Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita ini bawa bekas & botol sendiri ke bazar Ramadan demi kurangkan guna plastik

Pernahkah anda terfikir untuk membawa bekas, botol atau sudu garfu sendiri dari rumah?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Lazimnya juadah berbuka puasa yang dibeli di bazar Ramadan dibungkus menggunakan plastik. Tidak kiralah beg plastik, bekas plastik ataupun gelas plastik. Pernahkah anda terfikir untuk membawa bekas, botol atau sudu garfu sendiri dari rumah?

Plastik sememangnya mudah digunakan - pakai dan buang. Namun kita perlu berhenti sejenak dan memikirkan tentang pencemaran alam dek jumlah sisa plastik yang terlampau banyak.

Menurut data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), jumlah sisa plastik yang dicatat di Singapura pada 2017 adalah 763,400,000 kilogram! Ya, lebih 763 juta kilogram.

Jika diperhatikan, penggunaan plastik amat berleluasa di bazar-bazar Ramadan. Bagaimana kita sebagai individu boleh memainkan peranan untuk mengurangkan penggunaannya?

BERITAMediacorp bertemu dengan seorang pekerja sosial bebas, Siti Nurzakiah Binte Zar'an, yang buat pertama kali pada Ramadan tahun ini ‘menghulurkan’ bekas yang dibawa dari rumah kepada para pegerai. Ini adalah inisiatif yang dipanggil Bring Your Own (BYO) atau Bawa Bekas Anda Sendiri.

Cik Zakiah begitu prihatin terhadap pembaziran dan pencemaran alam disebabkan penggunaan plastik. Tiga tahun lalu, beliau sekeluarga mula membiasakan diri untuk tidak terlalu bergantung kepada plastik.

“Banyak sangat pembaziran. Kita selalu ingat ‘oh pakai sekali selepas itu buang, selepas itu tak nampak lagi’. Sebenarnya barang itu akan wujud di dunia selama lebih daripada kita hidup,” katanya kepada BERITAMediacorp.

Tahun ini, Cik Zakiah mempergiatkan lagi usaha beliau ke arah itu. Beliau membawa bekas dan botol air sendiri apabila mengunjungi bazar-bazar Ramadan. Sejauh ini, menurut beliau, tiada masalah besar yang timbul apabila beliau menghulurkan bekas atau botol sendiri semasa membuat tempahan makan.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

“Alhamdulilah ramai juga pegerai-pegerai yang peka terhadap alam sekitar, bila saya katakan ‘oh saya tak nak plastik, boleh (saya) gunakan bekas ini?’ mereka menyambut bekas saya, senyum dan bercakap terima kasih kepada saya.

“Mungkin dalam bazar Ramadan ini, semua tengah sibuk, nak buka, jadi macam nak cepat-cepat. Jadi mungkin apabila saya berikan bekas, dia (pegerai) terperanjat. Tapi dia sambut juga,” kata beliau berkongsi pengalamannya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Inisiatif BYO itu pada mulanya diperkenalkan oleh pertubuhan bukan pemerintah dan bukan untuk keuntungan, Zero Waste SG. Matlamat pertubuhan itu adalah untuk melenyapkan konsep pembaziran dan sisa serta mempercepat usaha untuk mencapainya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Inisiatif tersebut dirasmikan pada bulan Julai 2015 dengan objektif menggalak 3R - Reduce, Reuse and Recycle (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dalam kalangan individu dan juga keluarga.

Mengulas lebih lanjut tentang inisiatif tersebut, Cik Zakiah berharap gerakan BYO itu dapat diteruskan dan dijadikan sebahagian daripada amalan biasa dalam kalangan masyarakat.

“Saya rasa, BYO ialah satu gerakan yang baru. Jadi ia memerlukan mungkin sedikit (lagi) masa untuk orang ramai selesa. Selesa dengan budaya ini. Saya amat berharap ia dibudayakan lagilah,” ujar ibu seorang anak perempuan itu.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Semasa BERITAMediacorp mengikuti Cik Zakiah membeli juadah berbuka di Bazar Raya Utara, Woodlands semalam (4 Jun), para penjual di gerai-gerai yang dikunjunginya tidak menolak permintaan untuk mengisi makanan yang ditempah ke dalam bekas Cik Zakiah.

Sebaik sahaja kelibat Cik Zakiah muncul, mata tertumpu kepada sebuah beg kitar semula yang agak besar. Apabila ditanya tentang isinya, Cik Zakiah mendedahkan bahawa ia mengandungi: satu bekas besar (untuk diisi hidangan utama), dua bekas bersaiz sederhana (untuk lauk), dua bekas kecil (untuk pencuci mulut), satu botol bersaiz satu liter dan satu lagi botol 600 mililiter.

Semasa membuat tempahan, Cik Zakiah memastikan beliau menunjukkan bekas di tangannya terlebih dahulu dan bertanya dengan baik sama ada makanan atau minuman yang hendak dibeli boleh dimasukkan ke dalam bekas tersebut.

Di salah sebuah gerai minuman, pemiliknya kelihatan agak terkejut apabila ditanya tentang berapa liter air yang dijual. Menurut Cik Zakiah, soalan tersebut ditanya supaya beliau boleh mengetahui sama ada jumlah air yang dijual itu boleh muat ke dalam botol air yang dibawa.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sekalipun begitu, pemilik gerai tidak keberatan untuk menurut permintaan tersebut setelah Cik Zakiah menerangkan bahawa beliau tidak mahu menggunakan plastik.

Kepuasan yang dirasakan juga berbeza bagi Cik Zakiah. Menurut beliau, langkah membawa bekas sendiri bukan setakat mengurangkan penggunaan plastik, malah mengawal perbelanjaannya. Ini kerana keputusan membeli sesuatu berdasarkan jumlah bekas yang dibawa dan bukan jumlah wang di dalam dompet.

Selepas beberapa kali mencuba membawa bekas sendiri ke bazar Ramadan, Cik Zakiah berkongsi pemerhatian beliau kepada BERITAMediacorp tentang apa yang boleh dilakukan oleh pembeli dan pegerai untuk memudahkan prosesnya.

“Langkah pertama, bagi saya secara peribadi, untuk kurangkan plastik ialah penggunaan straw. Jadi kita tidak gunakan straw plastik lah. Kedua yang mungkin lebih mudah untuk kita ialah menggunakan botol air sendiri.

“Ada banyak jenis air, yang wujud di kedai-kedai dan di gerai pun ada yang dalam bentuk bekas yang besar macam baldi, ada yang tipis kecil, ada yang betul-betul kurus. Jadi apa yang memudahkan bagi mereka yang ingin BYO adalah untuk (pegerai) meletakkan nama air tersebut dan juga liter ataupun mililiter air yang dijual kepada pembeli,” kata Cik Zakiah, 36 tahun.

Mungkin sesetengah orang menyifatkan langkah mengurangkan penggunaan plastik sebagai “leceh”. Manakan tidak, hendak ke kedai perlu membimbit bekas, botol air dan sebagainya.

Namun bagi Cik Zakiah: “Berdekad-dekad lamanya manusia merosakkan bumi semata-mata untuk kemudahan diri kita. Maka, sebagai percubaan untuk memulihkan bumi, kita perlulah berdepan dengan sedikit kesulitan.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan