Skip to main content

Iklan

Iklan

4 qari, qariah antarabangsa alun suara sempena Nuzul Quran anjuran Jamiyah 9 Mei

Sempena Nuzul Quran yang berlangsung pada 17 Ramadan, Persatuan Jamiyah Singapura akan mengadakan Tilawah Al-Quran Online 2020, bermula Sabtu malam (9 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
4 qari, qariah antarabangsa alun suara sempena Nuzul Quran anjuran Jamiyah 9 Mei

4 qari dah qariah antarabangsa dan seorang hafizah cilik turut serta dalam Tilawah Al-Quran Antarabangsa Online 2020. (Gambar: Jamiyah Singapore)

SINGAPURA: Sempena Nuzul Quran yang berlangsung pada 17 Ramadan, Persatuan Jamiyah Singapura akan mengadakan Tilawah Al-Quran Online 2020, bermula Sabtu malam (9 Mei).

Jika tahun-tahun sebelumnya sudah menjadi tradisi Jamiyah mengundang qari dan qariah unggul dari seluruh dunia ke ibu pejabatnya di 31 Lorong 12 Geylang bagi tilawah tahunan itu, berbeza pula keadaannya kali ini.

Tilawah Al-Quran tahun ini bagaimanapun akan disiarkan kepada orang ramai menerusi Facebook Live pada 9.30 malam (waktu Singapura).

Tilawah itu boleh ditonton di laman Facebook 'Jamiyah Singapore' dan 'Jamiyah Education Centre -JEC'.

Nuzul Quran diadakan bagi memperingati peristiwa di mana Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pada 17 Ramadan.

4 QARI, QARIAH TERKENAL ALUNKAN SUARA

Tahun ini, tiga qari dan seorang qariah antarabangsa akan menyerikan acara itu.

Wakil dari Singapura sendiri ialah Ustaz Sadid Abdul Latif, yang menjuarai majlis Tilawah Al-Quran Kebangsaan tahun lalu. Beliau juga pernah muncul naib juara dalam pertandingan Tilawah Al-Quran di Tanggerang, Indonesia pada tahun lalu.

Qari undangan dari Mesir yang sekali lagi dibawa ke Singapura oleh Jamiyah ialah Sheikh Mostafa Al-Sharqawy, seorang guru tarannum yang terkenal dengan pelajar dari seluruh dunia.

Qariah terbaik majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Malaysia tahun lalu, Ustazah Nor Farhatul Fairuzah Panut akan mewakili negara jiran, Malaysia.

Seorang lagi qari undangan adalah dari Indonesia, iaitu Ustaz Dasrizal Naini. Beliau pernah menjuarai Tilawah Al-Quran Antarabangsa Malaysia pada 2013.

Kanak-kanak istimewa Masyita Putri Nashira berusia 12 tahun dari Indonesia juga akan tampil sebagai undangan istimewa acara tersebut. Meskipun dilahirkan buta, Masyita dapat menghafal ayat-ayat Quran dengan hanya mendengar alunan imam Masjidil Haram, Sheikh Mishary Al-Afasy.

CERAMAH AGAMA DAN DOA PENUTUP

Dua ceramah agama juga akan diadakan bagi acara tersebut.

Imam Eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitha, Ustaz Md Nuzhan Abdul Halim akan memberikan ceramah dalam Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Dakwah Jamiyah pula, Ustaz Md Suhaimi Md Fauzi akan memberikan ceramah beliau dalam Bahasa Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan