Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ramadan di UK, masa tingkatkan interaksi antara agama

Sejak dimulakan tiga tahun lalu, jumlah masjid di UK yang mengambil bahagian dalam skim itu melonjak dari sekitar 20 kepada lebih 200 tahun ini.  

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Jun 2018 06:19PM Dikemas Kini : 03 Jun 2018 10:40PM

LONDON: Bulan Ramadan ini turut dimanfaatkan masyarakat Islam di Britain untuk mendampingi golongan daripada fahaman lain.

Sejak tercetusnya beberapa serangan pengganas di Eropah sejak beberapa tahun ini, umat Islam di Britain semakin lantang mengutuk kelakuan keji tersebut, selain menunjukkan bahawa keganasan para ekstremis tidak sama sekali dianjurkan oleh agama Islam.

Pertemuan di masjid terbesar Britain di selatan ibukota London ini menghimpunkan para jemaah Islam serta ratusan penduduk tempatan daripada pelbagai agama lain, termasuk kumpulan-kumpulan sivik. Mereka dijemput untuk mempelajari tentang sejarah di sebalik Masjid Baitul Futuh serta agama yang dianuti para jemaahnya.

"Ini kali pertama bagi saya. Amat menarik untuk belajar tentang apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka lakukan dan ia satu suasana kemasyarakatan yang amat menarik," kata Cik Elizabeth Campos, seorang penganut Kristian.

Seorang lagi penduduk, Suki Burne berkata: "Tempat ini sangat indah, semua orang juga amat ramah dan mesra. Menarik sekali kerana semua senang bercakap." Bahkan, beberapa jemaah Masjid Baitul Futuh seperti Encik Jawad Qamar membawa rakan sekerja mereka untuk melihat sendiri amalan dan kegiatan yang dianjurkan di masjid ini.

"Saya rasa mereka berminat untuk tahu mengapa saya seorang Muslim, apakah perbezaan kami dan apakah peranan saya dalam masyarakat, bagaimana kita boleh hidup bersama/ Jadi, saya beritahu mereka, kita ada banyak persamaan," jelas Encik Jawad.

Acara silang agama seperti ini sering dianjurkan oleh agama-agama utama di UK. Namun sejak berlaku serangan pengganas di UK pada tahun lepas, para pemimpin Islam berkata umat Islam di sini lebih bertekad menjauhkan diri daripada unsur-unsur keganasan yang kononnya diilhamkan daripada ajaran Islam.

Skim dipanggil 'kunjung ke masjid saya' misalnya dapat menarik ribuan pengunjung setiap tahun yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kerja-kerja kebajikan yang dilakukan masjid seperti mengagihkan makanan percuma serta menubuhkan kumpulan-kumpulan belia. Sejak dimulakan tiga tahun lalu, jumlah masjid di UK yang mengambil bahagian dalam skim itu melonjak dari sekitar 20 kepada lebih 200 tahun ini.

Malah satu lagi acara iftar besar-besaran bagi para penduduk bukan Muslim akan diadakan menjelang hujung Ramadan ini, sebagai memenuhi permintaan yang begitu memberangsangkan tahun ini.  

Sumber : CNA/NT/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan