Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rosiah Hussen kongsi nikmat berbuka puasa di kolong flat

Membantu golongan yang susah seperti ibu bapa tunggal dan warga tua. Demikian yang diusahakan Cik Rosiah Hussen, seorang ibu tunggal.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Membantu golongan yang susah seperti ibu bapa tunggal dan warga tua. Demikian yang diusahakan Cik Rosiah Hussen, seorang ibu tunggal.

Pada usianya yang sudah melebihi separuh abad Cik Rosiah masih kuat melakukan kerja-kerja memasak untuk menganjurkan iftar di blok 446A Jalan Kayu, lima hari seminggu pada bulan Ramadan ini.

"Cik teruskanlah niat Cik untuk buat iftar ini, untuk beri orang-orang yang susah. Blok ini pun blok sewa. Jadi, ramai yang ibu atau bapa tunggal, orang tua-tua, ramai pasangan muda dengan anak-anak kecil. Jadi, kadang-kadang mereka tidak cukup makan," katanya.

TIDAK PERNAH LUPAKAN SAAT HIDUP SUSAH

Idea untuk melakukan iftar di kolong blok rumahnya tercetus, atas keinginannya untuk membantu mereka yang memerlukan. Ini kerana Cik Rosiah benar-benar memahami perasaan pihak yang menjalani hidup dalam keadaan susah, kerana beliau pernah berada dalam situasi yang sama.

Bahkan, Cik Rosiah, yang juga merupakan bekas pesakit barah menganjurkan iftar tersebut tanpa sebarang sumbangan dana.

TIADA YANG DATANG, MAKANAN TERBAZIR

Malangnya, tiada yang hadir di majlis iftarnya pada hari pertama Ramadan. Meskipun begitu, beliau tidak putus harapan dan meneruskan usaha murninya untuk menyiapkan makanan bagi membantu golongan susah.

Nasibnya berubah apabila anak bongsu Cik Rosiah memuatnaik video di laman Instagram menunjukkan makanan yang terbazir ekoran kurang pengunjung yang hadir pada majlis iftar 1 Ramadan. Video tersebut menjadi tular baru-baru ini.

Dari situ, orang ramai mula hadir ke iftar tesebut, antaranya termasuk jiran tetangga, pekerja asing dan saudara-mara.

Sambutan yang tidak diduga itu membangkitkan rasa gembira dan kesyukuran dalam dirinya. Ini meskipun hidangan yang disajikan ringkas.

SEMANGAT GOTONG-ROYONG WUJUDKAN SUASANA KAMPUNG

Sebelum bulan Ramadan, Cik Rosiah sudah menyiapkan senarai hidangan yang ingin dimasak sepanjang bulan itu. Tetapi tertimbul idea "potluck", bagi memeriahkan lagi suasana.

Para penghuni lain mula menyumbang lauk-pauk serta kuih-muih untuk dijamu bersama.

"Saya pun bersyukur kami dapat berkumpul walaupun tidak dapat jumpa antara satu sama lain, duduk dalam rumah terkurung. Yang tak berkenal pun menjadi kenal. Jadi masyarakat satu kampung," ujar Cik Fazidah Aziz, antara penghuni yang hadir di majlis iftar itu.

Daya usaha Cik Rosiah ini mendapat sokongan rakannya Cik Meera Taj Mohamed yang aktif dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan.

Beliau berjaya mendapatkan sokongan dari Jawatankuasa Penduduk Sengkang South.

"Kami pihak RC sangat mengalu-alukan usaha seperti ini dan lagi-lagi di bulan Ramadan, dan kami akan beri sokongan padu kepada Cik Rosiah dan juga Cik Meera seperti menyediakan ruang percuma kepada mereka untuk menjalankan usaha murni mereka ini," kata Cik Noraida Md Hashim, Anggota Eksekutif Sengkang South Zon H. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan