Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapore Buddhist Lodge derma 30,000 kg beras kepada masjid-masjid S'pura

Badan agama Buddha tempatan, Singapore Buddhist Lodge (SBL), mendermakan 30,000 kilogram beras untuk diagihkan kepada masjid-masjid serata negara sempena bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan agama Buddha tempatan, Singapore Buddhist Lodge (SBL), mendermakan 30,000 kilogram beras untuk diagihkan kepada masjid-masjid serata negara sempena bulan Ramadan ini.

Jumlah itu peningkatan besar sebanyak 30% berbanding pendermaan serupa yang dilakukan SBL tahun lalu - iaitu 23 tan beras.

Malah pihak BERITAMediacorp diberitahu, seandainya masjid-masjid tempatan memerlukan lebih banyak agihan beras, SBL sedia menghulurkan lebih banyak kampit beras demi memenuhi keperluan tersebut.

Perkembangan tersebut merupakan satu lambang teguh tentang semangat keharmonian antara agama di Singapura ini. Dalam hal ini, antara penganut agama Buddha dan Islam.

BERAS UNTUK ACARA IFTAR & FAKIR MISKIN

Dalam acara siang tadi (23 Apr), wakil-wakil Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hadir di Masjid Ba'alwie yang berperanan sebagai 'orang tengah', bagi acara merasmikan pendermaan beras daripada Singapore Buddhist Lodge (SBL) itu.

Beras yang didermakan SBL hari ini. (Gambar: BERITAMediacorp)

Tahun ini, sebanyak 30 tan beras diperuntukkan bagi masjid-masjid untuk digunakan bagi membuat jamuan iftar sepanjang Ramadan nanti.

Menurut imam Masjid Ba'alwi, Habib Hassan Alatas, bekalan beras juga akan diagihkan kepada badan-badan agama atau pertubuhan-pertubuhan lain, menerusi MUIS.

"Ini sebagai permulaan. Katanya kalau misalan perlu lebih, mereka sedia menambah. Pada tahun-tahun yang lalu, lebih daripada cukup. Malah, bukan sahaja mereka memberikan beras ini untuk berbuka puasa. Yang lebihnya itu mereka bungkus dan berikan kepada fakir miskin ataupun keluarga-keluarga memerlukan," jelas Habib Hasan Al-Attas.

Bantuan SBL begitu dialu-alukan oleh pihak seperti Masjid An-Nur.

Masjid itu, yang terletak di kawasan ramai penduduk Melayu/Islam, dihadiri ramai jemaah terutama sekali pada bulan Ramadan.

"Kalau waktu Ramadan, lebih 800 orang jemaah datang ke masjid kita. Lebih ramai yang datang pada hujung minggu, sekitar 1,000 orang. Jadi saya rasa ini adalah penambahan daripada sedia ada.

"Alhamdulillah. Kita amat berterima kasih kepada Buddhist Lodge," kata Encik Khalid Shukur Bakri, selaku Pengerusi Eksekutif masjid tersebut.

SBL SEBENARNYA SUMBANG 54,000 KILO BERAS KESEMUANYA

Ini sebenarnya tahun keenam tradisi memberi beras ini dijalankan - dimulakan oleh mantan pemimpin SBL iaitu mendiang Encik Lee Bock Guan pada tahun 2013.

Ia pemberian muhibbah kepada masjid-masjid bagi tujuan berbuka puasa. Malahan, semangat memberi itu juga rancak diusahakan di luar bulan Ramadan.

Misalnya, sejak Januari tahun ini, SBL turut menyumbang 2,000 kilogram beras kepada Jamiyah Singapura secara bulanan, untuk dihulurkan kepada keluarga-keluarga miskin di bawah naungan pertubuhan itu.

Bermakna, bagi tempoh 12 bulan, ia memberikan 24,000 kilogram beras kepada Jamiyah tahun ini.

Jadi secara keseluruhan, beras yang diberikan SBL kepada badan-badan muslim tempatan tahun ini, adalah sekitar 54,000 kilogram!

"Singapore Buddhist Lodge sangat yakin bahawa dengan derma baik sebegini, ia akan dapat membantu golongan kurang berkemampuan - tidak semestinya daripada masyarakat Cina. Masyarakat Muslim dan India juga dapat meraih manfaat dan menikmati sokongan sedemikian," kata Pengurus Pentadbiran Kanan SBL, Encik Liu Khee Fang.

Pihak SBL menyatakan MUIS akan mengatur pengangkutan untuk ke tempatnya minggu depan dan mengambil semua bekalan beras bagi memulakan pembahagian.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan