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang masih meratapi pemergian isteri dan ibu mereka, menerusi sumbangan dalam apa saja bentuk.

"Wang tunai, susu formula, lampin bayi dan bekalan makanan amat dialu-alukan," tulis Cik Diana dalam catatannya.

Sejak kisah Encik Johan dikongsikan secara meluas di Facebook dan wadah-wadah lain seperti WhatsApp, ramai yang tampil untuk menghulurkan bantuan.

Sebuah video yang dimuat naik ke laman Facebook Jalan2junkie merakam usaha murni oleh sebilangan individu yang berganding bahu membelikan keperluan seperti barang dapur untuk diberikan kepada Encik Johan sekeluarga.


Dalam video itu, Ustaz Muhammad Faisal Mohamed Ayub juga berkesempatan untuk bertemu dengan Encik Johan di luar flat dua biliknya di Wellington Circle untuk mengagihkan sumbangan bantuan tersebut kepadanya.

Dalam video yang sama, Encik Johan juga meluahkan penghargaan kepada orang ramai atas sifat murah hati dan bantuan mereka.


"Terima kasih kepada semua yang sudah menderma melalui zakat, melalui bantuan kewangan atau makanan serta keperluan lain seperti lampin. Saya sangat menghargai bantuan anda, terima kasih atas segala-galanya."

- BERITAmediacorp/ha

Top