Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peranan institusi Melayu/Islam bimbing masyarakat terus mara harungi cabaran masa depan, kata Masagos

Institusi Melayu/Islam perlu terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang cabaran pada masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, berkata institusi-institusi Melayu/Islam perlu terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang cabaran pada masa hadapan.

Ini, selain membantu mereka mengatasinya.

Beliau menekankan demikian semasa ditanya pihak media tentang tumpuannya kurang seminggu selepas menggalas peranan baru itu.

Encik Masagos yang ditemui di majlis pelancaran Kempen Sentuhan Ramadan menambah antara keutamaannya dalam bulan-bulan mendatang adalah untuk menziarahi institusi-institusi Melayu/Islam seperti MUIS dan MENDAKI dan mengenali lebih rapat lagi para pegawai yang berkhidmat di sana.

Beliau menarik perhatian peranan penting yang harus dimainkan badan-badan Melayu/Islam dalam membantu masyarakat mengatasi cabaran-cabaran baru yang muncul.

"Bagaimana kita membimbing masyarakat kita untuk mengatasi cabaran tersebut kerana kalau kita tidak dapat mengatasinya, kita akan mundur kembali ataupun berpecah belah sebagai umat islam, apa lagi dengan masyarakat lain di negara kita ini," tambah Encik Masagos.

Menyentuh pula tumpuan Kempen Sentuhan Ramadan dalam konteks sekarang, Encik Masagos berkata kempen tersebut akan terus memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan institusi keluarga, menyebarkan rahmah kepada masyarakat lebih luas serta menggalak amalan-amalan mesra alam.

Namun, ia bukan hanya perlu dilakukan masyarakat sekarang tetapi juga di hari muka.

"Misalnya, kita melihat tentang perlunya memastikan keluarga-keluarga kita kukuh, memelihara sekitaran kita tetapi kita juga unjurkan usaha itu untuk masa depan dengan membuat keluarga-keluarga kita kuat, kita memastikan generasi-generasi akan datang kekal kuat dan terus menyumbang kepada negara dan bukan keluarga yang sentiasa memerlukan bantuan."

DUA INISIATIF BARU DIPERKENALKAN TAHUN INI

Pada tahun ini, kempen Sentuhan Ramadan yang diterajui Kelompok Masjid Selatan, memperkenalkan dua inisiatif baru yang sejajar dengan tumpuan tersebut.

Salah satunya adalah program ‘Pengalaman Ramadan Saya’ di mana keluarga-keluarga Islam dan bukan Islam diajak untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Misalnya, mereka akan dilibatkan dalam penyediaan bubur masjid serta pengagihannya kepada para penduduk memerlukan. Satu sesi iftar khas juga akan diadakan dalam setiap empat kelompok masjid di sini bagi menjamu para penduduk susah termasuk para penerima zakat.

Menurut pihak jawatankuasa, usaha tersebut turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak lain.

"Kita ada empat kelompok - utara, selatan, timur, barat. Setiap kelompok akan mengadakan acara sebegini untuk masyarakat sekeliling di mana kita akan bekerjasama dengan badan-badan seperti masjid, lembaga pentadbir masjid dan sukarelawan masjid dan juga jawatankuasa penduduk (RC) di kawasan tersebut," jelas Setiausaha Jawatankuasa Sentuhan Ramadan 2018, Encik Mohd Ariff Mohd Salleh.

Bagi menggalak umat Islam menghayati lebih mendalam lagi nilai-nilai murni yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran, satu seminar Al-Quran akan diadakan pada 9 Jun ini. Ia menampilkan Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram bersama dua speaker lain.

Mereka akan berkongsikan tentang pelbagai topik-topik yang terdapat dalam kitab Al-Quran seperti hidup berkeluarga serta bagaimana untuk hidup bersama dengan masyarakat lain.

DUTA BELIA BUKAN ISLAM TURUT SEBARKAN MESEJ RAMADAN

Di pelancaran hari ini (6 Mei), sekitar 60 duta belia Islam dan juga bukan Islam turut membantu dalam menyebarkan mesej-mesej murni yang ingin disampaikan kempen tahun ini, selain meningkatkan kesedaran para pengunjung di sekitar kawasan Orchard Road tentang erti di sebalik bulan Ramadan.

Bagi pelajar ITE Kolej Timur, Gurpinderjeet Singh,18 tahun, pelibatannya dalam kempen ini dianggap bermakna kerana ia membolehkan beliau untuk lebih mendalami lagi pengertian di sebalik bulan yang dianggap suci bagi umat Islam di serata dunia.

"Saya rasa (usaha) ini penting kerana Ramadan merupakan satu acara besar yang disambut semua umat Islam di seluruh dunia. Jadi adalah penting untuk mempelajari mengenainya supaya anda boleh berkongsi dengan orang lain yang tidak tahu," kata Gurpinderjeet Singh.

BEBERAPA INISIATIF DARI KEMPEN LALU DIKEKALKAN

Beberapa inisiatif dari kempen-kempen yang lalu juga akan dikekalkan. Misalnya, program Tabung Rahmah yang diperkenalkan dalam kempen tahun lepas, akan diteruskan dengan penyertaan para pelajar dari madrasah-madrasah sepenuh masa dan juga hujung minggu.

Program tersebut yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan, mengajak anak-anak muda untuk menyimpan sebahagian daripada wang saku dan juga duit raya mereka untuk disumbangkan kepada para pelajar berkeperluan.

Selain itu, inisiatif memupuk kesedaran tentang kehidupan sihat dan aktif juga akan diteruskan tahun ini dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Ceramah ringkas akan diadakan sebelum khutbah Jumaat sepanjang empat minggu, meliputi pelbagai topik kesihatan yang berkaitan dengan masyarakat Islam setempat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan