Skip to main content

Iklan

Iklan

Agihan zakat naik 7% kepada S$2.01 juta Ramadan ini; jumlah pemohon meningkat ekoran COVID-19

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mengagihkan zakat bernilai S$2.01 juta pada Ramadan tahun ini. Jumlah tersebut naik 7 peratus berbanding agihan bernilai S$1.87 juta pada Ramadan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mengagihkan zakat bernilai S$2.01 juta pada Ramadan tahun ini.

Jumlah tersebut naik 7 peratus berbanding agihan bernilai S$1.87 juta pada Ramadan tahun lalu.

JUMLAH PEMOHON BANTUAN MENINGKAT DEK COVID-19

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (13 Mei), MUIS mendedahkan bahawa jumlah pemohon yang memerlukan bantuan kewangan turut meningkat disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Bantuan yang dihulurkan ini terdiri daripada dua komponen - bantuan kewangan dan hamper Raya - yang disumbangkan melalui sokongan padu masyarakat menerusi kutipan zakat.

Agihan tunai bagi tahun ini adalah antara S$150 hingga S$1,000, bergantung kepada saiz keluarga.

LEBIH 6,900 KELUARGA AKAN RAIH MANFAAT

Lebih 6,900 keluarga dijangka akan meraih manfaat daripada agihan zakat sempena Ramadan tahun ini.

Ini termasuk 200 keluarga yang belum pernah menerima sebarang bentuk bantuan daripada MUIS dan mereka dirujukkan kepada MUIS oleh Pusat Khidmat Keluarga.

Agihan tunai itu akan dilakukan pada Khamis (14 Mei).

SEBAR RAHMAH DI TENGAH COVID-19

MUIS biasanya akan mengadakan majlis berbuka puasa untuk sekitar 200 penghuni daripada 27 rumah kebajikan di Hab Islam Singapura.

Demi mengukuhkan silaturahim dan talian persaudaraan sesama umat Islam di tengah-tengah 'circuit breaker' bagi membendung penularan wabak COVID-19, MUIS akan menghantar juadah berbuka puasa kepada tiga rumah kebajikan.

Di samping itu, hamper kuih Raya juga akan diagihkan kepada lebih 300 penerima bantuan di bawah Skim Bantuan Jangka Panjang ComCare dan para penghuni di rumah-rumah kebajikan.

KAEDAH E-BAYARAN BAGI ZAKAT

Kutipan zakat harta menerusi wadah online mencatat peningkatan yang sangat ketara, dengan 97 peratus pembayaran bagi zakat harta sepanjang 19 hari pertama Ramadan tahun ini dilakukan secara online.

Lagi 3 peratus bayaran dibuat secara langsung di bangunan MUIS.

"Ini satu peningkatan yang ketara dari segi pembayaran secara elektronik bagi zakat berbanding tahun-tahun lalu. Sebagai perbandingan, 42 peratus pembayaran zakat harta dikutip menerusi kaedah pembayaran online pada (sepanjang tahun) 2019," menurut kenyataan MUIS.

Ditanya tentang perbandingan kutipan online bagi zakat fitrah khususnya, MUIS menyatakan pihaknya akan mendedahkan perangkaan tersebut selepas Ramadan kelak.

Pembayaran zakat harta dan zakat fitrah menerusi wadah online digalakkan MUIS ekoran keadaan COVID-19.

Ia boleh dilakukan menerusi khidmat seperti eNETs, PAyNow, perbankan internet DBS/POSB,mesin AXS dan ATM, serta menerusi OCBC Al-Wadiah dan CIMB Clicks.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan