Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sinergi menerusi M3 - MUIS, MENDAKI, MESRA - kunci utama capai visi masyarakat Melayu/Islam luar biasa

Kunci utama untuk mencapai visi masyarakat Muslim Singapura yang luar biasa adalah dengan menyepadukan usaha-usaha menerusi rangka kerja M3 - iaitu MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Anggaran Waktu Membaca:
Sinergi menerusi M3 - MUIS, MENDAKI, MESRA - kunci utama capai visi masyarakat Melayu/Islam luar biasa

Encik Masagos Zulkifli di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Kunci utama untuk mencapai visi masyarakat Muslim Singapura yang luar biasa adalah dengan menyepadukan usaha-usaha menerusi rangka kerja M3 - iaitu MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata ini dilaksanakan dengan menggembleng kekuatan institusi-institusi masyarakat dan juga membangkitkan semangat ingin menyumbang kembali kepada masyarakat.

Beliau mendedahkan bahawa para pemegang jawatan Pemerintah akan melakar rangka kerja yang lebih erat antara M3 supaya sokongan dapat diselaraskan bagi mengatasi beberapa masalah dalam masyarakat.

"Saya akan mengumumkan inisiatif-inisiatif tersebut pada masa-masa mendatang setelah memahami cara terbaik menggembleng kekuatan M3 bersepadu," kata Encik Masagos.

Sesuap makan yang diberi kepada orang yang kelaparan adalah lebih baik dari mendirikan 1,000 masjid, lebih baik dari kain bersulam yang menutupi Kaabah, lebih baik dari solat semalaman... - Encik Masagos menukil Sheikh Abdul Qadir al-Jailani

Ketiga-tiga badan tunggak itu merujuk kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).

Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air mengumumkan demikian semasa berucap di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri yang dianjurkan oleh para Anggota Parlimen Melayu/Islam malam ini (28 Jun).

M3 LAMBANG KUASA BERGANDA GABUNGAN MUIS, MENDAKI, MESRA

Dalam ucapan tersebut, Encik Masagos menjelaskan bahawa beliau menggunakan istilah M3 sebagai simbol 'M kuasa tiga' (M the power of 3) sekaligus melambangkan kuasa yang berganda apabila tiga tunggak masyarakat Melayu/Islam iaitu MUIS, MENDAKI dan MESRA bergabung.

Hanya dengan adanya kerjasama utuh antara M3, ditambah pula sokongan-sokongan daripada badan-badan Melayu Islam, huraian bagi permasalahan masyarakat akan dapat dicapai.

Ini kerana, meskipun masyarakat Melayu/Islam mencatat kemajuan yang membanggakan, perjalanan mereka masih jauh disebabkan masyarakat lain juga semakin maju.

Memberikan contoh dari segi pendidikan, Encik Masagos berkata 40 peratus masyarakat Melayu berpendidikan posmenengah ke atas berbanding 51 peratus masyarakat Cina dan 63 peratus masyarakat India.

Beliau juga memetik kos sara hidup dan ancaman terhadap kehidupan sosio-agama sebagai contoh isu-isu yang perlu ditangani masyarakat Melayu/Islam.

HURAIAN MASALAH MASYARAKAT ADA PADA USAHA BERSEPADU M3

"Penyelesaian masalah masyarakat kita terletak pada usaha bersepadu M3 yang akan dikuatkan lagi dengan rangkaian-rangkaian badan-badan Melayu/Islam," kata Masagos.

Encik Masagos juga memuji badan-badan Melayu/Islam, seperti Jamiyah, Pertapis, Muhammadiyah, PPIS dan AMP, yang sudah lama menyokong kemajuan segenap lapisan masyarakat.

Sebagai contoh, usaha-usaha menyokong pembelajaran anak-anak Melayu/Islam dan usaha membantu golongan memerlukan agar tidak terpinggir.

Lantaran itu, Encik Masagos mengesahkan lagi komitmen beliau dan pasukannya untuk terus memberikan sokongan kepada badan-badan Melayu/Islam demi pembangunan masyarakat.

"Menjadi tumpuan utama M3 untuk berkolaborasi dengan badan-badan masyarakat setempat agar sokongan yang diberi kepada masyarakat lebih bersepadu, bermutu dan berpanjangan," kata Encik Masagos.

Solat Aidiladha di Masjid En-Naeem, 12 Sep. (Gambar: Helmy, BERITAMediacorp)

(Gambar: Helmy, BERITAMediacorp)

BUKAN SETAKAT BERGANTUNG KEPADA BADAN MELAYU/ISLAM

Sungguhpun demikian, Encik Masagos menekankan agar usaha membudayakan wawasan itu bukan setakat terletak pada bahu badan-badan masyarakat.

Menurut beliau, sikap ihsan masyarakat jelas terpapar menerusi bantuan-bantuan yang dihulurkan kepada karyawan dan badan-badan Melayu/Islam.

Oleh itu, beliau berharap lebih ramai lagi yang akan tampil menyokong program-program M3.

Sejauh ini, kata Encik Masagos, M3 sudah menemui pelbagai peluang kerjasama demi meningkatkan lagi keberkesanan program masing-masing dengan memanfaatkan keunikan kekuatan mereka.

Antaranya, Project Positive yang dimulakan oleh MENDAKI pada bulan Ramadan lalu. Ia menyokong peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat bagi keluarga bergaji rendah dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran asas.

Contoh lain yang dirujuk Encik Masagos adalah bantuan kewangan zakat MUIS yang dimanfaatkan oleh sekitar 4,000 keluarga Islam di Singapura setiap tahun.

MESRA BOLEH BAWA AKTIVIS MASJID KEPADA KERJA AKAR UMBI

MESRA dan MAEC juga kata Encik Masagos memainkan peranan penting mendekati masyarakat-masyarakat lain bagi menggalak pemahaman tentang agama Islam serta adat dan budaya Melayu.

Encik Masagos bagaimanapun menambah bahawa MESRA "tidak boleh berpuas hati dan berhenti setakat itu sahaja".

Sebaliknya, MESRA perlu menjadi jambatan yang menguatkan lagi hubungan silang agama dan bangsa.

Masjid Sultan yang selesai menjalani kerja naik taraf. (Gambar: Ngau Kai Yan)

(Gambar: Ngau Kai Yan)

"MESRA boleh menjadi jambatan untuk membawa aktivis masjid supaya juga bersama dalam perayaan dan pergaulan kaum lain secara yang boleh diterima demi menguatkan lagi hubungan silang agama dan bangsa.

"MESRA juga boleh melibatkan mereka dalam kerja-kerja akar umbi di luar dari masjid supaya berpeluang mempraktikkan sentuhan rahmah orang Islam mendekati masyarakat dan jiran mereka tidak kira bangsa dan agama," saran Encik Masagos yang juga merupakan Penasihat MESRA.

KHUTBAH SHEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Menekankan lagi pentingnya sikap saling mendukung antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat, Encik Masagos berkongsi satu khutbah yang dikatakan paling pendek dalam sejarah tetapi mendalam maknanya.

Menurut Encik Masagos, ulama tersohor, Sheikh Abdul Qadir al-Jailani berkata: "Sesuap makan yang diberi kepada orang yang kelaparan adalah lebih baik dari mendirikan 1,000 masjid, lebih baik dari kain bersulam yang menutupi Kaabah, lebih baik dari solat semalaman, lebih baik dari berjihad di jalan Allah dan lebih baik dari berpuasa dalam panas terik sepanjang tahun. Ketika sesuap makan masuk ke dalam perut orang yang kelaparan, terpancar cahaya bagai sinaran mentari. Berbahagialah mereka yang memberi makan kepada golongan yang lapar dan dahaga."

Mengulas khutbah tersebut, Encik Masagos berkata sekiranya dengan hanya memberikan sesuap makan kepada mereka yang memerlukan akan mendatangkan ganjaran yang begitu besar, apatah lagi jika kita menghulurkan bantuan kepada orang lain sehingga mereka dapat berdiri atas kaki sendiri kemudian membantu orang lain pula. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan