Ramadan 2018

Images
  • ahmad ibrahim
    Para peserta 'Terawih Cup' bersama Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Prof Madya Md Faishal Ibrahim. (Gambar: Masjid Ahmad Ibrahim)

"Terawih Cup"? Masjid Ahmad Ibrahim anjur acara khas itu disertai 30 remaja

SINGAPURA: Seramai 30 remaja menyertai acara khas 'Terawih Cup' yang dianjurkan Masjid Ahmad Ibrahim baru-baru ini.

Menariknya, mereka bukan sekadar bersukan tetapi juga digalak menguatkan azam menjadi remaja yang bertarbiah untuk beramal dan menyumbang bakti kepada masyarakat.

'TERAWIH CUP' SATU KATA KOD?

Jika dahulu, isitilah 'Terawih Cup' digunakan sebagai kata kod untuk bermain bola pada waktu solat terawih.

Kini, Masjid Ahmad Ibrahim berjaya mengubahnya menjadi suatu acara yang positif.

Menerusi program yang dianjurkan sehari semalam, pada hujung minggu lalu, para remaja ini bukan sahaja menunaikan solat sunat terawih, mereka juga kemudian dapat bermain futsal.

"Pada saya, belia zaman sekarang lebih dihantui dengan barang duniawi sehinggakan mereka terlupa tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim. Acara ini akan mungkin mengubahkan fikiran mereka tentang sembahyang dan sebagainya," kongsi seorang peserta acara itu Md Danish Aqil Habeeb Mohd.

PUPUK NILAI GOTONG-ROYONG


Para remaja yang terlibat dalam acara khusus untuk mereka pada hujung minggu lalu. (Gambar: Masjid Ahmad Ibrahim)

Bahkan, sambil menantikan waktu berbuka, para remaja ini meluangkan masa menghadiri kelas agama dan membantu membersihkan sekitaran masjid serta persiapan untuk majlis iftar.

Seorang lagi peserta bernama Syarf Haqqani Teguh Saiful Nizam Helmi berkata: "Pengalaman saya di Masjid Ahmad Ibrahim amat bermanfaat dan amat bermakna kerana saya telah mempelajari bahawa saya harus mengawal nafsu saya apabila bau makanan rasa kuat dan saya harus tahan rasa kepenatan saya apabila saya harus menyiapkan bubur-bubur di masjid dan saya dapat mengeratkan siratulrahim antara rakan saya dan orang-orang masjid."

Masjid Ahmad Ibrahim menyatakan, ia berharap usaha itu dapat memberikan pendidikan berguna kepadap ara belia.

"Supaya mereka lebih cenderung dalam bergotong-royong, menolong atau membuat kerja sukarela di mana-mana masjid sekalipun agar mereka tidak hanya membuang masa mereka di luar tetapi dapat berbakti kepada masyarakat terutamanya dengan jemaah Muslim di Singapura," kata Pegawai Pembangunan Belia Masjid Ahmad Ibrahim Md Farhan Syazwan Sohaimee.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut hadir memberikan sokongannya di padang bola 'Terawih Cup' itu.

Acara 'Terawih Cup' disempurkan dengan melakukan qiyam sebelum bersahur dan diakhiri dengan solat subuh.  

- BERITAMediacorp/aq

Top