Ramadan 2020

Images
  • simplyislam donation ramadan
    (Gambar: BERITAmediacorp/Nurhelmy Hakim)

320 keluarga memerlukan terima habuan amal Ramadan SimplyIslam.sg

BERITAmediacorp: Jumlah keluarga yang menerima bantuan menerusi acara Ramadan Charity Basket anjuran pusat pendidikan SimplyIslam.sg tahun ini adalah yang tertinggi sejak ia dimulakan 13 tahun lalu.

Sebanyak 320 keluarga memerlukan akan mendapat wang tunai dan barangan makanan bernilai antara S$200 dengan S$250.

SUASANA KURANG MERIAH NAMUN USAHA TETAP DIJALANKAN

Saban tahun, acara Ramadan Charity Basket anjuran pusat pendidikan SimplyIslam.sg dianjurkan dengan begitu meriah.

Suasananya berbeza tahun ini disebakan pelbagai sekatan yang dilaksanakan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan ekoran penularan COVID-19.

Namun demikian, usaha murni membantu keluarga memerlukan dan yang berpendapatan rendah tidak terhenti.

Mentelah lagi sekitar S$70,000 sudahpun dikumpulkan dari para penderma untuk projek ini.

"Tahun ini memang memberi kami satu cabaran yang kuat untuk meneruskan program Ramadan Charity ini. Kami harus teruskan program ini sebab ada ramai orang yang memberikan bantuan Ramadan Charity Basket ini, sekitar 320 keluarga yang akan menerimanya Insya Allah," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SimplyIslam.sg, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur.

"Kami pun tidak mahu menghampakan mereka dan ada juga di antara mereka yang menghubungi kami, tanya sama ada mereka akan mendapat habuan Ramadan Charity," ujarnya lagi.

Encik Nasser menambah pihaknya turut berbincang dengan pihak berkuasa tentang pengagihan habuan tersebut.

Pihaknya akhirnya mendapat kelonggaran untuk meneruskan program tersebut

Sejak hujung bulan April, para kakitangan SimplyIslam.sg menyingsing lengan membungkus habuan-habuan untuk diagihkan.

Setiap habuan mengandungi makanan asas bernilai sekitar S$100 dan SimplyIslam.sg juga akan menyediakan pelitup-pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Setiap keluarga akan turut menerima wang bantuan antara S$100 dengan S$150.

JUMLAH HAD SUKARELAWAN BUKAN HAMBATAN

Akibat peraturan pemutus rantaian jangkitan juga, jumlah sukarelawannya terpaksa dihadkan kepada kurang 100 orang.

Antara yang giat menyumbang tenaga tulang empat keratnya ialah Encik Mahadi Mohamad Salim dan keluarganya.

Tahun ini tahun ketiga mereka sekeluarga berbuat demikian.

Mereka akui perbezaannya terasa kali ini kerana tidak dapat beramah mesra dengan setiap keluarga yang menerima bantuan.

Encik Mahadi, 49 tahun berkata: "Keadaan macam ini pun, kami tetap akan membantu orang-orang susah. Kami nak masyarakat tahu yang kami tetap akan memberi bantuan kepada mereka."

Keluarganya berpendapat aktiviti sebegini menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dan pendidikan untuk anak-anak.

"Kepentingannya untuk kami membawa keluarga, untuk merapatkan ikatan keluarga untuk mengajar kepada anak-anak saya bagaimana keadaan mereka yang susah jadi apabila dia membesar, dia akan teruskan tugasnya sebagai seorang umat Islam," ujar Encik Mahadi.

Anda yang ingin menyumbang dana kepada acara ini untuk menepati sasaran sebanyak $100,000 boleh berbuat demikian melalui laman http://ramadancharity.simplyislam.sg/ 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/tq

Top